Monday, July 19, 2010

Amalan Menurun

SOALAN:

Biarpun Islam telah begitu lama dianuti oleh orang Melayu di Nusantara, tetapi amalan bidaah dan khurafat yang boleh menyebabkan berlakunya penyelewengan akidah masih berlaku hingga sekarang ini. Ramai orang Islam yang melakukan amalan menurun ketika berubat dengan pawang, bomoh dan dukun.
Ketika melakukan persembahan teater tradisional, seperti olek mayang, berbagih, wayang kulit, kuda kepang, tarian bubu dan sebagainya, malah ia dipertunjukkan anjuran Kementerian Kebudayaan.
Saya berkeyakinan hanya dengan pemahaman jelas tentang apa itu sebenarnya menurun sahajalah maka orang ramai, khususnya orang Islam menghentikan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam ini. - Husni


JAWAPAN:

Menurun adalah satu keadaan di mana seseorang itu dikuasai oleh jin atau jin-jin yang meresap dalam jasad, menyebabkan individu berkenaan tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri. Upacara-upacara dan tindak-tanduk yang dilakukan setelah itu bergantung kepada tujuan menurun itu dilakukan.
Sebelum berlakunya resapan jin-jin ia akan didahului oleh tanda-tanda kedatangan makhluk yang dipanggil, diseru atau dipuja. Terdengar seperti suara loceng, deruan ribut, desiran angin, terhidu bau harum bunga, bau kemenyan dan sebagainya. Semakin hampir makhluk yang dipanggil itu datang, tanda-tanda tadi akan semakin jelas.

Ketika makhluk ini meresap, rasa sejuk atau seram terasa mengalir atau meresap masuk pada bahagian anggota berkenaan, sama ada di jari-jari tangan, kaki ataupun terasa terserap sekali gus seluruh badan.
Kadang-kadang terdapat getaran pada anggota tersebut. Kedua-dua belah telinga terasa kebas dan membesar, kepala terasa sebak seumpama sedang diisi angin. Bulu roma terasa meremang. Sebelum berada dalam keadaan menurun atau tidak sedarkan diri, dunia terasa gelap-gelita, terdengar desiran ombak berbalam-balam beberapa kali, lalu akhirnya orang yang berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, yang diistilahkan sebagai ``menurun'' atau ``lupa''. Keadaan yang dijelaskan ini, tidak semestinya dialami oleh setiap orang yang berada dalam proses menurun secara menyeluruh, mungkin hanya sebahagian daripada tanda-tanda ini yang dialami ketika menurun.

 
Menurut seorang informan, seorang bomoh yang mengaku bersahabat dengan jin, pada tujuh tahun pertama mengamalkan ilmu yang diajar oleh sahabatnya, ia mendapat tanda kilat yang memancar sebanyak tiga kali pada matanya apabila sahabatnya yang dipanggil itu datang.
Ketika itu ia masih dalam keadaan sedar dan dapat melihat keadaan sekeliling. Selepas itu ia terdengar seperti suara angin berdesir. Rumahnya seperti digegar dengan kuat, yang dapat dirasai oleh mereka yang berada dalam rumah. Kadang-kadang terdengar seperti rumahnya dilontar dengan batu dan kayu.
Setelah tujuh tahun berlalu, tanda kilat memancar tadi mula berkurangan, hanya sesekali sahaja berlaku. Rumahnya juga jarang digegar, hanya kedengaran suara seperti dilontar pasir. Kadang-kadang terdengar bunyi seperti orang mengetuk dinding.

 
Pada permulaan tujuh tahun pertama ia berasa badannya panas, telinganya bergerak-gerak, badannya berpeluh-peluh dan bunyi seperti angin berdesir, kedengaran semakin kuat, lalu akhirnya ia tidak menyedari apa yang berlaku. Ia hanya dapat mendengar suara sahabat yang datang tadi. Ia merasakan seolah-olah dipaksa bercakap, manakala tangannya bergerak dengan sendiri tanpa dapat dikawal.
Selepas tujuh tahun berlalu, ia menyedari setiap kali sahabatnya datang biarpun tidak meresap dalam tubuh. Sahabatnya hanya duduk di sebelahnya dan menjawab apa yang disoal olehnya. Segala keperluan pesakit seperti alat yang perlu digunakan untuk pengubatan akan diberitahu oleh sahabatnya, ia bertindak sebagai orang pengantaraan iaitu antara pesakit dan sahabatnya iaitu jin.

 
Pada awal pembelajarannya, ia merasakan amat letih setelah tubuhnya diresapi oleh sahabatnya. Badannya berpeluh-peluh, telinganya terasa panas dan membesar. Rasa letih akan hilang setelah dua hingga tiga hari kerana badan sahabatnya yang besar dipaksa meresap dalam badannya yang kecil, tetapi selepas tujuh tahun ia tidak merasa letih kerana sahabatnya tidak lagi memasuki tubuhnya. Sahabatnya hanya datang dan duduk di sebelahnya. Nama-nama sahabatnya, seperti yang diberitahu oleh informan ialah Datuk Silang Janggut, Datuk Serban Putih, Datuk Laut Jambang Balai Besar Tiang Songsang dan Haji Raja Sulong.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri inilah tujuan menurun itu dilakukan. Andainya menurun itu dilakukan untuk rawatan, individu yang terlibat mungkin akan membakar kemenyan, memegang keris dengan tangan kanan dan memotong limau yang ada di tangan kiri atau menabur bertih ke hadapan, kanan dan kiri.
Segala pergerakan yang berlaku bukan atas kehendak sebenar atau ikhtiar diri orang yang berkenaan. Ia berlaku seolah-olah adanya satu badan atau kuasa lain dalam diri yang melakukan tindak-tanduk tersebut, termasuk kata-kata yang dituturkan. Suara yang keluar dari mulut juga bukan kehendak diri. Dalam keadaan tertentu, suara itu mungkin berubah sama sekali, lain daripada suara diri individu yang asal, malah boleh mengeluarkan suara dengan bahasa yang tidak diketahui oleh individu berkenaan ketika ia berada dalam keadaan normal.

 
Keadaan ``tidak sedarkan diri'' (unconsciousness), yang berlaku bergantung pada roh individu yang terlibat, juga jin atau jin-jin yang meresap pada diri. Kebanyakan mereka yang berada dalam keadaan menurun, yang memanggil jin-jin dan rela diresapi akan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sama sekali, ataupun masa dalam keadaan sedarkan diri, tetapi tahap kesedarannya begitu minimum, menyebabkan seseorang itu tidak berupaya menguasai diri, pada tingkah-laku, tutur kata dan sebagainya. Ketika itu segala gerak-geri yang terjadi adalah di luar ikhtiar atau kawalan.

 
Tubuh ketika itu hanya merupakan sarung bagi makhluk yang meresap tadi bertindak. Kerana itulah orang yang berada dalam keadaan seperti ini boleh bertutur menggunakan bahasa yang tidak boleh dituturkan ketika dalam keadaan normal, boleh bertutur dalam bahasa Arab, pada hal ia tidak tahu bahasa Arab, menggunakan dialek tanah seberang, padahal ia penduduk tempatan, boleh bersilat atau mengurut padahal dalam keadaan normal ia tidak tahu bersilat, malah tidak pernah mempelajarinya, juga tidak tahu mengurut. Tubuh menjadi kuat dan berupaya mencabut atau memanjat pokok atau melompat parit besar pada hal ia tidak mempunyai keupayaan berbuat demikian ketika dalam keadaan normal.

 
Sesetengah masyarakat Melayu lebih berkecenderungan merujuk bahawa menurun yang dilakukan untuk tujuan rawatan adalah hasil resapan roh-roh, wali-wali rijalul ghaib, embah (datuk) dan sebagainya, di mana nama-nama itu ketika hidup dikatakan terdiri daripada orang-orang alim, mempunyai sifat warak dan mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi, hampir kepada Allah dan mempunyai sifat keramat.

Mereka tetap berupaya menolong manusia biarpun telah meninggal dunia dengan cara meresap dalam diri orang-orang tertentu, yang dikatakan mempunyai ilmu kebatinan tinggi untuk membantu orang yang masih hidup.
Bagi mereka yang terlibat dalam ilmu kebatinan mempertahankan diri, makhluk yang meresap dalam diri, yang menyebabkan seseorang itu boleh bersilat, biarpun tidak pernah mempelajarinya dikatakan akibat resapan roh panglima-panglima, seperti Panglima Hitam, Hang Tuah, Hang Jebat juga nama-nama panglima ternama lain seperti Wali Songo, Mat Kilau dan sebagainya.

 
Hal demikian telah melahirkan kecelaruan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila jampi, mantera atau serapah yang dituturkan itu diselit-selitkan dengan unsur-unsur Islam, dimulakan dengan bacaan ``bi `s-mi `llah `r-rahmani `r-rahim, kalimah ``salam'' dan diakhiri dengan kalimah: ``berkat doa: La ilaha illa `llah.''
Keadaan seumpama ini menjadi lebih bercelaru apabila sesuatu upacara itu didahului dengan kenduri, bacaan doa selamat, doa arwah dan sebagainya, padahal kalimah-kalimah yang diselitkan di celah-celah jampi mantera, atau di awal dan di akhirnya dan amalan-amalan kenduri juga doa selamat yang diamalkan itu hanya merupakan di antara pengaruh Islam yang datang menguasai kepercayaan orang Melayu setelah kedatangan pengaruh animisme dan Hindu-Buddha sebelum itu.

 
Amalan menurun bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja, tetapi ia dilakukan oleh seluruh masyarakat di dunia, di kalangan mereka yang terpengaruh oleh kepercayaan animisme, yang melibatkan jin-jin secara disedari atau tidak. Di Malaysia, selain dilakukan oleh orang Melayu, juga termasuk peribumi Sabah dan Sarawak, menurun juga dilakukan oleh orang India dan Cina.
Kejahilan tentang hakikat menurun adalah punca utama menyebabkan seseorang itu terlibat dengannya. Sekiranya seseorang itu menyedari bahawa makhluk yang meresap dalam tubuh manusia, menyebabkan seseorang itu dikuasai oleh jin-jin, saya berkeyakinan tidak ada orang yang sanggup untuk melakukannya, apatah lagi sekiranya seseorang itu memahami bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan penyelewengan iktikad.

 
Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya syaitan itu adalah musuh, dalam keadaan apa sekalipun ia hendaklah dianggap sebagai musuh. Tidak kira sama ada makhluk tersebut dianggap boleh menolong untuk mengubati seseorang, untuk mendapat kekayaan, kekuatan tubuh badan atau kebolehan luar biasa, Allah menyuruh agar makhluk ini dijauhi kerana ia adalah musuh.

 
Pada hakikatnya orang yang berada dalam keadaan menurun itu ialah orang yang ditumpangi jasadnya oleh makhluk halus, terdiri daripada jin-jin, yang dipanggil dengan cara-cara tertentu, yang menganggap pada makhluk ini ada keupayaan (kuasa atau kudrah) membantu manusia melakukan sesuatu.
Padahal hakikatnya zat yang berkuasa itu ialah Allah. Apabila seseorang itu beranggapan seumpama ini, ia sebenarnya telah menyamakan kudrah yang wujud pada zat Allah itu dengan sesuatu yang baru, iaitu jin-jin tadi.

 
Perbuatan seumpama ini diistilahkan sebagai ``syirik''. Orang yang berbuat demikian sekiranya seorang, dinamakan ``musyrik'', sekiranya banyak dinamakan ``musyirikin'' atau ``musyrikun''. Syirik ialah dosa yang tidak diampuni oleh Allah.

 
Oleh Dr. Amran Kasimin