Thursday, February 10, 2011

Serangan waktu 'pagi'

[Petikan dari akhbar Kosmo 10 Februari 2011]

LEBIH satu tahun setengah yang lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di Kuantan, Pahang, menggemparkan negara dengan kejadian histeria yang menjangkiti berpuluh-puluh pelajarnya.
Selama empat bulan bermula 12 Mei 2008, kejadian histeria berlaku hampir setiap hari. Akibatnya, jolokan nama ‘sekolah histeria’ masih meniti di bibir orang ramai sehingga hari ini.
Bagi Nurul Syazrin Natasya Roslim, 16, salah seorang daripada 36 mangsa histeria tersebut, kejadian itu bukan berpunca daripada tekanan emosi sebaliknya akibat rasukan makhluk halus.
Gadis yang mesra dipanggil Tasya ini berada di tingkatan dua pada masa itu. Beliau mendakwa melihat sejenis makhluk dengan tubuh seperti budak empat tahun sebelum dirasuk.
“Dari jauh, saya nampak ‘dia’ keluar dari sebuah pintu dan datang mendekati saya.
“Dia kelihatan seperti manusia, tapi saya tahu dia tidak sama kita. Badannya kecil tetapi bermuka tua dan hodoh. Dia amat kotor.
“Apabila sudah dekat, dia meniarap dan merangkak di hadapan saya."
“Badannya perlahan-lahan berubah menjadi seperti belalang dan masuk ke dalam ibu jari kaki saya".
“Itu saja yang sempat saya lihat. Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku,” katanya kepada Jurnal semasa ditemui di Kampung Anak Air dekat Tanjung Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Tasya, rakan-rakannya yang mengalami histeria turut menceritakan perkara yang sama iaitu mahkluk hodoh yang memasuki tubuh melalui ibu jari kaki.
“Makhluk yang masuk ikut ibu jari kaki itu sebenarnya sangat banyak.
“Ada yang tua, ada muda, ada seperti lelaki dan perempuan. Menurut kawan-kawan yang tidak terkena gangguan, watak kami terus berubah selepas dirasuk.
“Kami jadi macam orang lain, suara jadi garau seperti lelaki, ada yang lembut seperti perempuan dan ada yang bongkok seperti orang tua dan terbatuk-batuk mengadu sakit belakang,” ujar Tasya yang merupakan antara pelajar paling awal diserang histeria dalam kejadian itu.
Ujarnya lagi, sepanjang empat bulan sekolah itu dibelenggu masalah histeria, keadaan menjadi kelam-kabut.



Hodoh
“Kadangkala kelas terganggu dari pagi sampai tamat waktu persekolahan. Pada waktu lain, gangguan bermula pada tengah hari.
“Lebih merunsingkan, makhluk itu akan mengikut mangsa balik ke rumah. Lima kali saya dirasuk di luar sekolah. Tapi sekarang alhamdulillah semuanya sudah pulih.
“Kini, saya tidak berani tinggal seorang diri, begitu juga kawan-kawan yang lain,” katanya yang kini berada di tingkatan empat sekolah itu.
Cerita Tasya lagi, ramai kawannya yang terkena histeria sudah bertukar ke sekolah lain di sekitar Kuantan dan Pekan, malah ada juga yang berpindah ke negeri lain.
Bapa Tasya, Roslim Abdul Hamid, 44, pula berkata, anak sulungnya itu akan meronta mahu pergi ke sekolah setiap kali mengalami gangguan di rumah.
“Semasa dirasuk, suhu badannya sangat panas dari pinggang ke atas, tetapi sejuk dari pinggang ke bawah. Suaranya berubah dan minta darah untuk diminum.
“Semasa saya bercakap dengan ‘benda’ itu yang merasuk Tasya, dia beritahu yang dia sebenarnya mayat air dan separuh panas.
“Tasya pula kelihatan haus. Seorang ustaz yang menolong Tasya meminta saya memberinya air sirap sebagai ganti darah.
“Saya lihat Tasya minum air sirap yang disangka darah itu dengan gelojoh sekali sebelum dia pengsan,” jelas Roslim.
Roslim memberitahu, bangunan blok baru yang sedang dibina di sekolah berkenaan dipercayai menjadi punca kepada gangguan histeria itu.
Warga sekolah berkenaan pernah dikejutkan dengan penemuan dua lubang dipercayai kubur lama di tapak pembinaan makmal tiga tingkat sekolah berkenaan.
Kewujudan kubur lama dipercayai milik pendakwah Islam yang berusia kira-kira 100 tahun itu disedari berdasarkan pengakuan beberapa pengamal perubatan tradisional.
“Saya dan ibu bapa pelajar lain turut menyaksikan kejadian aneh di situ.
“Selepas membaca surah Yasin, dalam keadaan kurang cahaya, kami nampak beratus-ratus makhluk hitam berhimpun di padang sekolah bersebelahan tapak bangunan baru itu.
“Apabila lampu dipasang, makhluk itu bergerak sepantas kilat berpindah ke tempat lain,” cerita Roslim.
Menurut seorang penduduk, Mohamad Nor Harun, 72, Tanjung Lumpur sememangnya banyak kisah seram sejak lebih 60 tahun lalu.

Tempat keras
Kawasan berhampiran SMK Tanjung Lumpur pula menurut beliau merupakan bekas laluan sebatang anak sungai.
“Semasa saya kecil, ada anak sungai tidak jauh dari kawasan sekolah dan pada masa itu, sekolah itu belum dibina.
“Di sekitar sungai itu ada rumput halus dan tiga rumpun mengkuang kuning. Pada waktu malam, penduduk sering terdengar seperti ada suara orang berkampung di situ.
“Orang tua-tua pula beritahu, apabila sungai itu ditimbus untuk membina perkampungan baru, makhluk itu berpindah ke tempat lain. Pada waktu itu, tiada apa yang berlaku.
“Selepas berlaku histeria di sekolah itu lebih setahun lalu, saya teringat semula cerita orang tua-tua itu.
“Saya percaya makhluk itu berpindah dari sungai ke tapak bangunan baru sekolah itu,” katanya.
Menceritakan kisah-kisah seram di Tanjung Lumpur, Mohamad Nor berkata, cerita keranda terbang dan wanita berpakaian putih membawa anak berjalan-jalan pada waktu malam sering menjadi perbualan penduduk tempatan.
“Pada tahun 60-an dan 70-an, nelayan di sini ada yang didakwa membela saka untuk menolong mereka menjahit jala dan membaiki bot.
“Namun, zaman sudah berubah dan semakin ramai yang sedar perbuatan itu salah di sisi agama Islam. Anak-anak mereka enggan mewarisi saka itu.
“Akibatnya, saka tanpa tuan itu berkeliaran di pantai, kawasan kampung dan hutan,” katanya.
Mohamad Nor berkata, keadaan terus berubah selepas semakin banyak pembangunan di sekitar Tanjung Lumpur pada 1980-an.
“Sejak itu, tiada lagi kedengaran kisah orang kampung terjumpa atau tersampuk hantu.
“Tapi selepas tapak bangunan baru sekolah itu dibuka dua tahun lalu, kisah hantu timbul semula.


Dua alam
“Makhluk itu mengganggu mungkin disebabkan ia sudah tiada tempat lain untuk berpindah kerana hampir semua tempat sudah dibangunkan,” katanya.
Mengulas kejadian histeria di sekolah termasuk yang terbaru di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar, Temerloh, Pahang, 24 Januari lalu, pengasas Pusat Rawatan Islam Kiswah, Temerloh, Hayat An Naqsyabandi berkata, gangguan itu kemungkinan terjadi disebabkan pertembungan antara dua alam yang menimbulkan kemarahan di pihak makhluk ghaib.
“Alam ini dikongsi dan dihuni oleh makhluk yang nyata dan tidak nyata.
“Jika kita memasuki kawasan mereka tanpa adab dan melakukan perkara yang dilarang, misalnya maksiat, sudah pasti makhluk ghaib itu marah.
“Salah satu cara pemberontakan mereka ialah dengan memasuki tubuh manusia melalui 32 rongga sehingga membawa kepada kerasukan.
“Hakikat kejadian jin ini tidak dapat diketahui bagaimana bentuk dan rupanya, namun sesetengah manusia diberi gambaran dengan izin Allah,” jelasnya yang menganggap gambaran mengenai rupa dan bentuk jin adalah gambaran yang dikhayalkan mengikut pengaruh minda.
Ujar Hayat lagi, kemasukan jin ke dalam tubuh akan bertumpu di bahagian otak menyebabkan mangsa mendapat gangguan emosi tidak kira sama ada siang atau malam.
“Jin dan manusia mempunyai sistem waktu yang berbeza. Waktu kritikal bagi serangan histeria adalah waktu senja kerana waktu tersebut adalah pagi di alam mereka.
“Begitu juga dengan waktu tengah hari, ia adalah waktu tengah malam untuk makhluk jin,” tambah beliau yang sering dipanggil untuk merawat pelajar yang diserang histeria di sekolah dan ‘memagar’ kawasan sekeliling bagi mengelak gangguan pada masa akan datang.
Mengamalkan rawatan menggunakan terapi ruqyah syariyyah, Hayat menasihatkan pelajar dan pihak sekolah supaya mempertingkatkan kebersihan bagi mengelak gangguan lebih buruk.
“Ingatan untuk pelajar wanita, cuci dengan bersih tuala wanita sebelum membuangnya di tempat yang disediakan.
“Jika berlaku gangguan di sekolah, asingkan pelajar yang terkena histeria kerana rasukan yang mereka alami boleh melemahkan semangat pelajar lain.
“Sekiranya perkara ini terjadi, jin akan mendapat peluang untuk merasuk lebih ramai pelajar,” katanya yang aktif membantu merawat mangsa histeria, sihir serta santau sejak sepuluh tahun lalu.

Tuesday, February 8, 2011

Pesan Seorang Guru

Berhati-hatilah pada zaman ini, sangat sedikit mereka yang benar-benar memimpin tarekah tasawuf kepada ketauhidan. Ramai yang memimpin manusia kepada dzauk perasaan dalam zikir tanpa makrifat, kepada kasyaf dengan melihat jin dan alam ghaib di alam yang rendah, kepada karamah, kepada pemujaan dirinya yang berlebihan, mencari kemewahan dan pujian manusia.

Jika tiada ditemui para pembimbing yang benar, murid tidak akan sampai kepada tujuan tasawuf yakni kesucian tauhid yang hakiki. Mereka hanya dapat mengenal bunga-bunganya sahaja tetapi tiada dapat mencapai buahnya.

nota:

Guru tasawuf yang hakiki hanya mengajak kepada ketauhidan. Ia memulakan pada dirinya dengan membebaskan dirinya dari segala yang lain melainkan Allah dalam keimanan, perbuatan dan pandangan. Ia tiada mensyirikkan Allah dengan sifat dirinya, dengan nafsunya, dengan takut, harap dan pergantungan pada makhluk sekelilingnya. Ia berpegang pada keimanan yang berteraskan ASWJ, mentauhidkan Allah dengan hukum syariat sama ada dalam ibadah, akhlak, keluarga, ekonomi, politik, pendidikan dan mentauhidkan Allah dalam pandangan rohaninya dengan mencapai fana diri dan alam.

Mereka tiada mencari sesuatu dalam mendidik manusia melainkan ketauhidan, yakni ikhlas semata-mata mendapat redha Allah. Tiada memberi kesan pujian atau celaan manusia padanya. Ia bersikap adil dimana murid yang kaya dan ada kedudukan tiadalah diutamakan dan murid miskin tiadaklah direndahkan. Jika melihat guru mempunyai bicara ilmu yang baik, sanad yang baik, tarekah yang muktabar tetapi ketauhidannya lemah, keakuan diri masih tinggi, sifat mazmumah masih menebal, cinta dunia dan alam ghaib masih kuat, ia bukannya pembimbing tasawuf yang hakiki. Golongan ini adalah para mutasawwif yang menipu manusia di atas nama tasawuf. Tiada apa yang mereka bawa melainkan kepada kesesatan hawa nafsu, ketebalaan syirik (keakuan diri), alam jin (kebatinan) dan kepada wahdatul wujud yang sesat.

Jesteru di zaman banyak tipudaya ini, penulis menyarankan agar memperbanyakkan selawat demi mendapat keselamatan diri dan mendapat cahaya makrifat. Namun jika menjumpai sheikh yang benar, iaa adalah rezeki dari Allah sebagai wasilah untuk memimpin kita kepadaNya.

Berkata arifbillah: "Jika Allah mengkehendaki kebaikan pada seseorang, maka ia akan mempertemukan dengan mereka yang akan membawanya kepada kebaikan".

Sebaik-baik syaikh untuk kita bersuhbah (bersahabat) ialah mereka yang apabila kita memandangnya, ia membawa ingatan kepada Allah.

[Petikan kata-kata Sheikh Ibrahim Mohamad Asy-Syathari dalm bukunya Syariat & Hakikat]