TIDAK henti-henti menangis sehingga tidak terdengar suara tangisan antara sindrom sawan tangis. - Gambar hiasan
SAAT dikurniakan anak merupakan momen bahagia bagi setiap pasangan. Senyuman dan tangisan bayi yang memperuntukkan kira-kira 60 peratus masanya untuk tidur pasti sukar dilupakan.
Tetapi bayi yang sering menangis tentu sahaja membuatkan ibu bapa risau.
Terdapat beberapa andaian si manja berkelakuan sedemikian, antaranya keadaan fizikal bayi itu dan persekitaran.
Segelintir masyarakat Melayu menganggap si bayi telah terkena sawan tangis yang dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk halus.
Seorang pengamal perubatan Islam, Datuk Dr. Amran Kasimin, memberitahu, menangis merupakan satu peryataan bayi bagi menggantikan pertuturan.
Hilang suara
“Ada yang mengaitkan sawan tangis dengan gangguan makhluk halus yang diistilahkan sebagai qarin,” cerita Amran.
Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab yang bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh jahat, yang terdiri daripada makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia sejak lahir.
Lebih pelik, bayi atau kanak-kanak akan menangis pada waktu tertentu seperti selepas tengah malam sehingga berjam-jam lamanya.
Bagaimanapun, pada waktu lain bayi akan tidur dengan nyenyak selain tiada tanda dia terganggu apabila diperiksa oleh doktor.
“Petunjuk tadi membuktikan bayi mungkin terganggu disebabkan gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau melalui eksperimen teknologi moden.
“Malah, bayi memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya,” kata Amran.
Tuturnya, sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan makhluk halus itu menyebabkan bayi tidak henti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya.
“Setelah berhenti dia akan menangis semula. Demikianlah halnya, yang kadang-kadang memakan masa berjam-jam menyebabkan ibu letih dan gelisah.
“Ironi, sukar untuk membuktikan bahawa sawan tangis berlaku disebabkan gangguan makhluk halus semata-mata walaupun perkara itu pernah berlaku,” kata Amran.
Kembung bayi
Pakar Pediatrik Hospital Pantai Ampang, Dr. Wan Khairina Wan Mohd. Nowalid, menjelaskan sawan tangis yang dikenali oleh masyarakat Melayu ada persamaan dengan infant colic atau kembung bayi yang merujuk kepada fenomena bayi menangis dengan kerap tanpa sebab.
“Selepas diperiksa oleh doktor keadaan bayi didapati sihat dan membesar seperti bayi yang lain.
“Tetapi lebih kurang 20 peratus bayi mengalami infant colic yang lazimnya akan berhenti secara semula jadi semasa mereka berusia empat atau lima bulan,” katanya.
Namun, Wan Khairina memberitahu, ada juga kes berlanjutan sehingga mereka berusia setahun.
Katanya, tangisan bayi boleh berlaku pada bila-bila masa tetapi kebiasaannya pada waktu petang.
“Sebahagian pakar perubatan menyifatkan infant colic sebagai tangisan yang berterusan sehingga lebih tiga jam sehari.
“Ia berlaku pada semua bayi tanpa mengira bangsa dan agama,” jelasnya.
Tambah Wan Khairina, kemurungan yang dialami ibu bayi semasa mengandung boleh menjadi faktor kembung bayi.
“Ada penyelidikan yang mendapati tekanan semasa mengandung mengakibatkan anak yang dilahirkan mempunyai kadar hormon stres yang tinggi.
“Namun, ibu bapa perlu memastikan tangisan tersebut bukan disebabkan masalah lain seperti ketidakselesaan, sakit, lapar dan kotor,” ujarnya.
Ceritanya, bayi juga perlu diperiksa oleh pakar kanak-kanak untuk menentukan ia bukan berkaitan dengan penyakit atau keadaan kesihatan bayi seperti meningitis dan jangkitan kuman dalam darah atau air kencing.
“Bantuan nasihat serta kaunseling dapat membantu mengurangkan tekanan ibu bapa dan juga bayi.
“Oleh kerana tiada solusi tertentu yang paling berkesan, kaedah seperti urutan lembut, mendakap atau membedung bayi malah mendedahkan mereka pada bunyi dengungan seperti mesin basuh atau deruan kereta sedikit sebanyak boleh membantu masalah ini,” ujarnya.
Persekitaran yang bebas daripada bakteria juga berperanan mengurangkan risiko kembung bayi. Umat Islam pula digalakkan memperdengarkan bacaan al-Quran atau zikir bagi membantu menyelesaikan situasi yang dialami bayi itu.
Sumber: Kosmo Online