Monday, August 4, 2014

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum... Admin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin


Monday, March 18, 2013

Amalan Meluaskan Pintu Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T. memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.


Di antaranya:


01.Menyempatkan diri beribadah


Allah S.W.T. tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:


“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.]


02.Memperbanyakkan istighfar


Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah S.W.T., yang menjadi sebab Allah S.W.T. jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi S.A.W.:


“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” – [Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a]


03.Tinggalkan perbuatan dosa


Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.:


“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” – [Riwayat at-Tirmizi]


04.Sentiasa ingat Allah S.W.T.


Banyak ingat Allah S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah S.W.T.beri kepada orang beriman. Firman-Nya:


“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram.” [Ar-Ra'd: 28]


05.Berbakti dan mendoakan ibu bapa


Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda:


“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya.” – [Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]


Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:


“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya.” – [Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]


06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah.


Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.:


“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” – [Riwayat Bukhari]


07.Tunaikan hajat orang lain


Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:


“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya” – [Riwayat Muslim]


08.Banyak berselawat


Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.


09. Banyakkan berbuat kebajikan


Ibnu Abbas berkata:


“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”


10.Berpagi-pagi


Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.


11.Menjalinkan silaturrahim


Nabi S.A.W. bersabda:


“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” – [Riwayat Bukhari]


12.Melazimi kekal berwuduk


Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:


“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki.” – [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid]


13.Bersedekah


Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah S.W.T. buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:


“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan baginya.” – [Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]


14.Melazimi solat malam (tahajjud)


Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..


15.Melazimi solat Dhuha


Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” – [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]


16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.


Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:


“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” – [Ibrahim: 7]


Firman-Nya lagi:


“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” – [Ali Imran: 145]


17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu


Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.


Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.


18.Berdoa


Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.


19.Berikhtiar sehabisnya


Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.


Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.


20.Bertawakal


Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti firman-Nya:


“Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan (keperluannya).” – [At-Talaq: 3]


Nabi S.A.W. bersabda:


“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” – [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.]


Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa, Allah S.W.T. akan memberi “… jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” – [At-Talaq: 2-3]


Pendek kata, bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenar, kuncinya adalah dengan melaksanakan amalan-amalan takwa.


Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T., lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.
 
 
Kredit: iluvislam

Persoalan alam ghaib urusan Allah

SETIAP makhluk yang dijadikan Allah tidak sesekali akan terlepas daripada kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau orang mukmin. Setiap daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir seperti mana disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.
Kehadiran kematian amat menggerunkan dan menakutkan jika mendapat khabar berita bahawa salah seorang rakan paling hampir dengan kita dipanggil menyahut seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan individu berkenaan.

Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat Izrail.
Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.
Bagaimanapun di sebalik kegerunan tersebut, wujud persoalan dalam kalangan umat Islam berhubung saat menjelangnya kematian. Terdapat kalangan mereka bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum menjelangnya kematian. Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa berpisah dari badan.

Maka wujud pelbagai pandangan, antaranya menyatakan roh berlegar-legar di kediamannya selama 44 hari selepas si mati meninggal dunia.
Malah ada mengatakan roh pulang pada bulan Ramadan. Selain itu, berlakunya amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perkara tersebut dibimbangi menyebabkan akidah umat Islam terpesong kerana kepercayaan samiyat (alam ghaib) sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran manusia.

Bagaimanapun persoalan roh tidak wajar diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai umat Islam kita perlu menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum menuju alam abadi bahkan perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.

Hujah demikian berpandukan ayat 85 surah al-Israk yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit.

Pun begitu, bagi menjernihkan persoalan alam kematian agar umat Islam tidak terkeliru, para ulama telah mengarang tulisan berdasarkan nas sahih agar ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi berlandaskan akidah Islam.
Saat nazak

Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.
Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia sendiri.

Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya kematian atau juga dikenali sebagai nazak.
Menurut Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademi, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya.

Jelas Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut berdasarkan ayat 83 sehingga 85 surah al-Waqiah yang bermaksud: Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.

Mohammad Nidzam berkata, menerusi ayat tersebut, selain para ulama menafsirkan taubat manusia diterima selagi mana roh tidak sampai di bahagian halkum dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya dapat menyaksikan kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai kesakitan berkenaan.

Ketika menjelaskan dakwaan berlaku tanda-tanda menjelangnya kematian seperti dahi berdenyut, mata berkelip-kelip atau keluar peluh berwarna emas hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat seseorang sedang nazak, beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak diketahui hakikatnya). (rujuk Luqman: 34)

"Berdasarkan ayat berkenaan, jelas menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh kematian. Kita tidak boleh meneka waktu kematian akan kunjung tiba kerana perkara berkenaan adalah urusan Allah, hatta Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila baginda akan wafat.
"Jangan cuba berteka-teki alamat kematian. Paling utama kita mesti melakukan persiapan daripada segi bekalan pahala pada bila-bila sahaja," kata Mohammad Nidzam.

Mengenai dakwaan bahawa orang sedang nazak mengetahui destinasi seterusnya sama ada diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke neraka, Mohammad Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: "Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum akhir hayat akan masuk syurga."

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.

Ujar Mohammad Nidzam, seseorang sedang nazak menyedari dan yakin ganjaran seperti mana dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah kepada orang beriman. (rujuk al-Nahlu: 31-32)
Lain pula nasib menimpa orang yang ingkar, nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah dalam ayat 28 surah al-Nahlu yang bermaksud: Iaitu mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya). Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.

"Terdapat pula dakwaan yang mengatakan ibu bapa datang menjemput orang sedang nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang datang itu bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan datang untuk menggoda keimanan manusia.

"Bagi menggelakkan perkara itu terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang nazak dengan kalimah Lailallahillah agar ditetapkan keimanan dengan Allah," jelas beliau.
Mohammad Nidzam antara lain turut menyarankan adalah lebih baik mengajarkan kalimah di atas kepada mereka yang sedang nazak itu daripada sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri meraung kerana tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.

Sumber: Utusan Online.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130315/ba_01/Persoalan-alam-ghaib-urusan-Allah#ixzz2Nx8OxXcF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, September 11, 2012

Badi dalam masyarakat Melayu

ADA satu gejala yang lumrah diketahui umum oleh orang Melayu yang boleh menyebabkan seseorang itu sasau dan akhirnya mungkin menjadi gila. Gejala itu dikenali sebagai badi. Tidak ada definisi khusus vang boleh dipertu­runkan untuk menghuraikan maksudnya dengan tepat. Walau demikian, menurut yang difahami oleh orang Melayu badi ialah.
 
 
Satu kekuatan atau kuasa jahat yang ada pada binatang-binatang tertentu yang boleh menyebabkan kecelakaan kepada manusia yang cuba menyakiti atau membunuh binatang-binatang tersebut. Badi juga dipercayai wujud pada mayat.
 
 
Boleh dikatakan kebanyakan binatang hutan mempunyai badi. Oleh sebab itu binatang tersebut tidak boleh dibunuh dan dibawa pulang ke rumah tanpa petua petua tertentu. Ayam hutan. Kancil, rusa dan kijang dianggap mempunyai badi yang kuat.
 
 
Begitu juga dirujuk kepada binatang ­binatang tertentu seperti rusa, kijang dan ayam hutan yang dikatakan menjadi binatang belaan makhluk-makhluk halus yang akan bertindak melindunp binatang peliharaannya ketika binatang itu diburu. Dan sinilah kadang-kadang terjadinya kejadian yang ganjil-ganjil ketika seseo­rang itu menembak binatang. seseorang itu mungkin menghalakan senapangnya kepada satu objek yang dilihatnya benar ­benar seperti rusa, tetapi apabila ditem­bak didapati bayangan manusia penggan­ti rusa. Ataupun mungkin objek itu dilihatnya seperti rusa, tetapi apabila ditembak. didapati yang terbunuh ialah kawannya sendiri. Banyak orang yang pergi memburu tidak menemui jalan balik untuk beberapa hari. Hal itu mungkin berlaku akibat perbuatan makhluk-makhluk halus.
 
 
Menembak ayam
Ada juga orang yang menembak ayam hutan, sebaik-baik sahaja ayam menggelupur dan mati, anaknya di rumah turut sama mati tanpa sebab. Cara kema­tian anak di rumah menyerupai kelakuan ayam yang menggelupur kesakitan di hutan. Ada juga orang yang berburu dan menembak ayam tepat pada sasarannya. Ayam kelihatan menggelupur, bulu-bulu bertaburan tetapi bangkai ayam tidak ada apabila dihampiri. Badannya terasa ngeri dan takut diikuti dengan rasa seram sejuk, menggigil dalam perjalanan pulang lalu demam. Ketika hendak tidur, ia merasakan berpuluh-puluh ekor ayam hutan datang memagut biji mata dan kepalanya. Hal tersebut menyebabkannya tidak siuman, lalu menjerit-jerit meminta tolong yang akhirnya membawa kepada gila.
 
 
Ikan merah
Menurut kepercayaan Orang Laut pantai barat, negeri Johor. ikan juga mempun­yai badi. lkan vang dikatakan kuat badinya ialah ikan merah yang ganjil daripada biasa. lkan ini mempunyai sisik yang terbalik atau sisiknya tegak. Sekiranya ikan merah seumpama ini ditangkap, ia hendaklah dipukul teriebih dahulu, atau dijirus dengan air sejuk dari kepala hingga ke ekor beberapa kali hing­ga sisiknya kembali normal.
lkan merah yang memakan anak ikan yang masih hidup dalam mulutnya juga tidak boleh diusik. lkan yang masih hidup itu tidak boleh dikeluarkan dari mulutnya. Kalau ini dilakukan, pelakunya akan terkena badi. Pernah terjadi nelayan yang cuba mengeluarkan anak ikan yang masih hidup dari mulut ikan merah telah terke­na badi. Kemudian menyebabkannya tidak sedarkan diri di tempat kejadian itu. Matanya terbeliak putih, tangannya asvik memegang lehernya meminta tolong kerana terlalu kesakitan.
Selain badi binatang, orang-orang Melayu mempercayai adanya badi manu­sia, terutamanyaa pada orang yang mati berdarah. seperti kerana kemalangan, akibat pergaduhan dan lain-lain lagi. Badi orang mati mudah mengena kepada orang yang lemah semangat, seperti kanak kanak dan perempuan, terutamanya perempuan yang sedang mengandung. Begitu juga dengan orang sakit, teruta­manya sakit yang berpunca daripada angkara makhluk-makhluk halus. Mereka tidak dibenarkan melawat orang mati, ditakuti akan terkena badi. Di kalangan Orang Asli Segamat dan Muar, orang yang sakit dan dalam jagaan pawang atau bomoh tidak dibenarkan melawat orang mati. Ditakuti kuman orang mati itu akan menjangkit orang yang sakit tadi dan menyebabkannya mati tidak lama selepas itu.
Orang yang kena badi mayat akan merasa badannya panas, sukar hendak tidur malam, kemudian meracau bercakap sendiri yang akhirnya boleh menjadi sasau atau gila. Badan menjadi kurus kering seperti mayat kerana kehi­langan selera makan dan tidak cukup tidur, juga kerana ada gangguan. Gambaran orang mati dan tanah kubur dirasai selalu menghantuinya pada setiap kali hendak tidur.
Orang yang terlibat dengan urusan mayat, sama ada mayat biasa, atau mayat yang luar biasa seperti mayat yang telah busuk, dihanyutkan air dan ditemui setelah beberapa hari, atau mayat 'vang mengerikan, perlukan ketabahan dan keberanian. Jangan dipaksa atau dib­erani-beranikan kalau seseorang itu merasakan tidak boleh berbuat demikian.
 



Oleh
PROF. DR.HARON DIN
Klinik Darussyifa’ Bangi

Menangis hingga hilang suara



TIDAK henti-henti menangis sehingga tidak terdengar suara tangisan antara sindrom sawan tangis. - Gambar hiasan



SAAT dikurniakan anak merupakan momen bahagia bagi setiap pasangan. Senyuman dan tangisan bayi yang memperuntukkan kira-kira 60 peratus masanya untuk tidur pasti sukar dilupakan.
Tetapi bayi yang sering menangis tentu sahaja membuatkan ibu bapa risau.
Terdapat beberapa andaian si manja berkelakuan sedemikian, antaranya keadaan fizikal bayi itu dan persekitaran.
 
Segelintir masyarakat Melayu menganggap si bayi telah terkena sawan tangis yang dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk halus.
Seorang pengamal perubatan Islam, Datuk Dr. Amran Kasimin, memberitahu, menangis merupakan satu peryataan bayi bagi menggantikan pertuturan.
Hilang suara
 
“Ada yang mengaitkan sawan tangis dengan gangguan makhluk halus yang diistilahkan sebagai qarin,” cerita Amran.
Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab yang bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh jahat, yang terdiri daripada makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia sejak lahir.
Lebih pelik, bayi atau kanak-kanak akan menangis pada waktu tertentu seperti selepas tengah malam sehingga berjam-jam lamanya.
 
Bagaimanapun, pada waktu lain bayi akan tidur dengan nyenyak selain tiada tanda dia terganggu apabila diperiksa oleh doktor.
 
“Petunjuk tadi membuktikan bayi mungkin terganggu disebabkan gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau melalui eksperimen teknologi moden.
“Malah, bayi memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya,” kata Amran.
 
Tuturnya, sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan makhluk halus itu menyebabkan bayi tidak henti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya.
“Setelah berhenti dia akan menangis semula. Demikianlah halnya, yang kadang-kadang memakan masa berjam-jam menyebabkan ibu letih dan gelisah.
 
“Ironi, sukar untuk membuktikan bahawa sawan tangis berlaku disebabkan gangguan makhluk halus semata-mata walaupun perkara itu pernah berlaku,” kata Amran.
Kembung bayi
 
Pakar Pediatrik Hospital Pantai Ampang, Dr. Wan Khairina Wan Mohd. Nowalid, menjelaskan sawan tangis yang dikenali oleh masyarakat Melayu ada persamaan dengan infant colic atau kembung bayi yang merujuk kepada fenomena bayi menangis dengan kerap tanpa sebab.
 
“Selepas diperiksa oleh doktor keadaan bayi didapati sihat dan membesar seperti bayi yang lain.
“Tetapi lebih kurang 20 peratus bayi mengalami infant colic yang lazimnya akan berhenti secara semula jadi semasa mereka berusia empat atau lima bulan,” katanya.
 
Namun, Wan Khairina memberitahu, ada juga kes berlanjutan sehingga mereka berusia setahun.
Katanya, tangisan bayi boleh berlaku pada bila-bila masa tetapi kebiasaannya pada waktu petang.
“Sebahagian pakar perubatan menyifatkan infant colic sebagai tangisan yang berterusan sehingga lebih tiga jam sehari.
“Ia berlaku pada semua bayi tanpa mengira bangsa dan agama,” jelasnya.

Tambah Wan Khairina, kemurungan yang dialami ibu bayi semasa mengandung boleh menjadi faktor kembung bayi.
“Ada penyelidikan yang mendapati tekanan semasa mengandung mengakibatkan anak yang dilahirkan mempunyai kadar hormon stres yang tinggi.
 
“Namun, ibu bapa perlu memastikan tangisan tersebut bukan disebabkan masalah lain seperti ketidakselesaan, sakit, lapar dan kotor,” ujarnya.
Ceritanya, bayi juga perlu diperiksa oleh pakar kanak-kanak untuk menentukan ia bukan berkaitan dengan penyakit atau keadaan kesihatan bayi seperti meningitis dan jangkitan kuman dalam darah atau air kencing.
 
“Bantuan nasihat serta kaunseling dapat membantu mengurangkan tekanan ibu bapa dan juga bayi.
“Oleh kerana tiada solusi tertentu yang paling berkesan, kaedah seperti urutan lembut, mendakap atau membedung bayi malah mendedahkan mereka pada bunyi dengungan seperti mesin basuh atau deruan kereta sedikit sebanyak boleh membantu masalah ini,” ujarnya.
Persekitaran yang bebas daripada bakteria juga berperanan mengurangkan risiko kembung bayi. Umat Islam pula digalakkan memperdengarkan bacaan al-Quran atau zikir bagi membantu menyelesaikan situasi yang dialami bayi itu.

Sumber: Kosmo Online

Monday, September 10, 2012

Khidmat bekam untuk lelaki di Seremban

Assalamualaikum..

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan khidmat bekam bolehlah menghantar sms ke no 019-2037877 (saudara Khirman) untuk temujanji. Jadual bekam adalah seperti di bawah:

Isnin -  Jumaat : 9.00 malam - 10.30 malam

Sabtu & Ahad : 11.00 pagi - 9.00 malam

Alamat: Taman Warisan Puteri Presint 4, Jalan Sikamat, Seremban.

Kos bekam: RM5.00 per cup.



Wednesday, June 13, 2012

Peristiwa Khatam al-Nubuwwah Rasulullah

SETELAH Jibril membelah dada Rasulullah SAW, menyucikan hati dan mengisinya dengan kelembutan, ilmu keyakinan, beliau pun memeterai di antara dua bahu Baginda SAW dengan Khatam al-Nubuwwah, iaitu seketul daging kecil yang timbul dan ditumbuhi bulu, di sebelah atas bahu kiri Baginda SAW.
Terdapat hikmah yang besar daripada peristiwa perletakkan ini, di mana setelah hati Baginda SAW dipenuhi dengan iman, hikmah dan keyakinan, serta dihimpunkan dengan sifat-sifat kenabian, maka ia dimeterai sebagaimana dimeterai di luar bekas yang telah dipenuhi dengan kasturi dan mutiara.
Dengan pemeteraian ini, tidak ada lagi sebarang jalan bagi musuh-musuh untuk mengganggu atau menggoda Baginda SAW. Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa khatam ini telahpun ada sebelum itu.
Menurut zahir sebuah hadis, semasa dilahirkan telah ada kesan tersebut pada jasad Baginda SAW. Kemudian tanda itu semakin membesar hingga menjadi sebesar telur merpati selepas peristiwa pembelahan dada pada malam Israk dan Mikraj berdasarkan gabungan beberapa riwayat.
Apa yang hendak dijelaskan di sini, keistimewaan ini khusus buat Baginda SAW kerana beberapa maksud. Di antaranya, khatam ini merupakan tanda penutup kenabian kerana ia tidak akan dibuka selepas itu.
Diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Wahhab bin Munabbih, berkata: "Allah tidak membangkitkan seseorang nabi melainkan terdapat tanda kenabian di tangan kanannya. Kecuali Nabi kita Muhammad SAW, tanda kenabiannya terletak di antara dua bahunya."
Maka perletakkan ini adalah suatu keistimewaan yang membezakan Baginda SAW dengan nabi-nabi lain. Dikatakan juga Khatam al-Nubuwwah ini diangkat ketika kewafatan Baginda SAW.

Rasulullah tunggang Buraq

Kemudian Rasulullah SAW menunggang seekor Buraq. Buraq diambil daripada perkataan al-Bariq yang bermaksud putih kerana warnanya yang putih di mana ia merupakan semulia-mulia warna atau ia diambil daripada perkataan al-Barq yang bermaksud kilat kerana kepantasan pergerakan dan kelajuan perjalanannya.
Allah SWT mengutus Buraq dari syurga untuk membesarkan dan memuliakan Baginda SAW. Sebagaimana adat bagi raja-raja, apabila mengundang orang-orang besar atau seseorang yang istimewa, maka diutuskan kepadanya kenderaan khusus yang hebat bersama orang kanan untuk mengundangnya. Maka Buraq itu dari alam ghaib.
Rasulullah SAW tidak diisrakkan, sama ada dengan mengenderai sayap malaikat, dibawa oleh angin sebagaimana angin yang membawa Nabi Sulaiman AS, ataupun dengan lipatan masa. Tujuannya, untuk memperlihatkan tanda kekuasaan Allah yang terkeluar daripada adat kebiasaan dan menakjubkan.
Kemudian Nabi SAW bersama Buraq melalui beberapa tempat yang berkat dan mulia. Di antaranya (tempat yang pertama), mereka tiba di suatu tempat yang terdapat di sana banyak pohon kurma. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Nabi SAW pun mematuhi permintaan Jibril itu.
Setelah itu, mereka pun berangkat kembali dan Jibril pun bertanya, "Apakah tuan tahu mengenai tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Jibril berkata, "Tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi ialah Toibah (Madinah al Munawwarah) dan tuan akan berhijrah ke sana kelak."
Kemudian Buraq bersama Nabi SAW sampai ke Madyan; tempat terdapat pokok Nabi Musa a.s berlindung di bawahnya ketika keluar dari Mesir. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Baginda SAW pun turun dan bersolat.
Kemudian mereka menuju ke Tur Sina; di mana Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa a.s Jibril berkata, "Silalah tuan turun di sini dan tunaikanlah solat." Baginda SAW pun turun dan bersolat.
Kemudian Nabi SAW sampai ke suatu tempat yang kelihatan di sana istana-istana negara Syam. Jibril pun berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Baginda memenuhi permintaan Jibril.
Jibril berkata, "Adakah tuan tahu mengenai tempat tuan melakukan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Maka Jibril berkata, "Sebentar tadi, tuan solat di Bait Lahm; tempat Nabi Isa ibnu Maryam a.s dilahirkan."
Turun dan solatnya Nabi SAW di tempat-tempat di atas, merupakan bukti besar menunjukkan hubungan tempat tersebut dengan Islam dan Baginda SAW merupakan Nabi Islam.
Ia juga membuka pintu keperihatinan umat Islam terhadap kesan-kesan sejarah agama yang berhubung kait dengan peristiwa-peristiwa besar, tempat mulia dan kenangan zaman silam.
Bagi menghidupkannya, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat dan kurniaan-Nya dengan cara beribadah, berdoa dan berfikir tentang manfaat dan kebaikannya itu ternyata kembali semula kepada umat manusia.

Imam di Baitul Maqdis

Kemudian Baginda SAW menyambung perjalanan hingga tiba di kota Bait al Maqdis dan memasuki kota itu dari pintu gerbang sebelah kanan. Kemudian menambat Buraq berdekatan pintu masjid dengan kekang yang biasa digunakan oleh para Nabi AS.
Dalam riwayat yang lain, Jibril pergi ke sebuah batu besar dan membuat lubang pada batu besar itu dengan jarinya. Di sanalah Jibril menambat Buraq itu.
Baginda SAW masuk ke dalam masjid melalui pintu arah terbenam matahari dan bulan (sebelah barat). Kemudian Baginda dan Jibril solat dua rakaat. Tidak lama kemudian, banyak manusia berkumpul di situ. Nabi mengetahui mereka itu ialah para nabi, yang ada di kalangan mereka sedang solat, rukuk dan sujud.
Kemudian muazzin mengumandangkan azan menandakan solat akan didirikan. Maka mereka semua berbaris menyusun saf dan menunggu imam. Jibril mencapai tangan Baginda SAW dan mempersilakannya menjadi imam. Maka Baginda SAW pun solat bersama mereka dua rakaat.
Daripada Ka'ab RA meriwayatkan: Jibril mengumandangkan azan dan para malaikat turun dari langit. Allah memerintahkan seluruh nabi dan rasul berkumpul. Maka Baginda SAW pun menjadi imam dan solat bersama seluruh malaikat dan para rasul.
Setelah selesai, Jibril berkata, "Wahai Rasulullah, adakah tuan mengetahui siapakah mereka yang solat di belakang tuan sebentar tadi?" Jawab Baginda, "Tidak." Jibril SAW berkata, "Mereka ialah seluruh nabi yang diutuskan Allah."

Sumber: Utusan Online