Silat melalui perantaraan jin
Amalan kebatinan mempertahankan diri, yang hakikatnya banyak dilakukan, dipelajari dan diamalkan di Nusantara, tetapi malangnya, hakikat amalan ini terlalu sedikit diketahui umum, termasuk oleh mereka yang mengamalkannya. Insya-Allah apa yang saya terangkan dalam ruangan ini adalah pandangan saya yang jujur lagi telus. Dalam masa yang sama, saudara juga perlu jujur lagi telus, mengakui kebenaran apabila hati kecil saudara merasakan bahawa sesuatu itu benar.
Ada beberapa perkara penting perlu dilakukan dalam usaha memahami amalan kebatinan mempertahankan diri seperti yang saudara pelajari.
1) Amalan kebatinan seperti ini tidak banyak diketahui umum hakikatnya, biarpun banyak orang yang mempelajarinya, termasuk mereka yang berpangkat. Ilmu ini penuh dengan rahsia (khafiy) lagi tersembunyi. Kerana itu ilmu itu dikategorikan sebagai ``ilmu kebatinan'' atau ilmu yang tersembunyi, yang tidak boleh diketahui umum.
2) Kaedah mempelajari amalan ini adalah berbeza menurut kaedah pembelajaran yang diturunkan, diijazahkan atau taat setia yang dilakukan di antara murid dengan guru.
3) Nama kumpulan terlibat adalah berbeza, yang kebanyakannya ada unsur Islam, seperti Silat Syeikh, amalan al-Fatihah, Silat Seru, Silat Sinar Islam, Silat Hikmah, Silat Daim Perati dan sebagainya. Amalan tersebut melibatkan pengijazahan daripada guru kepada murid, amalan-amalan berzikir, seperti yang banyak diamalkan dan lain-lain lagi termasuk berpuasa dan berpantang supaya jangan tinggal sembahyang, jangan berzina, jangan melawan guru, bermusuhan sesama anak murid, kekuatan yang ada mesti untuk Islam semata-mata dan sebagainya.
Latar belakang seumpama ini menjadikan pengamalnya juga mereka yang mengetahui dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada ajaran Islam atau setidak-tidaknya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam masa yang sama ada di antara mereka yang menganggap bahawa amalan seumpama ini sebagai salah satu kaedah menghampirkan diri kepada Allah.
4) Saudara tidak pernah mempelajari ilmu mempertahankan diri, sama ada silat, tae kwan do, karate dan sebagainya. Setelah mempelajari ilmu ini dengan cara-cara tertentu, juga ijazah daripada guru, saudara boleh bersilat.
Saudara rasa bahawa dalam tubuh, pada tangan, kaki dan badan, ada satu kuasa yang meresap dalam diri, menggenggam tangan, melangkah ke hadapan, ke belakang, menyepak, menepis dan sebagainya. Segala-galanya berlaku di luar kehendak atau kawalan saudara. Ketika itu saudara menjadi seolah-olah objek asing, yang memerhatikan pelbagai tingkah laku dan pergerakan yang dilakukan oleh tubuh saudara.
Tubuh saudara rasa sendat, keras, kebal dan tidak sakit atau tidak rasa apa-apa ketika dipukul atau ditumbuk. Segala-galanya berlaku di luar kawalan. Ketahuilah bahawa punca yang menjadikan hal sedemikian rupa adalah kerana adanya jin, atau jin-jin atau syaitan atau menurut sebutan orang Melayu ``hantu-hantu,'' yang meresap dalam tubuh saudara.
Setiap perbuatan manusia yang melibatkan jin-jin dinamakan sihir. Saudara ketika itu sebenarnya boleh bersilat akibat daripada jin yang meresap dalam tubuh tadi. Jelas bahawa saudara bersilat adalah dengan perantaraan sihir, atau perantaraan jin-jin. Sihir tidak akan berlaku, atau boleh dilakukan oleh manusia kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin.
Ciri-ciri lain membuktikan sesuatu amalan itu melibatkan sihir adalah natijah yang mencarik adat (kharigu l'adah). Dalam konteks ini saudara tidak pernah mempelajari ilmu persilatan, tetapi setelah menuntut dan diberi ijazah, saudara boleh bersilat. Hal demikian adalah sesuatu yang mencarik adat atau berlawanan dengan adat.
Saudara juga menjadi kebal, tidak rasa sakit ketika dipukul atau ditumbuk. Pada kebiasaannya, manusia apabila ditumbuk atau dipukul akan rasa sakit, tetapi saudara tidak. Hal demikian adalah di luar kebiasaan. Bukti ini memperkuat lagi hujah bahawa apa yang saudara lakukan, juga mereka yang mempunyai ilmu seperti saudara adalah terlibat dengan amalan sihir atau amalan yang melibatkan iblis dan syaitan.
Apa yang berlaku sebenarnya bukan hakikat diri saudara. Saudara boleh bersilat, kebal, menjadi kuat adalah buat sementara sahaja, iaitu ketika makhluk tersebut berada meresap dalam tubuh.
Apabila makhluk ini keluar daripada tubuh saudara, ketika itu saudara akan menjadi manusia biasa, walaupun demikian, kesan daripada pukulan yang saudara terima seperti letih, perit, sengal tetap rasa pada diri saudara.
Natijah daripada ilmu yang saudara pelajari tidak dapat difikiri oleh akal, bagaimana ia boleh berlaku. Akal tidak dapat memberi satu alasan yang munasabah (ma'kul) bagaimana orang yang tidak pernah belajar bersilat boleh bersilat. Dipukul tetapi tidak rasa sakit, ditikam tidak lut. Hal demikian tidak berlaku dalam keadaan biasa, walaupun demikian ia boleh berlaku akibat adanya penglibatan makhluk-makhluk halus seperti yang dijelaskan tadi.
Banyak alasan yang dikemukakan atau diberi oleh mereka yang melibatkan diri dengan amalan seperti ini di antaranya bahawa apa yang berlaku adalah berkat amalan yang dilakukan, berzikir, berpuasa dan menahan diri daripada melakukan larangan Allah. Yang lain memberi alasan bahawa ia berlaku hasil daripada tenaga batin yang terkumpul melalui kaedah-kaedah tertentu terutamanya pengijazahan daripada guru.
Amalan kebatinan seperti ini sebenarnya lebih banyak membawa kekeliruan masyarakat. Ia boleh digunakan pada amalan yang tidak dapat diyakini kepastiannya atau keberkesanannya.
Sekiranya amalan seperti ini benar-benar memberi kebaikan, untuk mempertahankan diri, bangsa, agama dan sebagainya, kenapa ia tidak dapat dieksploitasi ketika menentang keganasan secara global di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, ataupun ketika dalam upacara sukan, mengangkat berat, pertandingan antarabangsa dan sebagainya.
Apa yang jelas ia hanya boleh digunakan ketika bergaduh sesama sendiri, sesama teman sekampung, antara kumpulan kecil penduduk tempatan atau hanya untuk pertunjukan semata-mata.
Ilmu seperti ini tidak semestinya ``menjadi'' setiap kali atau terdesak. Tidak seseorang itu menjadi kebal, badannya bejat tidak rasa sakit ketika dipukul, tendangannya menjadi seperti lontaran batu setiap kali berhadapan dengan musuh.
Ketika itu dirinya menjadi seperti manusia biasa, kerana jin yang diseru, yang dipanggil tidak datang untuk melindungi dirinya.
Saya beranggapan bahawa amalan kebatinan seperti ini adalah memberi mudarat atas alasan-alasan yang jelas, amalan ini tidak pernah diajar atau dilakukan di zaman nabi, sahabat, tabiin dan sebagainya. Rasulullah dan para sahabat tidak kebal. Dalam peperangan Uhud baginda kehilangan gigi, Saidina Othman dan Ali mati dibunuh begitu juga dengan Saidina Hamzah.
Dalam keadaan seperti ini orang yang terlibat, dia sebenarnya telah memanggil, mempelajari ilmu supaya jin-jin itu meresap dalam diri. Bererti orang seumpama ini telah melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah, secara sedar atau tidak disedari, telah memanggil jin-jin meresap dalam tubuh, padahal Allah meminta setiap orang yang beriman itu agar menjauhkan diri daripada jin-jin, iblis dan syaitan. Rujuk firman Allah surah al-Jinn: 6, an-Nisa: 38, Yunus: 106, al-a'raf: 27 dan lain-lain lagi.
Rasulullah bersabda menyatakan bahawa syaitan itu berupaya berlari dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah. Hadis ini juga hadis-hadis lain yang tidak ditulis di sini membuktikan bahawa kewujudan iblis atau jin dalam tubuh manusia itu adalah kenyataan yang benar.
Apabila makhluk ini berada dalam tubuh manusia, maka dia akan mengambil tempat atau ikhtiar manusia itu boleh bersilat, menjadi kebal dan sebagainya. Perlu diinsafi bahawa manusia itu mempunyai ketahanan diri, bergantung kepada kekuatan roh yang dimiliki. Apabila seseorang itu mempunyai roh yang kuat, maka tubuhnya tidak mudah ditembusi oleh jin-jin yang sentiasa berusaha membinasakan manusia.
Dalam konteks ini, saudara sebenarnya telah memanggil jin-jin masuk dalam tubuh, melalui perantaraan amalan kebatinan yang dijelaskan. Bererti bahawa saudara telah memberi laluan kepada makhluk musuh manusia, di mana Allah memberi amaran agar berhati-hati.
Apabila dalam tubuh manusia itu ada laluan jin-jin, maka di waktu lain, makhluk itu akan mudah masuk meresap dalam tubuh manusia. Ketika itu saudara akan berhadapan masalah, kecuali saudara berupaya menutup jalan-jalan laluan tersebut.
Sasaran utama jin-jin terhadap manusia ialah pada otak yang boleh mengakibatkan ketidaknormalan otak, di hati menyebabkan berlakunya ``waswas syaitan'' juga gangguan pada seluruh tubuh. Otak tidak normal boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar tabii manusia, mencarut, cakap bersendirian, telanjang dan sebagainya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Waswas syaitan pula menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah yang berkaitan dengan hati, mempersoalkan tentang Allah. Adakah Allah itu benar-benar wujud, bagaimana rupa Allah, timbul was-was tentang keunggulan Islam, waswas ketika berwuduk dan ketika sembahyang, rasa murung dan terlalu sedih atau gembira tanpa sebab yang jelas.
Kalaulah iblis dan syaitan yang menyerap dalam tubuh itu boleh menyebabkan seseorang itu bersilat, dalam masa yang lain, iblis itu boleh memaksa si empunya diri memegang pisau, parang atau apa-apa objek keras, lalu otak juga hatinya dikuasai oleh syaitan, lalu memukul atau membunuh orang lain, biarpun adik-beradik, datuk atau teman sendiri, tanpa ada sebab yang jelas akibat sesuatu sebab yang terlalu kecil.
Pembicaraan mengenai amalan kebatinan yang saudara pelajari terlalu luas, sayangnya ia adalah sesuatu yang rahsia, tersembunyi yang tidak dapat dimaklumi oleh umum, biarpun ia banyak dipelajari atau dituntut.
Petikan daripada:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia