SETELAH Jibril membelah dada Rasulullah SAW, menyucikan hati dan mengisinya dengan kelembutan, ilmu keyakinan, beliau pun memeterai di antara dua bahu Baginda SAW dengan Khatam al-Nubuwwah, iaitu seketul daging kecil yang timbul dan ditumbuhi bulu, di sebelah atas bahu kiri Baginda SAW.
Terdapat hikmah yang besar daripada peristiwa perletakkan ini, di mana setelah hati Baginda SAW dipenuhi dengan iman, hikmah dan keyakinan, serta dihimpunkan dengan sifat-sifat kenabian, maka ia dimeterai sebagaimana dimeterai di luar bekas yang telah dipenuhi dengan kasturi dan mutiara.
Dengan pemeteraian ini, tidak ada lagi sebarang jalan bagi musuh-musuh untuk mengganggu atau menggoda Baginda SAW. Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa khatam ini telahpun ada sebelum itu.
Menurut zahir sebuah hadis, semasa dilahirkan telah ada kesan tersebut pada jasad Baginda SAW. Kemudian tanda itu semakin membesar hingga menjadi sebesar telur merpati selepas peristiwa pembelahan dada pada malam Israk dan Mikraj berdasarkan gabungan beberapa riwayat.
Apa yang hendak dijelaskan di sini, keistimewaan ini khusus buat Baginda SAW kerana beberapa maksud. Di antaranya, khatam ini merupakan tanda penutup kenabian kerana ia tidak akan dibuka selepas itu.
Diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Wahhab bin Munabbih, berkata: "Allah tidak membangkitkan seseorang nabi melainkan terdapat tanda kenabian di tangan kanannya. Kecuali Nabi kita Muhammad SAW, tanda kenabiannya terletak di antara dua bahunya."
Maka perletakkan ini adalah suatu keistimewaan yang membezakan Baginda SAW dengan nabi-nabi lain. Dikatakan juga Khatam al-Nubuwwah ini diangkat ketika kewafatan Baginda SAW.
Rasulullah tunggang Buraq
Kemudian Rasulullah SAW menunggang seekor Buraq. Buraq diambil daripada perkataan al-Bariq yang bermaksud putih kerana warnanya yang putih di mana ia merupakan semulia-mulia warna atau ia diambil daripada perkataan al-Barq yang bermaksud kilat kerana kepantasan pergerakan dan kelajuan perjalanannya.
Allah SWT mengutus Buraq dari syurga untuk membesarkan dan memuliakan Baginda SAW. Sebagaimana adat bagi raja-raja, apabila mengundang orang-orang besar atau seseorang yang istimewa, maka diutuskan kepadanya kenderaan khusus yang hebat bersama orang kanan untuk mengundangnya. Maka Buraq itu dari alam ghaib.
Rasulullah SAW tidak diisrakkan, sama ada dengan mengenderai sayap malaikat, dibawa oleh angin sebagaimana angin yang membawa Nabi Sulaiman AS, ataupun dengan lipatan masa. Tujuannya, untuk memperlihatkan tanda kekuasaan Allah yang terkeluar daripada adat kebiasaan dan menakjubkan.
Kemudian Nabi SAW bersama Buraq melalui beberapa tempat yang berkat dan mulia. Di antaranya (tempat yang pertama), mereka tiba di suatu tempat yang terdapat di sana banyak pohon kurma. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Nabi SAW pun mematuhi permintaan Jibril itu.
Setelah itu, mereka pun berangkat kembali dan Jibril pun bertanya, "Apakah tuan tahu mengenai tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Jibril berkata, "Tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi ialah Toibah (Madinah al Munawwarah) dan tuan akan berhijrah ke sana kelak."
Kemudian Buraq bersama Nabi SAW sampai ke Madyan; tempat terdapat pokok Nabi Musa a.s berlindung di bawahnya ketika keluar dari Mesir. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Baginda SAW pun turun dan bersolat.
Kemudian mereka menuju ke Tur Sina; di mana Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa a.s Jibril berkata, "Silalah tuan turun di sini dan tunaikanlah solat." Baginda SAW pun turun dan bersolat.
Kemudian Nabi SAW sampai ke suatu tempat yang kelihatan di sana istana-istana negara Syam. Jibril pun berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Baginda memenuhi permintaan Jibril.
Jibril berkata, "Adakah tuan tahu mengenai tempat tuan melakukan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Maka Jibril berkata, "Sebentar tadi, tuan solat di Bait Lahm; tempat Nabi Isa ibnu Maryam a.s dilahirkan."
Turun dan solatnya Nabi SAW di tempat-tempat di atas, merupakan bukti besar menunjukkan hubungan tempat tersebut dengan Islam dan Baginda SAW merupakan Nabi Islam.
Ia juga membuka pintu keperihatinan umat Islam terhadap kesan-kesan sejarah agama yang berhubung kait dengan peristiwa-peristiwa besar, tempat mulia dan kenangan zaman silam.
Bagi menghidupkannya, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat dan kurniaan-Nya dengan cara beribadah, berdoa dan berfikir tentang manfaat dan kebaikannya itu ternyata kembali semula kepada umat manusia.
Imam di Baitul Maqdis
Kemudian Baginda SAW menyambung perjalanan hingga tiba di kota Bait al Maqdis dan memasuki kota itu dari pintu gerbang sebelah kanan. Kemudian menambat Buraq berdekatan pintu masjid dengan kekang yang biasa digunakan oleh para Nabi AS.
Dalam riwayat yang lain, Jibril pergi ke sebuah batu besar dan membuat lubang pada batu besar itu dengan jarinya. Di sanalah Jibril menambat Buraq itu.
Baginda SAW masuk ke dalam masjid melalui pintu arah terbenam matahari dan bulan (sebelah barat). Kemudian Baginda dan Jibril solat dua rakaat. Tidak lama kemudian, banyak manusia berkumpul di situ. Nabi mengetahui mereka itu ialah para nabi, yang ada di kalangan mereka sedang solat, rukuk dan sujud.
Kemudian muazzin mengumandangkan azan menandakan solat akan didirikan. Maka mereka semua berbaris menyusun saf dan menunggu imam. Jibril mencapai tangan Baginda SAW dan mempersilakannya menjadi imam. Maka Baginda SAW pun solat bersama mereka dua rakaat.
Daripada Ka'ab RA meriwayatkan: Jibril mengumandangkan azan dan para malaikat turun dari langit. Allah memerintahkan seluruh nabi dan rasul berkumpul. Maka Baginda SAW pun menjadi imam dan solat bersama seluruh malaikat dan para rasul.
Setelah selesai, Jibril berkata, "Wahai Rasulullah, adakah tuan mengetahui siapakah mereka yang solat di belakang tuan sebentar tadi?" Jawab Baginda, "Tidak." Jibril SAW berkata, "Mereka ialah seluruh nabi yang diutuskan Allah."
Sumber: Utusan Online