Friday, November 19, 2010

Merawat Sihir

Bagi pesakit yang terkena sihir bolehlah menjadikan Surah Yunus ayat 81-82 sebagai zikir setiap lepas solat. InsyaAllah segala sihir akan terhapus.

فَلَمَّا أَلْقَواْ قَالَ مُوسَى مَا جِئْتُم بِهِ السِّحْرُ إِنَّ اللّهَ سَيُبْطِلُهُ إِنَّ اللّهَ لاَ يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِين. وَيُحِقُّ اللّهُ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ

Musa berkata: "Apa yang kamu lakukan itu, itulah yang sihir, sesungguhnya Allah akan menampakkan ketidak benarannya." Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlansung pekerjaan orang-orang yang membuat kerosakan (81). Dan Allah akan mengukuhkan yang benar dengan ketetapan-Nya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukainya (82).

Sunday, October 24, 2010

Selawat Al-Fatih

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيَّدِناَ مُحَمَّدِنِ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ
وَالنَّاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ الْهَادِىْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ حَقَّ
 قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيْمِ

“Ya Allah, Rahmatilah & berilah kesejahteraan serta berkatilah penghulu kami Muhammad, pembuka bagi barang apa yang ditutup dan penamat bagi apa yang telah sudah, penolong bagi yang hak, penunjuk ke arah jalan yang lurus. Allah berselawat ke atasnya, ahli keluarga & sahabat-sahabatnya sebagaimana selayak untuknya sesuai dengan darjat dan kedudukannya yang tinggi dan besar”


Fadilatnya:
Barangsiapa membaca selawat ini 11 kali setiap kali selepas sembahyang, segala dosa-dosa kecilnya diampuni Allah dan hatinya menjadi tenteram.

Barangsiapa membacanya 21 kali setiap hari, Allah akan melapangkan rezeki dan selamat keluarganya dari kesusahan serta dijauhkan dari azab neraka.

Jika dibaca 100 kali setiap hari, seseorang akan dimudahkan Allah untuk mendapat jodoh bagi lelaki atau wanita.

Jika dibaca 1000 kali pada malam Isnin, Khamis atau Jumaat membolehkan bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w dengan izin Allah..iaitu dibaca selepas sembahyang hajat.

Monday, October 11, 2010

Akta jenayah sihir perlu ada

Saya amat sokong tentang penggubalan akta jenayah sihir. Berikut adalah petikan dari Kosmo 12 Oktober 2010.

KUANTAN - Malaysia disaran agar menggubal Akta Jenayah Sihir bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu hitam serta mengekang amalan itu daripada berleluasa di kalangan masyarakat melalui mekanisme perundangan.
Pensyarah Kanan Sekolah Pengajian Islam Kolej Antarabangsa Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail berkata, penggubalan akta berkenaan memberikan kuasa kepada pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan berhubung jenayah membabitkan sihir.
Menurut beliau, langkah itu wajar diambil supaya pengamal sihir boleh dibawa ke muka pengadilan dan diadili sebagaimana kes-kes jenayah lain.
"Bukan hanya di Malaysia tetapi negara-negara lain juga mengalami masalah sama (sihir) tetapi tidak ada penyelesaian dari segi undang-undang.
"Sebenarnya, jenayah sihir ini boleh dibuktikan di mahkamah syariah dan sivil," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di Kolej Antarabangsa IKIP di sini semalam.

Friday, October 1, 2010

Pesanan Seorang Guru - Beribadatlah

[Dipetik dari laman web Jalan Sufi yang memetik dari Kitab "Pendakian Salik Menuju Allah" karangan Syeikh Tokku Ibrahim Mohamad]

Sesiapa yang inginkan kemenangan dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.

 
Wahai saudaraku,
Setelah engkau memiliki ilmu tiadalah lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal adalah binasa. Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan dirimu untuk menghampiri Tuhanmu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu terus dariNya tanpa perantaraan. Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual dimaya ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan engkau sentiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu. Engkau akan diangkat menjadi kekasihNya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi, engkau akan dijagaNya sehingga sesesiapa yang menyakitimu akan diisytihar perang ke atasnya. Tiadalah kejayaan yang hakiki melainkan berada dalam taman keredhaan takdirNya, hati yang terang menatap rahsiaNya, hati yang asyik dengan Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudanNya.

 
Wahai saudaraku,
Apabila engkau benar-benar beramal dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihiNya sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahsia di sebalik rahsia. Engkau akan diperlihat hakikat di sebalik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan dzauk dan Penglihatan. Hatimu diberiNya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan Rahsia DiriNya. Engkau mencapai makrifat denganNya bukan dengan Guru manusia, Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala sesuatu melainkan Ia. Engkau akan melihat bahawa tiada suatu gerak melainkan gerak dariNya, tiada suatu yang maujud melainkan disana ada wujudNya, engkau akan memahami firmanNya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.

Tafsiran syariat adalah pembukaan sedangkan pentafsiran hakikat dengan dzauk dan pandangan. Tiada akan sama seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut. Tiada sama mereka yang mengenal diriNya pada permukaan zahir dengan mereka yang menyelam ke dalam lautan rahsia diri. Tiada akan sama dengan seorang yang belajar mengenal Tuhan dengan Guru manusia dengan mereka yang mengenal Tuhan dengan Tuhan sendiri. Tiada akan sama mereka yang mengucap La ilaha illaLlah di alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat. Tidak akan sama huruf, kalimah dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan asyik dengan Tuhan dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah “Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama orang ahli syurga dengan ahli neraka”.
Wahai para Salik,
Jika engkau bersungguh-sungguh mengamalkan zikir di bawah bimbingan Guru yang telah terbuka baginya rahsia segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan merasakan perubahan pada rohanimu. Ruhmu akan melalui pendakian dari hati yang lalai kepada hati yang hidup mengingati Allah, dari hati yang hidup mendaki kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian mendaki pula (kepada) meminum rahsia makrifat di alam yang tinggi. Nabi saw telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada Tuhannya.
Janganlah menjadi manusia yang bodoh dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui. Nabi dipimpin oleh malaikat Jibrail menujuNya dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu dengan kasih sayang menuju TuhanMu. Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD. Engkau akan memahami kalimah la ilaha illaLlah wahdahu laa syarikaalah dengan kefahaman yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan. Engkau juga akan memahami beberapa ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan maqam ini tersilap tafsirannya sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan syariat. Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat mereka diserta dengan syaitan atau Jin. Mereka cuba bercakap ilmu para sufi namun mereka gagal dalam menyelami rahsia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”. Mereka juga gagal memahami rahsia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai atau terpisahnya api dengan asap.
Wahai saudaraku,
Berjalanlah dirimu kepada Tuhan dengan berpakaian syariat, tarekah, hakikat dan makrifat. Syariat itu adalah pakaian Nabi, tarekah itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi. Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik. Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekah. Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul. Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya. Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.

WaLlahu ‘alam.

Monday, September 6, 2010

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum kepada semua umat islam di seluruh dunia. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga hari raya tahun menambahkan lagi hubungan kita sesama Islam. InsyaAllah..

Saturday, August 21, 2010

Ke manakah perginya roh setelah manusia mati?

Abu Bakar r.a telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a : "Roh itu menuju ke tujuh tempat" :-


1. Roh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adnin.
2.Roh para ulama menuju ke syurga Firdaus.
3.Roh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.
4.Roh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6.Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari kiamat.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa : "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah" :-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2.Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan.
3.Orang yang puasa hari Arafah

Monday, July 19, 2010

Amalan Menurun

SOALAN:

Biarpun Islam telah begitu lama dianuti oleh orang Melayu di Nusantara, tetapi amalan bidaah dan khurafat yang boleh menyebabkan berlakunya penyelewengan akidah masih berlaku hingga sekarang ini. Ramai orang Islam yang melakukan amalan menurun ketika berubat dengan pawang, bomoh dan dukun.
Ketika melakukan persembahan teater tradisional, seperti olek mayang, berbagih, wayang kulit, kuda kepang, tarian bubu dan sebagainya, malah ia dipertunjukkan anjuran Kementerian Kebudayaan.
Saya berkeyakinan hanya dengan pemahaman jelas tentang apa itu sebenarnya menurun sahajalah maka orang ramai, khususnya orang Islam menghentikan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam ini. - Husni


JAWAPAN:

Menurun adalah satu keadaan di mana seseorang itu dikuasai oleh jin atau jin-jin yang meresap dalam jasad, menyebabkan individu berkenaan tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri. Upacara-upacara dan tindak-tanduk yang dilakukan setelah itu bergantung kepada tujuan menurun itu dilakukan.
Sebelum berlakunya resapan jin-jin ia akan didahului oleh tanda-tanda kedatangan makhluk yang dipanggil, diseru atau dipuja. Terdengar seperti suara loceng, deruan ribut, desiran angin, terhidu bau harum bunga, bau kemenyan dan sebagainya. Semakin hampir makhluk yang dipanggil itu datang, tanda-tanda tadi akan semakin jelas.

Ketika makhluk ini meresap, rasa sejuk atau seram terasa mengalir atau meresap masuk pada bahagian anggota berkenaan, sama ada di jari-jari tangan, kaki ataupun terasa terserap sekali gus seluruh badan.
Kadang-kadang terdapat getaran pada anggota tersebut. Kedua-dua belah telinga terasa kebas dan membesar, kepala terasa sebak seumpama sedang diisi angin. Bulu roma terasa meremang. Sebelum berada dalam keadaan menurun atau tidak sedarkan diri, dunia terasa gelap-gelita, terdengar desiran ombak berbalam-balam beberapa kali, lalu akhirnya orang yang berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, yang diistilahkan sebagai ``menurun'' atau ``lupa''. Keadaan yang dijelaskan ini, tidak semestinya dialami oleh setiap orang yang berada dalam proses menurun secara menyeluruh, mungkin hanya sebahagian daripada tanda-tanda ini yang dialami ketika menurun.

 
Menurut seorang informan, seorang bomoh yang mengaku bersahabat dengan jin, pada tujuh tahun pertama mengamalkan ilmu yang diajar oleh sahabatnya, ia mendapat tanda kilat yang memancar sebanyak tiga kali pada matanya apabila sahabatnya yang dipanggil itu datang.
Ketika itu ia masih dalam keadaan sedar dan dapat melihat keadaan sekeliling. Selepas itu ia terdengar seperti suara angin berdesir. Rumahnya seperti digegar dengan kuat, yang dapat dirasai oleh mereka yang berada dalam rumah. Kadang-kadang terdengar seperti rumahnya dilontar dengan batu dan kayu.
Setelah tujuh tahun berlalu, tanda kilat memancar tadi mula berkurangan, hanya sesekali sahaja berlaku. Rumahnya juga jarang digegar, hanya kedengaran suara seperti dilontar pasir. Kadang-kadang terdengar bunyi seperti orang mengetuk dinding.

 
Pada permulaan tujuh tahun pertama ia berasa badannya panas, telinganya bergerak-gerak, badannya berpeluh-peluh dan bunyi seperti angin berdesir, kedengaran semakin kuat, lalu akhirnya ia tidak menyedari apa yang berlaku. Ia hanya dapat mendengar suara sahabat yang datang tadi. Ia merasakan seolah-olah dipaksa bercakap, manakala tangannya bergerak dengan sendiri tanpa dapat dikawal.
Selepas tujuh tahun berlalu, ia menyedari setiap kali sahabatnya datang biarpun tidak meresap dalam tubuh. Sahabatnya hanya duduk di sebelahnya dan menjawab apa yang disoal olehnya. Segala keperluan pesakit seperti alat yang perlu digunakan untuk pengubatan akan diberitahu oleh sahabatnya, ia bertindak sebagai orang pengantaraan iaitu antara pesakit dan sahabatnya iaitu jin.

 
Pada awal pembelajarannya, ia merasakan amat letih setelah tubuhnya diresapi oleh sahabatnya. Badannya berpeluh-peluh, telinganya terasa panas dan membesar. Rasa letih akan hilang setelah dua hingga tiga hari kerana badan sahabatnya yang besar dipaksa meresap dalam badannya yang kecil, tetapi selepas tujuh tahun ia tidak merasa letih kerana sahabatnya tidak lagi memasuki tubuhnya. Sahabatnya hanya datang dan duduk di sebelahnya. Nama-nama sahabatnya, seperti yang diberitahu oleh informan ialah Datuk Silang Janggut, Datuk Serban Putih, Datuk Laut Jambang Balai Besar Tiang Songsang dan Haji Raja Sulong.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri inilah tujuan menurun itu dilakukan. Andainya menurun itu dilakukan untuk rawatan, individu yang terlibat mungkin akan membakar kemenyan, memegang keris dengan tangan kanan dan memotong limau yang ada di tangan kiri atau menabur bertih ke hadapan, kanan dan kiri.
Segala pergerakan yang berlaku bukan atas kehendak sebenar atau ikhtiar diri orang yang berkenaan. Ia berlaku seolah-olah adanya satu badan atau kuasa lain dalam diri yang melakukan tindak-tanduk tersebut, termasuk kata-kata yang dituturkan. Suara yang keluar dari mulut juga bukan kehendak diri. Dalam keadaan tertentu, suara itu mungkin berubah sama sekali, lain daripada suara diri individu yang asal, malah boleh mengeluarkan suara dengan bahasa yang tidak diketahui oleh individu berkenaan ketika ia berada dalam keadaan normal.

 
Keadaan ``tidak sedarkan diri'' (unconsciousness), yang berlaku bergantung pada roh individu yang terlibat, juga jin atau jin-jin yang meresap pada diri. Kebanyakan mereka yang berada dalam keadaan menurun, yang memanggil jin-jin dan rela diresapi akan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sama sekali, ataupun masa dalam keadaan sedarkan diri, tetapi tahap kesedarannya begitu minimum, menyebabkan seseorang itu tidak berupaya menguasai diri, pada tingkah-laku, tutur kata dan sebagainya. Ketika itu segala gerak-geri yang terjadi adalah di luar ikhtiar atau kawalan.

 
Tubuh ketika itu hanya merupakan sarung bagi makhluk yang meresap tadi bertindak. Kerana itulah orang yang berada dalam keadaan seperti ini boleh bertutur menggunakan bahasa yang tidak boleh dituturkan ketika dalam keadaan normal, boleh bertutur dalam bahasa Arab, pada hal ia tidak tahu bahasa Arab, menggunakan dialek tanah seberang, padahal ia penduduk tempatan, boleh bersilat atau mengurut padahal dalam keadaan normal ia tidak tahu bersilat, malah tidak pernah mempelajarinya, juga tidak tahu mengurut. Tubuh menjadi kuat dan berupaya mencabut atau memanjat pokok atau melompat parit besar pada hal ia tidak mempunyai keupayaan berbuat demikian ketika dalam keadaan normal.

 
Sesetengah masyarakat Melayu lebih berkecenderungan merujuk bahawa menurun yang dilakukan untuk tujuan rawatan adalah hasil resapan roh-roh, wali-wali rijalul ghaib, embah (datuk) dan sebagainya, di mana nama-nama itu ketika hidup dikatakan terdiri daripada orang-orang alim, mempunyai sifat warak dan mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi, hampir kepada Allah dan mempunyai sifat keramat.

Mereka tetap berupaya menolong manusia biarpun telah meninggal dunia dengan cara meresap dalam diri orang-orang tertentu, yang dikatakan mempunyai ilmu kebatinan tinggi untuk membantu orang yang masih hidup.
Bagi mereka yang terlibat dalam ilmu kebatinan mempertahankan diri, makhluk yang meresap dalam diri, yang menyebabkan seseorang itu boleh bersilat, biarpun tidak pernah mempelajarinya dikatakan akibat resapan roh panglima-panglima, seperti Panglima Hitam, Hang Tuah, Hang Jebat juga nama-nama panglima ternama lain seperti Wali Songo, Mat Kilau dan sebagainya.

 
Hal demikian telah melahirkan kecelaruan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila jampi, mantera atau serapah yang dituturkan itu diselit-selitkan dengan unsur-unsur Islam, dimulakan dengan bacaan ``bi `s-mi `llah `r-rahmani `r-rahim, kalimah ``salam'' dan diakhiri dengan kalimah: ``berkat doa: La ilaha illa `llah.''
Keadaan seumpama ini menjadi lebih bercelaru apabila sesuatu upacara itu didahului dengan kenduri, bacaan doa selamat, doa arwah dan sebagainya, padahal kalimah-kalimah yang diselitkan di celah-celah jampi mantera, atau di awal dan di akhirnya dan amalan-amalan kenduri juga doa selamat yang diamalkan itu hanya merupakan di antara pengaruh Islam yang datang menguasai kepercayaan orang Melayu setelah kedatangan pengaruh animisme dan Hindu-Buddha sebelum itu.

 
Amalan menurun bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja, tetapi ia dilakukan oleh seluruh masyarakat di dunia, di kalangan mereka yang terpengaruh oleh kepercayaan animisme, yang melibatkan jin-jin secara disedari atau tidak. Di Malaysia, selain dilakukan oleh orang Melayu, juga termasuk peribumi Sabah dan Sarawak, menurun juga dilakukan oleh orang India dan Cina.
Kejahilan tentang hakikat menurun adalah punca utama menyebabkan seseorang itu terlibat dengannya. Sekiranya seseorang itu menyedari bahawa makhluk yang meresap dalam tubuh manusia, menyebabkan seseorang itu dikuasai oleh jin-jin, saya berkeyakinan tidak ada orang yang sanggup untuk melakukannya, apatah lagi sekiranya seseorang itu memahami bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan penyelewengan iktikad.

 
Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya syaitan itu adalah musuh, dalam keadaan apa sekalipun ia hendaklah dianggap sebagai musuh. Tidak kira sama ada makhluk tersebut dianggap boleh menolong untuk mengubati seseorang, untuk mendapat kekayaan, kekuatan tubuh badan atau kebolehan luar biasa, Allah menyuruh agar makhluk ini dijauhi kerana ia adalah musuh.

 
Pada hakikatnya orang yang berada dalam keadaan menurun itu ialah orang yang ditumpangi jasadnya oleh makhluk halus, terdiri daripada jin-jin, yang dipanggil dengan cara-cara tertentu, yang menganggap pada makhluk ini ada keupayaan (kuasa atau kudrah) membantu manusia melakukan sesuatu.
Padahal hakikatnya zat yang berkuasa itu ialah Allah. Apabila seseorang itu beranggapan seumpama ini, ia sebenarnya telah menyamakan kudrah yang wujud pada zat Allah itu dengan sesuatu yang baru, iaitu jin-jin tadi.

 
Perbuatan seumpama ini diistilahkan sebagai ``syirik''. Orang yang berbuat demikian sekiranya seorang, dinamakan ``musyrik'', sekiranya banyak dinamakan ``musyirikin'' atau ``musyrikun''. Syirik ialah dosa yang tidak diampuni oleh Allah.

 
Oleh Dr. Amran Kasimin

Wednesday, June 16, 2010

Syirik Jika Menyamakan Kuasa Makhluk dgn Allah

SOALAN:
Saya tinggal di sebuah pulau peranginan. Sebahagian daripada penduduk di sini bekerja di laut menangkap ikan, bekerja dengan tauke Cina. Lebih kurang lima tahun lepas, satu upacara tradisi diadakan. Tauke Cina telah mengeluarkan wang untuk membeli seekor lembu, dibuat kenduri beramai-ramai. Sebahagian daripadanya dihanyutkan ke laut.
Baru-baru ini diadakan satu upacara di mana satu replika bot kecil, yang diisi dengan kuih-muih Melayu, buah-buahan, dan seekor ayam panggang, ayam hitam dimuatkan dalam bot tadi dan dihanyutkan ke laut.
Saya ingin kepastian, setakat mana amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam, atau semata-mata adat atau upacara warisan datuk nenek kita, yang tidak ada kaitan dengan agama.

 
JAWAPAN:
Upacara seperti yang saudara tanyakan, biarpun semakin kurang dilakukan di Malaysia, termasuk di Malaysia Timur, ia masih dilakukan sehingga sekarang ini. Ia dilakukan biasanya kerana adanya pesakit di sesuatu tempat, yang dipercayai akibat daripada gangguan iblis dan syaitan. Kerana itu, makhluk ini perlu diberi makan, atau lebih dikenali sebagai `sajian', untuk memujuknya, jangan mengganggu pesakit itu lagi. Dengan berbuat demikian, pesakit akan sembuh.
Selain berpunca daripada penyakit, ia juga berpunca daripada kepercayaan tentang kemalangan, kecelakaan yang menimpa sesebuah masyarakat, seperti sakit berjangkit, kemalangan yang berlaku berturut-turut, dan sebagainya termasuk ketika mengadakan persembahan teater tradisional seperti persembahan wayang kulit, persembahan kuda kepang dan sebagainya.
Bahan yang disediakan untuk memberi makan jin-jin itu dimasukkan dalam satu bekas dinamakan `ancak', atau `sajian untuk jin-jin'. Ia ada kalanya dikenali sebagai `membuang ancak', `membela kampung', `semah kampung', atau `semah rumah' sekiranya apa yang dilakukan itu melibatkan rumah. Apabila ia melibatkan upacara yang dilakukan di laut, ia dikenali sebagai `semah pantai', `semah laut', atau `puja pantai'. Biar apa nama yang diberi, bergantung kepada ungkapan yang diberikan oleh penduduk tempatan, atau oleh mereka yang mengepalai sesuatu upacara, upacara tersebut bertujuan memberi makan hantu-hantu. Ungkapan `memberi makan hantu' lebih popular daripada `memberi makan jin'.
Upacara seperti ini dilakukan sejak zaman jahiliah, sebelum kelahiran Islam. Begitu juga di Malaysia, ia dilakukan sebelum kedatangan Islam ke kawasan ini. Mereka yang bergantung kepada laut mempercayai bahawa hasil tangkapan dan keselamatan mereka bergantung kepada semangat laut, yang biasanya dinamakan penunggu laut atau hantu laut.
Atas alasan ini, semangat laut atau semangat pantai perlu dihubungi, dihormati dengan cara memberi makan, disertai dengan tabu, terutamanya apabila mereka berada di laut, bagi mengelakkan kemarahan penunggu-penunggu untuk menyenangkannya, menjadikan penunggu itu sebagai kawan. Dari sinilah timbulnya golongan manusia yang membela, bersahabat atau bersaudara dengan hantu laut.
Pegawai kanan perikanan dari Jabatan Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Pertempatan Melayu Persekutuan yang menyaksikan pesta ini di Pulau Ketam pada 14 Januari 1936, menjelaskan bagaimana seekor kambing jantan menjadi bahan utama dalam persembahan. Persembahan untuk pesta puja pantai ini termasuklah upacara menepung tawar, bertih, beras kunyit, kemenyan dan sebotol arak.
Kambing dihias cantik, kemudian pawang merenjiskan kepala kambing dengan bertih, beras kunyit dan beras basuh. Selepas itu pawang menyapukan beberapa titik arak di kepala kambing. Sebelum menyapukannya, pawang membaca `Bismillah' dan ayat-ayat lain yang tidak begitu jelas kedengaran.
Kambing itu kemudian disembelih setelah direnjiskan dengan air tepung tawar. Darah kambing ditadah ke dalam cawan. Pelbagai jenis makanan diletakkan dalam dua buah bakul rotan berbentuk empat persegi, termasuk empat kaki kambing, kulit, perut dan secawan darah sebagai bahan persembahan kepada semangat laut.
Bakul serta isinya dipersembahkan kepada semangat dinamakan ancak. Kepala kambing digantung dalam ancak untuk persembahan kepada laut manakala keempat-empat kaki tadi adalah untuk penunggu pantai. Persembahan kepada laut diletakkan di atas sampan yang disebut `nadai'. Pawang dan pembantu-pembantunya menghantar nadai itu ke kuala sungai. Ancak juga digantung di atas sebatang tripod yang diperbuat daripada kayu bakau.
Di Bachok, Kelantan pesta puja pantai pernah berlangsung selama empat hari. Pesta yang diadakan di tepi pantai ini dilakukan sekali dalam setiap empat atau tujuh tahun. Seekor kerbau balar berusia lebih kurang tiga tahun dikorbankan. Pada hari pertama diadakan upacara mengasap kemenyan dan alat-alat magik yang akan digunakan. Pada masa itu pawang membaca jampi mantera dan perkataan `Allah' sering disebut.
Ini diikuti oleh upacara melumur kerbau itu dengan air laut. Upacara diadakan pada hari kedua. Kerbau disembelih pada waktu maghrib hari ketiga. Dagingnya digunakan untuk persembahan dan kulitnya disumbat dengan sabut kelapa untuk memberi daya apung semasa dalam perjalanan sebaik sahaja ia dijahit. Beberapa jenis teater, termasuk manora, makyung dan wayang kulit, masing-masing diiringi dengan kumpulan muzik dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pesta puja pantai ini.
Pawang dan pembantu-pembantunya mempersembahkan sampan yang diperbuat daripada tepung beras, daun nipah dan bangkai kerbau tadi kepada penunggu laut. Mereka meluncurkan sampan tadi ke laut lepas. Kemudian mereka kembali ke pantai dan ikut serta dalam majlis kenduri.
Pesta yang sama pernah diamalkan oleh nelayan Mukim Beserah, lima batu dari timur laut Kuantan. Di sini kerbau balar dianggap bahan persembahan yang terpenting. Pesta ini tidak diadakan selagi pawang atau orang kampung tidak bermimpi semangat laut yang mereka namakan jembalang laut meminta agar diadakan pesta ini.
Jembalang laut

Bahagian daging yang diberikan kepada jembalang laut diletakkan dalam model sampan menangkap ikan yang lengkap yang akan diluncurkan ke laut. Kepala kerbau itu digantungkan pada pokok ketapang di pantai.

 
Di Kijal, pesta seperti ini diadakan di pantai Kemaman, tetapi hanya berlangsung selama tiga hari apabila nelayan mengalami masalah memperoleh pendapatan. Pesta terakhir yang diadakan di Dungun dan Kuala Merchang ialah pada tahun 1976, berlangsung selama tiga hari. Dalam masa 15 tahun, pesta puja pantai hanya diadakan dua kali di Dungun untuk tujuan ini. Pesta pertama diadakan pada tahun 1975.
Umumnya pesta seperti ini, yang dilakukan secara besar-besaran sudah tidak diadakan lagi buat masa sekarang ini. Punca utamanya ialah kerana kematian orang yang arif, yang mengepalai atau mengendalikan pesta tersebut. Kematian orang yang arif mengenainya tidak diwarisi oleh generasi berikutnya, menyebabkan upacara itu berkubur sedikit demi sedikit. Buat masa sekarang, hanya upacara kecil-kecilan yang masih dilakukan, itu pun dilakukan dengan secara `rahsia' dan `sembunyi'.
Biar dalam keadaan apa sekalipun, tujuan dilakukan pesta seperti ini, seperti yang dilakukan di tempat saudara tinggal ialah untuk tujuan rawatan penyakit, yang dipercayai berpunca daripada iblis dan syaitan. Apabila ia melibatkan upacara di laut, ia dilakukan selalunya kerana berlakunya kemalangan yang berturut-turut di laut, atau di pantai, kematian, kemalangan, tangkapan yang kurang, penyakit berjangkit dan sebagainya.
Upacara atau pesta seperti ini bukan dilakukan setiap tahun, tetapi dilakukan apabila berlakunya sesuatu masalah seperti yang dijelaskan, ataupun apabila pawang atau bomoh mendapat mimpi yang penunggu, hantu laut dan sebagainya meminta supaya diadakan pesta memberi jamuan tadi, ataupun melalui mimpi.
Upacara ini dilakukan ialah kerana kepercayaan tentang adanya kuasa atau keupayaan penunggu atau jin-jin yang menghuni sesuatu tempat itu menguasai kehidupan manusia, boleh mendatangkan penyakit, mendatangkan kecelakaan, ribut taufan, menghalau ikan jauh daripada rezeki nelayan, boleh dipujuk dengan memberi makan dan sebagainya. Kerana itulah maka sajian itu perlu diberi. Apabila seseorang itu, tidak kira siapa menganggap adanya kuasa pada sesuatu yang baru, iaitu makhluk, orang yang berkenaan telah menyamakan kuasa (kudrah) yang ada pada Allah itu dengan kuasa yang ada pada makhluk, iaitu jin-jin, padahal yang mempunyai kudrah itu hanya Allah. Penyamaan ini diistilahkan sebagai `syirik', syirik menurut sebutan orang Melayu.
Syirik bererti menyekutukan Allah dengan sesuatu yang baru. Perbuatan itu adalah terkeluar daripada Islam. Salah satu daripada dosa besar, iaitu dosa besar yang terbesar, nombor satu. Allah tidak mengampunkan dosa mereka yang syirik.
Allah menyuruh setiap orang yang beriman itu agar menjauhkan diri daripada iblis dan syaitan, termasuk lain-lain makhluk jin. Tetapi dalam upacara ini, manusia telah memuja, memujuk agar makhluk ini datang untuk diberi makan, dibela, atau dibuat sahabat untuk membantu manusia. Allah menjelaskan bahawa syaitan itu akan hanya lebih menyesatkan manusia lebih jauh. Allah juga menjelaskan bahawa iblis dan syaitan itu tidak berupaya untuk menyesatkan manusia kecuali di kalangan mereka yang mengikut langkah-langkah iblis dan syaitan.
Menyembelih binatang mesti kerana Allah. Dalam kes yang berkaitan, kerbau balar, ayam hitam atau lembu yang disembelih ialah kerana memberi makan hantu-hantu. Allah melaknat mereka yang menyembelih binatang bukan kerana-Nya. Apabila ini terjadi, sembelihan itu tidak sah. Binatang yang disembelih dianggap sebagai bangkai. Biarpun dalam upacara yang dilakukan seseorang disertakan dengan upacara keagamaan.
Rencana oleh:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

Thursday, May 27, 2010

SIMPTOM-SIMPTOM PETANDA GANGGUAN JIN

[Dipertik dari blog AKRINEPUTERI BERA ]

SIMPTOM-SIMPTOM PETANDA GANGGUAN JIN
1. Sakit tulang belakang tanpa sebab.
2. Sakit kepala yang luar biasa dan berterusan tanpa sebab klinikal.
3. Sakit dibahagian tulang rusuk kiri @ kanan.
4. Sakit dibahagian tulang punggung tanpa sebab.
5. Sakit dibahagian perut tanpa sebab.
6. Istihadah ( darah yang keluar melebihi 15 hari ).
7. Terasa ada sesuatu yang mengekori anda.
8. Terasa ada sesuatu yang melintas di belakang anda.
9. Sering sesak nafas terutama menjelang waktu maghrib dan tengah malam.
10. Timbul rasa takut tanpa sebab.
11. Nampak bayangan yang menakutkan.
12. Nampak suatu makhluk yang aneh dan menyeramkan.
13. Terasa seperti ada sesuatu yang menolak ketika berada dalam tandas.
14. Sukar untuk lelapkan mata.
15. Seringkali mimpi yang menakutkan.
16. Seringkali mimpi binatang seperti ular, kala jengking dan lain-lain.
17. Dihimpit sesuatu ketika tidur.
18. Mimpi bayi@kanak-kanak.
19. Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.
20. Mimpi ketempat kotor,sunyi dan menakutkan.
21. Terdengar suara yang datang menyergah ketika tidur.
22. Terasa ada sesuatu yang menyentap kaki ketika tidur.
23. Seringkali pengsan tanpa sebab.
24. Takut untuk menziarahi jenazah.
25. Adanya bisikan yang meminta mangsa melakukan sesuatu yang dilarang Allah.
26. Ragu – ragu tentang keimanan.
27. Rasa seperti hampir menemui ajal.


Kesan-kesannya...

1. Boleh membawa maut jika sampai ajal.
2. Gila, bingung, kelakuan seperti orang bodoh.
3. Perpecahan hubungan kekeluargaan.
4. Sakit yang berpanjangan dan para pakar perubatan moden tidak dapat mengenalpasti penyakit berkenaan.
5. Andartu bagi gadis.
6. Hilang pangkat, harta benda dan kerjaya

Wednesday, May 26, 2010

Jin Sihir Merangkap Jin Asyik (Part 2)

Pada hari selasa minggu berikutnya saya dan sahabat diminta lagi untuk merawat pesakit tersebut. Masih terdapat banyak lagi jin di dalam tubuh pesakit tetapi tidak dapat dikeluarkan memandangkan kekangan masa pada kali pertama merawat.

Sebelum mula meruqyah, pesakit telah pun kerasukan. Saya terus berdialog dengan jin tersebut manakala sahabat menyediakan air ruqyah untuk diberi minum kepada pesakit. Jin ini agak sombong dengan memperlekehkan saya kerana sebelum ni telah banyak perawat cuba mengeluarkannya tapi gagal. Saya cakap kepada jin tu "belum try belum tau..". Akhirnya setelah menggunakan kaedah rotan jin tersebut bersetuju untuk keluar. Saya memintanya untuk bersumpah dengan nama Allah supaya tidak masuk dan mengganggu mana2 manusia lagi. Pada mulanya jin tersebut tidak mahu bersumpah tetapi setelah di dakwah jin tersebut bersetuju untuk keluar dan saya menghantarnya ke Serambi Madinah.

Setelah menarik keluar, pesakit masih kerasukan tetapi dengan perwatakan lain pula. Ada jin lain pula yang merasuk. Seperti biasa saya dan sahabat akan mendakwah jin tersebut dan dengan izin Allah pada hari itu 5 ekor jin yang telah lama menetap ditubuh pesakit setuju untuk keluar. Rawatan diakhiri dengan menyediakan air ruqyah untuk minum dan mandian.

Thursday, May 6, 2010

Rawat Diri (DIY)

Setelah melakukan scanning dan mengesyaki terdapatnya jin di dalam tubuh, pesakit bolehlah melakukan sendiri bacaan ruqyah atau mendengar bacaan ruqyah dari CD dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sebelum membaca atau mendengar bacaan ruqyah tersebut, pesakit boleh melafazkan ikrar pemutus dengan jelas dan terang. Ianya ialah doa pesakit yang memohon kesembuhan kepada Allah. Di bawah ini saya sertakan ikrar pemutus seperti yang saya perolehi dari nota kursus. Cuma saya ada tambah sedikit berdasarkan apa yang dilakukan oleh guru saya Ustaz Abdul Majid Hassan seperti yang tertulis di dalam blog beliau. Ikrar pemutusnya begini:-

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah, sesungguhnya saya dan mewakili ahli keluarga saya dengan penuh sedar dan insaf mengisytiharkan:
1. memutuskan segala perjanjian atau ikatan yang kami atau orang sebelum kami pernah lakukan secara sedar ataupun tidak dengan golongan jin sekiranya ada;

2. mengharamkan tubuh kami dari dimasuki atau dijadikan sebagai tempat tinggal bagi apa jua jenis jin,

3. mengharamkan semua makanan kami dari dimakan oleh mana-mana jin di dalam tubuh kami. Sekiranya makanan kami tetap juga dimakan oleh mereka, maka Engkau jadikanlah makanan itu sebagai racun bagi mereka, dan

4. kami menegaskan bahawa kami hanya bergantung sepenuhnya hanya kepada Engkau ya Allah, tuhan sekalian alam. AMIN YA RABBAL ALAMIN...
 
Ketika mambaca ayat ruqyah, bolehlah letakkan air mineral @ air bertapis untuk minum dan mandi.

Saturday, May 1, 2010

Jin Sihir Merangkap Jin Asyik

Pada hari selasa yang lalu saya mendapat permintaan daripada pesakit yang juga merupakan seorang rakan sekerja untuk merawatnya. Sebelum ini rakan saya tersebut telah menemui ramai perawat tetapi masalahnya masih belum berakhir. Jadi pada hari selasa tersebut saya dan seorang sahabat dari Darrusyifa bertolak ke rumah pesakit tersebut selepas Isyak. Setibanya dirumah, terdapat 4 wanita menunggu termasuk pesakit sementara 3 yang lain adalah ibu, adik dan kawan pesakit.

Rawatan dimulakan dengan semburan air ruqyah & bacaan ikrar pemutus. Ketika bacaan ayat-ayat ruqyah dibuat, pesakit telah kerasukan sambil kepalanya terangguk-angguk. Kemudian saya memulakan dialog dengan jin tersebut. Berikut adalah antara dialog dengan jin tersebut:-

Saya: Jadi ini la jin yang selalu ganggu pesakit ini? Engkau agama apa?
Jin: Agama aku sama la macam kau.
Saya: Jadi engkau Islam lah ye. Engkau ni bertuan ke?
Jin: Ehh..mesti la aku bertuan.
Saya: Siapa tuan kau?
Jin: Aku tak boleh cakap la sebab engkau berdua (sambil tunjuk pada saya & sahabat) kenal dia.
Saya: Habis siapa pulak pengupahnya?
Jin: Tak ada siapa upah, tuan aku yang hantar sendiri. Ko bukan tak tau, ramai orang tak suka kat dia ni bla bla bla...
Saya: Sudah aku tak nak dengar apa-apa lagi. Sekarang aku nak engkau keluar dari tubuh pesakit ini.
Jin: Aku tak nak keluar. Aku suka duduk dalam badan dia ni sebab dia suka baca Al-Quran. Anak-anak aku semua tak tau baca Al-Quran. Lagipun dia ni suka kat aku.
Saya: Oh maknanya engkau ni kuat agama jugak la ye. Yang kau duduk kat dalam tubuh dia ni apa pasal? Kau tahu tak kau dah menyakitkan dia. Tak takut kat Allah ke?
Jin: Aku takut...aku takut... tapi dia ni suka kat aku.
Saya: Kalau takut Allah kau keluar la dari tubuh pesakit ni. Mana ada dia suka kat kau. Pesakit ni panggil aku datang sini untuk buang kau. Maknanya dia tak suka kau la. Kau tu perasan je betul tak?
Jin: (tersenyum-senyum malu...)
Saya: Kalau kau tak nak keluar, aku akan azab kau dengan izin Allah.

Saya pun mula menekan beberapa tempat dan membaca ayat-ayat ruqyah. Namun tiada respon dari jin tersebut. Setelah beberapa ketika, sahabat saya mencadangkan suupaya jin tersebut dihantar ke Serambi Madinah. Nasib baik sahabat saya tu teringat tentang Serambi Madinah.

Sahabat: Kalau kau suka sangat dengar bacaan Al-Quran, apa kata kau pergi Serambi Madinah. Kat sana    ada guru agama yang boleh ajar kau mengaji. Tempat tinggal dan makan minum pun ada disediakan. Nak pergi sana tak?
Jin: Bagus jugak tu. Boleh la aku bertaubat ye. Aku nak pergi la.
Saya: Em bagus la kalau kau nak pergi sana. Kau boleh la bawa anak cucu kau sekali.
Jin: Anak cucu aku ikut sekali ye? betul jugak takkan aku nak berjauhan dengan anak cucu aku.
Saya: Ok kalau macam tu kau masuk dulu dalam botol ni nanti aku hantar kau pergi sana. Masukkan tangan kau dalam botol ni.
Jin: (memasukkan jari tangan kanan pesakit ke dalam botol)
Saya: (Melakukan kaedah tarik bagi membantu jin-jin tersebut masuk ke dalam botol)

Setelah menarik jin-jin masuk ke dalam botol, pesakit tersebut terus rebah dan sedar. Adik pesakit yang saya syak mempunyai saka kerana dia ada ilmu mengubat walaupun tidak pernah belajar mengatakan dia nampak ada seakan-akan asap masuk ke dalam botol,Wallahuaa'lam...

Rawatan diakhiri dengan sahabat saya tadi membuatkan air ruqyah untuk minum dan mandi.

Friday, April 23, 2010

Scanning DIY

Kebiasaannya setiap pesakit agak keliru apabila pergi jumpa doktor kerana sesuatu penyakit tetapi doktor memaklumkan pesakit tersebut tidak menghidapi apa2 penyakit. dan setelah berjumpa dengan doktor pakar pula, pesakit tersebut diminta untuk menjalani pemeriksaan tertentu dan hasilnya masih lagi tidak tahu apa puncanya.
Jadi, apa yang berlaku disini berkemungkinan si pesakit tersebut mengalami penyakit yang bukan berkaitan dengan fizikal tetapi berkemungkinan adalah sebab gangguan jin. Disini saya berharap perawat2 yang menjadi member di ruangan ini dapat memberikan teknik/kaedah yang boleh dilakukan oleh pesakit bagi merawat diri sendiri.

Pada peringkat awal, pesakit perlu mengesan gangguan. Antara kaedah untuk mengesan jika terdapatnya gangguan dalam diri ialah dengan melakukan scanning DIY.
Caranya ialah:
Baca:

1). Surah Al Falaq-41 kali, dan
2). Surah An-Nas 41-kali
Baca kedua-dua surah tersebut tanpa henti. Jika terasa ada apa2 pergerakan dalam tubuh, berkemungkinan ada gangguan mahkluk halus. Bagi gangguan yang berat, pesakit mungkin tidak dapat menghabiskan bacaan tersebut.

Wednesday, April 14, 2010

Ilmu Silat Batin

Silat melalui perantaraan jin

Amalan kebatinan mempertahankan diri, yang hakikatnya banyak dilakukan, dipelajari dan diamalkan di Nusantara, tetapi malangnya, hakikat amalan ini terlalu sedikit diketahui umum, termasuk oleh mereka yang mengamalkannya. Insya-Allah apa yang saya terangkan dalam ruangan ini adalah pandangan saya yang jujur lagi telus. Dalam masa yang sama, saudara juga perlu jujur lagi telus, mengakui kebenaran apabila hati kecil saudara merasakan bahawa sesuatu itu benar.
Ada beberapa perkara penting perlu dilakukan dalam usaha memahami amalan kebatinan mempertahankan diri seperti yang saudara pelajari.
1) Amalan kebatinan seperti ini tidak banyak diketahui umum hakikatnya, biarpun banyak orang yang mempelajarinya, termasuk mereka yang berpangkat. Ilmu ini penuh dengan rahsia (khafiy) lagi tersembunyi. Kerana itu ilmu itu dikategorikan sebagai ``ilmu kebatinan'' atau ilmu yang tersembunyi, yang tidak boleh diketahui umum.
2) Kaedah mempelajari amalan ini adalah berbeza menurut kaedah pembelajaran yang diturunkan, diijazahkan atau taat setia yang dilakukan di antara murid dengan guru.
3) Nama kumpulan terlibat adalah berbeza, yang kebanyakannya ada unsur Islam, seperti Silat Syeikh, amalan al-Fatihah, Silat Seru, Silat Sinar Islam, Silat Hikmah, Silat Daim Perati dan sebagainya. Amalan tersebut melibatkan pengijazahan daripada guru kepada murid, amalan-amalan berzikir, seperti yang banyak diamalkan dan lain-lain lagi termasuk berpuasa dan berpantang supaya jangan tinggal sembahyang, jangan berzina, jangan melawan guru, bermusuhan sesama anak murid, kekuatan yang ada mesti untuk Islam semata-mata dan sebagainya.
Latar belakang seumpama ini menjadikan pengamalnya juga mereka yang mengetahui dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada ajaran Islam atau setidak-tidaknya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam masa yang sama ada di antara mereka yang menganggap bahawa amalan seumpama ini sebagai salah satu kaedah menghampirkan diri kepada Allah.
4) Saudara tidak pernah mempelajari ilmu mempertahankan diri, sama ada silat, tae kwan do, karate dan sebagainya. Setelah mempelajari ilmu ini dengan cara-cara tertentu, juga ijazah daripada guru, saudara boleh bersilat.
Saudara rasa bahawa dalam tubuh, pada tangan, kaki dan badan, ada satu kuasa yang meresap dalam diri, menggenggam tangan, melangkah ke hadapan, ke belakang, menyepak, menepis dan sebagainya. Segala-galanya berlaku di luar kehendak atau kawalan saudara. Ketika itu saudara menjadi seolah-olah objek asing, yang memerhatikan pelbagai tingkah laku dan pergerakan yang dilakukan oleh tubuh saudara.
Tubuh saudara rasa sendat, keras, kebal dan tidak sakit atau tidak rasa apa-apa ketika dipukul atau ditumbuk. Segala-galanya berlaku di luar kawalan. Ketahuilah bahawa punca yang menjadikan hal sedemikian rupa adalah kerana adanya jin, atau jin-jin atau syaitan atau menurut sebutan orang Melayu ``hantu-hantu,'' yang meresap dalam tubuh saudara.
Setiap perbuatan manusia yang melibatkan jin-jin dinamakan sihir. Saudara ketika itu sebenarnya boleh bersilat akibat daripada jin yang meresap dalam tubuh tadi. Jelas bahawa saudara bersilat adalah dengan perantaraan sihir, atau perantaraan jin-jin. Sihir tidak akan berlaku, atau boleh dilakukan oleh manusia kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin.
Ciri-ciri lain membuktikan sesuatu amalan itu melibatkan sihir adalah natijah yang mencarik adat (kharigu l'adah). Dalam konteks ini saudara tidak pernah mempelajari ilmu persilatan, tetapi setelah menuntut dan diberi ijazah, saudara boleh bersilat. Hal demikian adalah sesuatu yang mencarik adat atau berlawanan dengan adat.
Saudara juga menjadi kebal, tidak rasa sakit ketika dipukul atau ditumbuk. Pada kebiasaannya, manusia apabila ditumbuk atau dipukul akan rasa sakit, tetapi saudara tidak. Hal demikian adalah di luar kebiasaan. Bukti ini memperkuat lagi hujah bahawa apa yang saudara lakukan, juga mereka yang mempunyai ilmu seperti saudara adalah terlibat dengan amalan sihir atau amalan yang melibatkan iblis dan syaitan.
Apa yang berlaku sebenarnya bukan hakikat diri saudara. Saudara boleh bersilat, kebal, menjadi kuat adalah buat sementara sahaja, iaitu ketika makhluk tersebut berada meresap dalam tubuh.
Apabila makhluk ini keluar daripada tubuh saudara, ketika itu saudara akan menjadi manusia biasa, walaupun demikian, kesan daripada pukulan yang saudara terima seperti letih, perit, sengal tetap rasa pada diri saudara.
Natijah daripada ilmu yang saudara pelajari tidak dapat difikiri oleh akal, bagaimana ia boleh berlaku. Akal tidak dapat memberi satu alasan yang munasabah (ma'kul) bagaimana orang yang tidak pernah belajar bersilat boleh bersilat. Dipukul tetapi tidak rasa sakit, ditikam tidak lut. Hal demikian tidak berlaku dalam keadaan biasa, walaupun demikian ia boleh berlaku akibat adanya penglibatan makhluk-makhluk halus seperti yang dijelaskan tadi.
Banyak alasan yang dikemukakan atau diberi oleh mereka yang melibatkan diri dengan amalan seperti ini di antaranya bahawa apa yang berlaku adalah berkat amalan yang dilakukan, berzikir, berpuasa dan menahan diri daripada melakukan larangan Allah. Yang lain memberi alasan bahawa ia berlaku hasil daripada tenaga batin yang terkumpul melalui kaedah-kaedah tertentu terutamanya pengijazahan daripada guru.
Amalan kebatinan seperti ini sebenarnya lebih banyak membawa kekeliruan masyarakat. Ia boleh digunakan pada amalan yang tidak dapat diyakini kepastiannya atau keberkesanannya.
Sekiranya amalan seperti ini benar-benar memberi kebaikan, untuk mempertahankan diri, bangsa, agama dan sebagainya, kenapa ia tidak dapat dieksploitasi ketika menentang keganasan secara global di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, ataupun ketika dalam upacara sukan, mengangkat berat, pertandingan antarabangsa dan sebagainya.
Apa yang jelas ia hanya boleh digunakan ketika bergaduh sesama sendiri, sesama teman sekampung, antara kumpulan kecil penduduk tempatan atau hanya untuk pertunjukan semata-mata.
Ilmu seperti ini tidak semestinya ``menjadi'' setiap kali atau terdesak. Tidak seseorang itu menjadi kebal, badannya bejat tidak rasa sakit ketika dipukul, tendangannya menjadi seperti lontaran batu setiap kali berhadapan dengan musuh.
Ketika itu dirinya menjadi seperti manusia biasa, kerana jin yang diseru, yang dipanggil tidak datang untuk melindungi dirinya.
Saya beranggapan bahawa amalan kebatinan seperti ini adalah memberi mudarat atas alasan-alasan yang jelas, amalan ini tidak pernah diajar atau dilakukan di zaman nabi, sahabat, tabiin dan sebagainya. Rasulullah dan para sahabat tidak kebal. Dalam peperangan Uhud baginda kehilangan gigi, Saidina Othman dan Ali mati dibunuh begitu juga dengan Saidina Hamzah.
Dalam keadaan seperti ini orang yang terlibat, dia sebenarnya telah memanggil, mempelajari ilmu supaya jin-jin itu meresap dalam diri. Bererti orang seumpama ini telah melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah, secara sedar atau tidak disedari, telah memanggil jin-jin meresap dalam tubuh, padahal Allah meminta setiap orang yang beriman itu agar menjauhkan diri daripada jin-jin, iblis dan syaitan. Rujuk firman Allah surah al-Jinn: 6, an-Nisa: 38, Yunus: 106, al-a'raf: 27 dan lain-lain lagi.
Rasulullah bersabda menyatakan bahawa syaitan itu berupaya berlari dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah. Hadis ini juga hadis-hadis lain yang tidak ditulis di sini membuktikan bahawa kewujudan iblis atau jin dalam tubuh manusia itu adalah kenyataan yang benar.
Apabila makhluk ini berada dalam tubuh manusia, maka dia akan mengambil tempat atau ikhtiar manusia itu boleh bersilat, menjadi kebal dan sebagainya. Perlu diinsafi bahawa manusia itu mempunyai ketahanan diri, bergantung kepada kekuatan roh yang dimiliki. Apabila seseorang itu mempunyai roh yang kuat, maka tubuhnya tidak mudah ditembusi oleh jin-jin yang sentiasa berusaha membinasakan manusia.
Dalam konteks ini, saudara sebenarnya telah memanggil jin-jin masuk dalam tubuh, melalui perantaraan amalan kebatinan yang dijelaskan. Bererti bahawa saudara telah memberi laluan kepada makhluk musuh manusia, di mana Allah memberi amaran agar berhati-hati.
Apabila dalam tubuh manusia itu ada laluan jin-jin, maka di waktu lain, makhluk itu akan mudah masuk meresap dalam tubuh manusia. Ketika itu saudara akan berhadapan masalah, kecuali saudara berupaya menutup jalan-jalan laluan tersebut.
Sasaran utama jin-jin terhadap manusia ialah pada otak yang boleh mengakibatkan ketidaknormalan otak, di hati menyebabkan berlakunya ``waswas syaitan'' juga gangguan pada seluruh tubuh. Otak tidak normal boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar tabii manusia, mencarut, cakap bersendirian, telanjang dan sebagainya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Waswas syaitan pula menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah yang berkaitan dengan hati, mempersoalkan tentang Allah. Adakah Allah itu benar-benar wujud, bagaimana rupa Allah, timbul was-was tentang keunggulan Islam, waswas ketika berwuduk dan ketika sembahyang, rasa murung dan terlalu sedih atau gembira tanpa sebab yang jelas.
Kalaulah iblis dan syaitan yang menyerap dalam tubuh itu boleh menyebabkan seseorang itu bersilat, dalam masa yang lain, iblis itu boleh memaksa si empunya diri memegang pisau, parang atau apa-apa objek keras, lalu otak juga hatinya dikuasai oleh syaitan, lalu memukul atau membunuh orang lain, biarpun adik-beradik, datuk atau teman sendiri, tanpa ada sebab yang jelas akibat sesuatu sebab yang terlalu kecil.
Pembicaraan mengenai amalan kebatinan yang saudara pelajari terlalu luas, sayangnya ia adalah sesuatu yang rahsia, tersembunyi yang tidak dapat dimaklumi oleh umum, biarpun ia banyak dipelajari atau dituntut.
Petikan daripada:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

Thursday, April 8, 2010

Perbomohan Sesat Dalam Masyarakat Melayu

Terdapat sejenis Bomoh yang amat bahaya dalam masyarakat Melayu, yang kerjanya hanyalah untuk menimbulkan kesusahan dan huru hara kepada orang lain. Bomoh jenis ini lebih di kenali sebagai Bomoh yang makan upah. Bomoh jenis ini kebiasaannya mempunyai khadam daripada golongan Jin Islam yang fasik dan Jin Kafir serta kuncu-kuncu mereka.
Mereka menggunakan perkhidmatan Jin-Jin tersebut untuk menganiayai manusia lain atas sebab-sebab tertentu, antara nya seperti iri hati, hasad dengki atau cemburu atas kejayaan orang lain samada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, persekolahan atau marah kepada orang atasan kerana tidak terpilih untuk kenaikan pangkat atau tidak memenangi tender dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang menggunakan Bomoh jenis ini bagi membalas dendam sebab sakit hati kerana di hina, di kutuk atau kerana senda gurau yang berlebihan.
Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan perkhidmatan Bomoh ini semata-mata kerana marah atau benci kepada orang lain di sebabkan kekayaan orang tersebut atau iri hati melihat orang tersebut lebih berada daripada nya atau marah kerana kesombongan orang lain terhadapnya dan lain-lain lagi.
Kebanyakan kes yang dijadikan alasan oleh sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan Bomoh jenis ini biasanya berhubung dengan masalah rumah tangga contohnya seperti untuk menundukkan suami atau isteri yang terlalu garang, meruntuhkan rumah tangga orang lain, supaya dirinya nampak cantik dan di sayangi oleh suami (dalam kes si suami yang berpoligami), kerana pinangannya di tolak oleh pihak keluarga wanita atau kekasihnya di rampas oleh lelaki lain dan sebagainya.
Cara-cara Untuk Melakukan Penganiyaan.
Terdapat berbagai cara yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka. Antaranya :-
a. Menanam barang-barang Hikmat
Setelah mendapatkan perkhidmatan bomoh, orang tersebut mestilah menanam barang-barang tertentu yang telah di puja dan dijampi oleh seperti minyak dagu, minyak berpuja (minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, di selit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia di tabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya. Kadangkala bomoh tersebut menggunakan perkhidmatan jin mereka untuk melakukan tugas ini secara ghaib.
b. Memuja gambar
Terdapat juga cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar, alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang.
c. Tuju melalui angin/makanan Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang di sakiti dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh dengan di tuju dan di kasadkan kepada orang yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat kedalam makanan dan minuman seseorang.
d. Memuja Patung sebagai penganti orang yang di aniayai
Pemujaan patung yang di puja dan dikasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dan sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.

Kesan dan Akibat ke atas diri mangsa.
Setelah syarat-syarat yang di minta oleh Bomoh ni di penuhi dan semua peraturannya diikuti maka akan berlaku sesuatu keatas orang yang dihajati oleh si pengupah tersebut. Antara kesan dan tanda-tanda bahawa seseorang tersebut telah menjadi mangsa Bomoh ini ialah antaranya :-
a. Badan sentiasa sakit menyucuk-nyucuk, anggota terasa panas, bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, badan terasa kebas dan sebagainya.
b. Perasaan menjadi resah dan gelisah, tidak boleh tidur malam, sering bermimpi yang buruk dan mengerikan, terdapat lebam-lebam bewarna biru seperti kena tokok ditempat-tempat tertentu pada badan.
c. Orang yang dianiayai akan menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya.
d. Sering meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri.
e. Mengalami sakit kepala sebelah samada di sebelah kanan atau kiri.
f. Rahim terasa sakit dan kadang-kala terasa seperti hendak jatuh
g. Badan terasa berat seperti ada benda di atas belakangnya dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya.
h. Sentiasa terkenang atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah.
i. Tidak boleh duduk dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut.
j. Selalu tidak sedarkan diri dan pengsan.
k. Kadang-kala si mangsa berbau busuk di merata-rata tempat.
l. Perut mangsa menjadi buncit tanpa apa-apa penyakit. ( kata orang busung )
m. Kadang-kala kemaluan dirasakan telah berpindah ketempat lain seperti berada di dahi, sedangkan orang lain tidak dapat melihatnya.
n. Terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan " kamu akan mati tidak lama lagi dan sebagainya.
o. Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku.
p. Sentiasa menolak pinangan yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna mereka enggan berkahwin sampai ke tua.
Bomoh-bomoh yang mengambil upah untuk menganiayai orang lain ini amatlah besar dosanya dan telah menjerumuskan dirinya kelembah kekafiran begitu juga orang-orang yang mendapatkan perkhidmatan Bomoh-bomoh dari jenis ini. Kedua-dua belah pihak sama-sama menjadi kafir dan akhirnya sama-sama akan dihumbankan kedalam neraka di hari Khiamat kelak. Oleh itu sebagai umat Islam kita mestilah menjauhkan diri daripada Bomoh-bomoh yang seperti ini.
Anggaplah segala sesuatu yang berlaku keatas diri kita itu adalah merupakan takdir dan Qada dan Qadar daripada Allah. Semua kejadian itu adalah atas kehendak Allah, tentu ada hikmah dan nikmat di sebalik semua kejadian tersebut, jangan suka menaruh perasaan dendam, cemburu dan iri hati, kerana perasaan tersebut akan merusakkan diri kita sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah serentak melalui lidah, anggota, hati yang dinamakan dengan ucapan doa, teguh cita-cita dan usaha ikhtiar, kerana Dialah yang lebih berkuasa dan lebih Mengetahui segala-galanya.
Mempelajari ilmu Sihir, beramal dengannya untuk menyakiti dan mengkhianati sesama manusia, bererti mereka telah mempelajari ilmu sesat ( kufur ), berada dalam kesesatan ( kekufuran ), beramal dengan kesesatan ( kufur ), mati dalam sesat ( kufur ) dan kekal sebagai ahli neraka, selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Islam dengan ucapan dua khalimah syahadat serta taubat nasuha.

Segala amalan baiknya itu akan dipindahkan oleh Allah kepada orang yang dikhianatinya. Segala kejahatan mereka yang di sihir itu di campakkan oleh Allah keatas diri penyihir sebagai tambahan kepada kejahatan yang sedia ada. Jika ditakdirkan mereka yang dianiayai itu meninggal dunia, oleh sebab beradat melalui ilmu sihirnya, maka mati orang yang di sihir itu sebagai ahli fitrah ( syurga ) dengan syarat dia telah menerima penyakit tersebut dengan penuh sabar dan bergantung harap kepada kebesaran dan keagungan Allah dengan penuh kesabaran dan penuh redha.

 
Sekian

(Sedutan dari rencena oleh Hj. Ahmad bin Che Din)

Saturday, March 27, 2010

Waswas Dlm Ibadah Gangguan Iblis dan Syaitan


SOALAN:

Bagi sesetengah orang, masalah yang saya hadapi sekarang ini mungkin begitu remeh, tetapi bagi saya ia merupakan suatu beban besar. Setiap kali masuk waktu sembahyang, lebih-lebih lagi sembahyang maghrib, dada saya akan berdebar-debar, badan menjadi berpeluh tidak menentu. Walaupun demikian saya tetap menggagahkan diri bersembahyang.
Kadang-kadang saya mengulangi bacaan al-Fatihah pada huruf tertentu. Saya rasa malu ketika berjemaah kerana membetulkan bacaan saya itu berulang kali. Saya sedar ia kadang-kadang menjadi gangguan orang di sebelah saya.
Kerana itu saya lebih suka sembahyang bersendirian di rumah. Selain itu macam-macam ingatan yang telah berlalu datang menyelinap dalam ingatan ketika berjemaah. Adakah ini merupakan penyakit? Apa kaedah untuk mengatasi masalah ini?

 
JAWAPAN:

Setelah Allah sempurna menjadikan Adam, Allah perintahkan malaikat sujud. Mereka semua sujud, kecuali iblis, menyebabkan Allah murka, lalu melaknatnya, menghukumkannya kafir dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Bermula daripada peristiwa itu, iblis menganggap Adam itu sebagai musuh, lalu berazam untuk menyesatkan Adam dan keturunannya.
Dalam Islam sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Atas alasan ini, iblis dan syaitan itu akan memperhebatkan seseorang itu supaya tidak mendirikan sembahyang atau mendirikan sembahyang tetapi dalam keadaan tidak sempurna, mengganggunya, seperti yang saudara alami. Inilah yang dinamakan ``waswas syaitan''.
Apabila seseorang itu berdiri mendirikan sembahyang, iblis sama berdiri, ikut orang itu sembahyang. Ikut rukuk ketika rukuk dan sebagainya. Ketika itu ia akan menyelinap dalam ingatan dan mendatangkan berbagai-bagai gambaran serta ingatan dalam fikiran contohnya diperingatkan kembali kerja-kerja yang belum sempurna, masalah yang sedang dihadapi, gambaran indah yang telah berlaku dan lain-lain lagi.
Ketika inilah iblis menggoda dan menipu dengan mendatangkan pelbagai ingatan terhadap peristiwa yang lalu, terutamanya yang baru berlaku, yang serius, seperti perbalahan di pejabat, hutang yang tidak dapat diselesaikan, kunci rumah yang hilang ataupun kejadian yang berlaku dalam perjalanan ke masjid, seperti kanak-kanak yang melintas jalan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan dan menyebabkan hampir berlakunya perlanggaran.
Persoalan yang perlu ditimbulkan ialah, kenapa ingatan yang datang menyelinap itu berlaku ketika sedang bersembahyang, tidak berlaku ketika seseorang itu sedang minum, makan, memandu atau hendak tidur?
Hal demikian berlaku kerana sembahyang itu adalah antara faktor utama yang boleh mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Andainya seseorang itu berupaya melakukan sembahyang dengan baik, sempurna penuh khusyuk dan diterima oleh Allah, pelakunya akan menjadi manusia yang baik.
Atas alasan inilah maka iblis itu datang untuk merosakkan sembahyang, tidak diterima Allah dan akhirnya menjadi sia-sia tidak boleh membentuk perilaku orang yang berkenaan.
Iblis pernah bersumpah di hadapan Allah, yang dia akan menipu manusia, menggoda dan menyesatkan kecuali mereka yang ikhlas di kalangan umat manusia. Ibadah sembahyang memerlukan konsentrasi dan pengamatan yang lebih dan menyeluruh berbanding dengan orang yang sedang makan dan minum atau hendak tidur iaitu pada rukun qauli (yang melibatkan perkataan) dan fi'liy (perlakuan). Oleh kerana itu khayalan atau ingatan seumpama itu tidak seharusnya terjadi ketika sembahyang, tetapi ia tetap terjadi. Hal demikian menunjukkan adanya gangguan ketika seseorang itu sedang sembahyang.
Godaan syaitan yang sering terjadi ketika seseorang itu bersembahyang ialah ketika berniat, iaitu dengan mendatangkan rasa waswas yang boleh menyebabkan seseorang itu membatalkan niatnya dan mengulanginya beberapa kali. Hal ini terjadi kerana dirasakan niat yang dibaca itu tidak serentak dengan lafaz ``Allahuakbar'' yang disebut di lidah.
Selain mengarahkan konsentrasi seseorang kepada pelbagai lintasan, gambaran dan khayalan, iblis juga menggoda manusia dengan mendatangkan keraguan dan ketidakpastian terhadap bacaan dalam sembahyang, terutamanya dalam bacaan al-Fatihah seperti yang saudara alami.
Ada beberapa tempat yang biasanya boleh terjadinya keraguan iaitu pada makhraj (tempat keluar huruf), huruf ha' pada kalimah ``al-hamdu,'' ``ar-rahim'' contohnya. Pada huruf kesamaran (huruf-huruf yang bunyinya hampir sama), seperti huruf ``qaf'' dengan huruf ``kaf'' pada kalimah ``ihdina `s-sirata `l-mustaqim'' dan sebagainya.
Ketidakyakinan bacaan al-Fatihah juga boleh berlaku pada kalimah-kalimah yang ada padanya tasydid (sabdu), juga pada tanda huruf panjang dan pendek pada bacaan tertentu.
Keraguan-keraguan seperti ini menyebabkan seseorang itu akan menyebut kalimah-kalimah berkenaan berulang kali. Ada kalanya seseorang itu terpaksa memejam-mejamkan matanya sambil mengulangi kalimah-kalimah yang dirasakan belum sempurna bacaannya, padahal jemaah lain yang turut sembahyang dengannya telah pun sempurna melakukan rukuk.
Amalan mengulangi bacaan pada huruf-huruf tertentu berlaku akibat tiada keyakinan pada bacaan al-Fatihah. Oleh kerana itu, orang yang berkenaan perlu meminta pertolongan kepada orang yang arif tentang bacaan al-Quran. Pastikan bacaan yang diperdengarkan itu memuaskan hati orang yang berkenaan dan diperlakukan betul. Sekiranya bacaan itu tidak memuaskan, minta tolong daripadanya untuk menunjukkan bacaan-bacaan yang salah, kemudian pelajari semula dan diperdengarkan lagi di hadapannya sehingga semua bacaan itu betul.
Sekiranya keraguan itu tetap terjadi ketika sembahyang, seseorang itu hendaklah meneruskan bacaan, biarpun waswas terus berlaku, sama ada pada makhraj, pada panjang pendek bacaan ataupun lain-lainnya.
Tidak ada sebab kenapa al-Fatihah yang telah dibaca itu tidak betul, kerana ia telah diperdengarkan kepada orang yang arif berulang kali. Dengan berbuat demikian, rasa ragu itu akan hilang sedikit demi sedikit.
Sekiranya rasa ragu itu dilayan dan bacaan-bacaan itu terus diulang, rasa tidak yakin itu terus terjadi dan menebal. Dengan demikian, usaha untuk mendirikan sembahyang dengan penuh konsentrasi dan penghayatan itu akan menjadi sia-sia belaka. Ingatkan bahawa iblis dan syaitan itu memang sentiasa cuba berusaha merosakkan sembahyang seseorang.
Rasa waswas seperti ini adalah akibat gangguan iblis dan syaitan dalam usaha merosakkan ibadah manusia. Apabila keraguan itu timbul, seseorang itu akan lebih berusaha mengulanginya berulang kali, menyebabkan timbulnya rasa tidak yakin terhadap keseluruhan sembahyang.
Orang seperti inilah yang gagal memberi konsentrasinya kepada Allah yang disembah, kerana seluruh fikiran ketika itu digunakan untuk membetulkan bacaan berulang kali. Manusia pada lumrahnya hanya berupaya memberi satu konsentrasi pada satu masa. Jika seluruh fikiran dan konsentrasi yang dimiliki itu digunakan untuk membetulkan bacaan, pada huruf-huruf kesamaran, pada tasydid, pada panjang pendek huruf, tidak mungkin dia berupaya memberi tumpuan kepada Allah.
Ingat bahawa iblis dan syaitan itu sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan dan menahan manusia daripada melakukan kebaikan. Keturunan iblis dan syaitan yang dinamakan Thibr mengambil peranan khas untuk menggoda dan membisikkan pada manusia supaya melakukan kebinasaan, merobek dan mengoyak baju, menampar muka dan menjerit-jerit dengan teriakan seperti yang dilakukan oleh manusia pada zaman jahiliah apabila berlaku kematian.
A'war bertindak mendesak, menggoda dan mendorong manusia melakukan zina. Mabsut bertindak mendorong manusia agar sentiasa berdusta. Dasim pula sentiasa menggoda manusia supaya bersengketa dengan saudara- mara, yang menyebabkan berlakunya pergaduhan dalam keluarga, manakala Zalanbur pula sentiasa berlegar-legar di pasar, merangsang manusia agar melakukan penipuan, sentiasa menipu timbang, nilai barang, ingkar janji, menyorok barang untuk menaikkan harga dan sebagainya.
Imam Muslim dalam sahihnya daripada hadis Uthman bin Abdul Asy menyatakan: Aku telah bertanya kepada Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah menghalangi antaraku dengan sembahyangku, mengelirukan sembahyangku. Rasulullah menjawab: Itu adalah perbuatan syaitan yang dinamakan khinzab.
Kerana itu, apabila engkau merasakan berlaku gangguan, engkau hendaklah berlindung kepada Allah daripada gangguannya dan tiup di sebelah kiri tiga kali. Aku telah melakukan apa yang disuruh oleh baginda. Maka Allah telah menghilangkan rasa waswas itu daripada sembahyangku.
Selain itu, gangguan iblis dan syaitan juga sering berlaku ketika seseorang itu sedang mengambil air sembahyang. Dalam sebuah hadis dijelaskan: Bagi wuduk itu ada satu kumpulan syaitan dinamakan al-Wilhan, maka berhati-hatilah.
Akibat daripada gangguan makhluk jenis ini, seseorang itu boleh terganggu akibat waswas yang menyelinap dalam dirinya, menyebabkan orang yang berkenaan mengulangi bacaan niatnya berkali-kali, membasuh anggota wuduk berkali-kali, terasa air tidak sampai pada kulit anggota wuduk, tidak tiba pada hujung dahi, tepi telinga dan sebagainya. Terasa juga air tidak sampai pada celah-celah kuku dan sebagainya. Semuanya itu berlaku akibat daripada waswas syaitan yang boleh menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk hingga basah dan mengambil masa yang begitu lama.
Masalah waswas yang dijelaskan di atas ini berlaku pada semua orang. Bezanya ialah kadar waswas yang dihadapi. Sesetengah orang turut terjebak dengan mainan syaitan, tetapi kebanyakan orang berupaya mengatasinya dengan mudah.
Bagi mereka yang menghadapi masalah wuduk, orang yang berkenaan hendaklah faham dan sedar bahawa apa yang berlaku adalah akibat waswas syaitan, dan jangan mengulangi membasuh anggota wuduk lebih daripada tiga kali. Selagi seseorang itu mengulangi basuhan pada anggota wuduk, maka waswas yang dialami akan menjadi lebih hebat lalu akhirnya keadaan menjadi lebih gawat.
Bagi orang yang rasa berdebar-debar, tidak menentu dan menjadi bingung, terasa sedih dan ada kalanya lupa bacaan-bacaan yang selalunya diingati ketika sembahyang, orang yang seumpama ini sebenarnya mengalami waswas syaitan pada peringkat yang tinggi, bukan lagi seperti yang dialami oleh orang biasa. Besar kemungkinan ia mengalami gangguan iblis dan syaitan yang mengganggu rohnya.

 
Rencana oleh:
Dr. Amran Kasimin

Mingguan Malaysia

Friday, March 19, 2010

Benci Akibat Angkara Sihir

SOALAN:
Sejak kebelakangan ini, pergaduhan sering berlaku dalam rumah tangga. Saya cukup meluat dan benci melihat suami dan rasa lega apabila dia keluar rumah. Apabila ada masalah biarpun sedikit, saya seumpama terdorong meninggikan suara. Saya rasa macam ada desakan supaya saya meminta cerai dan lidah saya pernah terpacul meminta cerai, biarpun bukan kehendak saya. Saya baru enam bulan berkahwin dan menyayanginya. Adakah sakit yang saya alami ini berlaku pada orang lain?

 
- Siti Rahayu, Alor Star

 
Jawapan:
Lumrahnya, tempoh berkahwin enam bulan adalah waktu pasangan berbulan madu. Kalau boleh tak mahu berpisah, biarpun sekejap.
Namun puan bermasalah. Meluat tengok suami, rasa lega apabila dia keluar rumah. Ini bererti bahawa puan tidak dapat menikmati atau menghayati matlamat perkahwinan yang sebenar, iaitu hidup berkasih sayang, tenang dan rukun damai.
Puan perlu faham, setiap sesuatu yang berlaku di luar kebiasaan pasti ada puncanya. Menurut Umar Sulaiman (1985:75-75), di antara cara atau kaedah iblis syaitan menyesatkan manusia ialah dengan mengajar ilmu sihir kepada manusia. Ilmu inilah yang digunakan untuk memisahkan pasangan suami isteri. Perpisahan ini merupakan tumpuan iblis dan syaitan.
Menurut Wahid Abdul Salam Bali (1412H:57), pelanggan akan menemui tukang sihir dan meminta daripadanya agar ia memisahkan pasangan tertentu.
Tukang sihir akan meminta daripadanya nama lelaki yang hendak disihirnya, berserta nama ibunya, kemudian dia akan meminta sesuatu benda, seperti rambut, baju, songkok dan sebagainya.
Sekiranya bahan-bahan yang diperlukan itu tidak didapati, tukang sihir berkenaan akan melakukan sihir dengan menggunakan kalimah-kalimah sihir dan disuruh agar air yang dijampi tadi dituang di tempat laluannya, menyebabkannya terkena sihir apabila dia melangkahnya. Bahan air tadi boleh juga dimasukkan dalam makanan atau minuman.

Dalam masyarakat Melayu, tukang-tukang sihir selalunya akan meminta nama pasangan yang terlibat berserta nama ibu masing-masing, juga bahan-bahan tertentu, seperti gambar, baju, kain, seluar dalam atau apa jenis pakaian yang telah dipakai.
Sekiranya bahan tadi tidak diperoleh oleh orang yang mempunyai hajat, kemungkinan tukang sihir tadi menyuruh jin yang mendampinginya, mengambil bahan-bahan tadi.
Terdapat keterangan daripada hadis-hadis menunjukkan bahawa jin-jin memang ada yang mencuri bahan-bahan tertentu, kepunyaan manusia.
Dalam sebuah hadis daripada Buraidah, dia telah berkata: Aku mempunyai makanan. Maka aku dapati akan dia berkurangan. Lalu aku hendap pada waktu malam. Aku dapati ada lembaga padanya, lalu tangkap akan dia. Aku berkata: Aku tidak akan melepaskan dikau hingga aku bawa engkau kepada nabi.
Lembaga tadi berkata: Sesungguhnya aku ini seorang perempuan yang banyak keluarga. Aku tidak akan datang lagi.
Begitulah yang dilakukan oleh lembaga tadi buat kali kedua dan ketiga. Tiap kali datang aku tangkap. Akhirnya lembaga tadi berkata: Lepaskan daku... aku akan ajarkan dikau sesuatu apabila engkau baca akan dia nescaya salah satu daripada golongan kami tidak menghampiri barang-barang engkau.
Apabila engkau baring di atas tempat tidur bacalah untuk diri dan harta kau ayat al-Kursi. Aku telah memberitahu nabi, baginda telah berkata: Benarlah... walaupun dia pembohong.
Hadis ini menjelaskan bahawa bukan mustahil makhluk jin-jin itu mencuri sesuatu kepunyaan manusia, yang melibatkan objek tertentu. Dalam kes yang dijelaskan di atas, jin perempuan ini mencuri buah kurma untuk keperluan anaknya.
Manusia yang berilmu, yang diberi kekuatan Allah, berupaya menangkap jin. Bermaksud bahawa manusia yang tidak berilmu, yang tidak diberi kekuatan oleh Allah, biarpun mereka termasuk dalam golongan khalifah di muka bumi, tidak berupaya berbuat demikian. Sebaliknya makhluk ini akan ditangkap, diganggu, ditipu dan ditakluki oleh jin-jin.
Istinbat atau pengajaran hadis ini juga memperlihatkan bahawa ayat al-Kursi itu mempunyai fadilat istimewa dalam usaha menangani atau mengatasi masalah yang berkaitan dengan gangguan jin-jin.
Dengan berbuat demikian, Allah akan menyelamatkan diri mereka yang mengamalkan atau membaca ayat al-Kursi, juga harta benda daripada gangguan dicuri oleh jin-jin. Itulah di antara rahsia bagaimana hendak mengatasi masalah yang berkaitan dengan jin-jin. Rahsia yang didedahkan sendiri oleh makhluk jin.
Akhir sekali baginda memberi peringatan bahawa biarpun apa yang dikatakan oleh jin mengenai ayat al-Kursi itu benar, namun makhluk jin itu, iaitu iblis dan syaitan adalah makhluk pembohong.
Menurut Wahid Abdul Salam (142H: 55-57) sihir jenis ini juga boleh memisahkan anak dengan ibu, anak dengan bapa, adik-beradik, di antara teman, rakan syarikat perniagaan dan lain-lainnya. Perpisahan di antara pasangan suami isteri paling bahaya dan banyak berlaku.
Sihir jenis ini boleh menyebabkan timbulnya rasa benci yang bersangatan dengan tiba-tiba, berlaku syak-wasangka tidak boleh bertolak ansur, menyebabkan berlakunya perselisihan faham biarpun atas sebab-sebab yang kecil.
Sihir juga menyebabkan berlakunya perubahan rupa suami pada mata isteri atau sebaliknya. Suami akan melihat isterinya dengan pandangan yang menyakitkan hati lagi hodoh. Biarpun isterinya cantik.
Hal demikian berlaku kerana iblis yang terlibat dengan sihir itu mengubahkan rupa si isteri menjadi buruk dan menimbulkan rasa benci pada suami. Isteri ada kalanya melihat wajah suaminya dengan pandangan yang menakutkan.
Al-Hafiz Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir (1:44) menjelaskan bahawa perceraian suami isteri boleh berlaku akibat sihir menyebabkan setiap pihak melihat pasangannya dengan pandangan yang buruk, atau lain-lain punca yang mendatang yang boleh menyebabkan berlakunya perceraian.
Menurut seorang responden, salah satu kaedah untuk memisahkan pasangan suami isteri ialah dengan menggunakan tahi besi .
Bahan ini telah siap dibungkus untuk dijual. Setelah dibacakan mantera pembenci, bahan tersebut ditabur di tempat laluan pasangan yang terlibat, seperti di jalan masuk rumah, di depan tangga dan sebagainya.
Tukang sihir memerintahkan jin-jin yang mendampinginya agar merasuk otak mereka yang melangkahi bahan tadi menyebabkan timbulnya rasa tidak tenteram, gelisah dan rasa benci-membenci.
Tahi besi digunakan untuk tujuan ini kerana ia diperoleh daripada bahan besi yang dibakar. Sempena daripadanya, betapa panas besi yang menyebabkan terjadinya tahi besi, maka begitulah panas, rasa gelisah dan tidak tenteram berlaku ke atas mereka yang melangkah tahi besi yang dijampi puja tadi.
Nama ibu perlu disebut jelas kerana tidak mahu sihir yang ditujukan kepada individu tertentu itu tersalah sasaran. Nama bapa tersebut tidak semestinya membuktikan bahawa orang berkenaan benar-benar anak kepada nama lelaki (bapa) yang disebut tadi, mungkin dia hanya anak angkat.
Sebutan nama disertakan dengan nama ibu adalah lebih tepat atau pasti kerana orang yang berkenaan tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan lahir daripada perut ibu.
Individu yang mempunyai kekuatan roh yang sentiasa mendampingkan diri kepada Allah dan dikasihi oleh-Nya akan terselamat daripada gangguan iblis dan syaitan. Begitulah Allah melindungi kekasih-Nya.
Wahid Abdul Salam Bali (1412H: 59) menceritakan kisah seorang perempuan yang terlalu membenci suaminya akibat sihir. Ia berasa begitu lemas dan resah ketika berada di rumah.
Pasangan ini menemui seorang perawat yang menggunakan ayat-ayat al-Quran. Jin yang meresap dalam tubuhnya mengakui, yang ia datang dengan perantaraan sihir, untuk memisahkan pasangan ini.
Perawat telah memukulnya banyak kali, tetapi tidak memberi kesan, ia telah berulang alik untuk mendapatkan rawatan selama sebulan di mana akhirnya jin tersebut meminta agar ia menceraikan dengan talak satu, kemudian merujuk semula.
Perempuan berkenaan telah sembuh selama seminggu, tetapi sakit semula, lalu mereka menemui penulis yang juga perawat yang menggunakan ayat al-Quran. Ketika dirawat, perempuan tersebut telah menjerit yang akhirnya berlaku dialog di antara kedua-dua belah pihak.
Jin tersebut memberitahu namanya Syaqwan, beragama Nasrani. Ia masuk dalam tubuh si isteri untuk memisahkannya dengan suaminya. Perawat mencadangkan agar jin itu memeluk Islam seandainya ia mahu dan ia tidak dipaksa.
Jin tersebut pada mulanya enggan keluar daripada tubuh mangsa dan memberitahu agar ia jangan menyusahkan diri kerana pesakit telah dibawa menemui ramai perawat, tetapi tidak berjaya.
Setelah berlaku perbahasan dan perbincangan yang panjang, jin tersebut akhirnya memeluk Islam. Perawat bertanya sama ada jin tersebut memeluk Islam sepenuh hatinya, ataupun semata-mata untuk menipunya. Jin tadi menjawab, bahawa ia tidak berkuasa memaksanya memeluk Islam.
Ia memeluk Islam dengan sepenuh hati. Tetapi ia menyatakan bahawa ia sedang melihat satu kumpulan jin Nasrani mengancamnya dan menakut-nakutkan untuk membunuhnya.
Perawat menyatakan untuk mengatasi perkara seumpama ini adalah mudah. Andainya ia telah memeluk Islam dengan jujur sepenuh hati, ia akan diberi senjata yang kuat, di mana tidak ada sesiapa pun yang berupaya menghampirinya. Jin tersebut telah meminta senjata yang dimaksudkan ketika itu juga, tetapi tidak diberi, kecuali setelah ia menjauhkan diri daripada melakukan kezaliman dan keluar daripada tubuh perempuan tadi.
Jin tersebut mengaku yang ia telah memeluk Islam, tetapi tidak berupaya melepaskan diri daripada tukang sihir. Menurut perawat, adalah mudah untuk mengatasi masalah tersebut, asalkan ia mahu memberitahu di mana bahan-bahan sihir itu diletakkan.
Jin memberitahu bahawa bahan tersebut ditanam di bawah rumah tempat perempuan itu tinggal, tetapi ia tidak pasti di mana ia ditanam kerana di tempat tersebut adalah jin lain menjaga bahan-bahan sihir tadi.
Apabila bahan-bahan yang ditanam tadi diketahui oleh manusia, jin tadi akan memindahkannya ke tempat lain.
Ketika ditanya lebih lanjut, jin berkenaan mengakui telah melakukan sihir selama 10 atau 20 tahun, tetapi ia kurang pasti. Sebelum itu ia telah merasuk tiga orang perempuan. Syeikh Abdul Wahid telah memberi senjata kepada jin itu dengan menyuruhnya membaca ayat al-Kursi.
Setiap kali kumpulan jin itu hendak mendekatinya, ia hendaklah membaca ayat berkenaan. Untuk melepaskan diri daripada tukang sihir, ia disuruh agar keluar daripada tubuh perempuan dan segera ke Mekah tinggal bersama jin-jin Islam di Masjidilharam.
Jin ini masih tidak pasti bahawa Allah akan mengampunkan dosa-dosanya kerana terlalu banyak melakukan maksiat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Penyayang (az-zumar: 53).
Mendengarkan ayat al-Quran yang dibacakan itu, jin tadi menangis teresak-esak dan meminta agar perempuan yang dirasuknya itu memaafkannya apabila ia pergi nanti, lalu ia keluar daripada tubuh mangsanya. Beberapa hari selepas peristiwa itu, si suami datang menyatakan semuanya telah pulih seperti sedia kala dengan kehendak Allah.
Dipetik dari Bicara Agama, Utusan Malaysia, Bersama Dr. Amran Kasimin

Tuesday, March 16, 2010

Kisah Seorang Guru

Kisah ini saya petik dari blog http://azamanakfelda.blogspot.com/

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.
Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”
Dia terkejut dan wajahnya berubah.
“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya
“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”
” Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Saturday, March 13, 2010

Nasi Kangkang atau Nasi Tangas - Amalan Syirik

SOALAN:
Saya berumur lebih 40 tahun, telah beristeri dan mempunyai anak-anak yang telah dewasa. Boleh dikatakan kaya dan mempunyai nama. Saya tidak begitu pasti, bagaimana saya boleh jatuh cinta kepada seorang janda, yang tidak begitu cantik, malah isteri saya yang ada lebih cantik, tetapi saya seumpama gila bayang padanya, yang akhirnya saya mengahwininya.
Isteri yang saya sayangi selama ini akhirnya saya ceraikan. Rumah tangga seumpama tidak terurus, malah diri saya sendiri pun tidak terurus. Ketika di rumah saya seumpama takut dengan isteri, tunduk dan tidak begitu normal. Saya begitu gembira ketika bersama teman-teman, tetapi segala-galanya berubah sebaik-baik saya balik ke rumah.

Pernah seorang teman menyuruh saya berubat, kerana katanya saya berkemungkinan kena `nasi kangkang' atau `nasi tangas', menyebabkan saya takut kepada isteri. Apakah benar tentang adanya ilmu-ilmu seperti ini?

- Shuri, Pendang
JAWAPAN:
Saya tidak pasti sama ada saudara kena ilmu penunduk, kena nasi kangkang atau nasi tangas berdasarkan semata-mata kepada latar belakang yang saudara berikan. Walaupun kalau saudara boleh memberi penjelasan lebih lanjut, berkemungkinan persoalan saudara hadapi itu dapat diperjelaskan.
Dalam masyarakat Melayu, ilmu kebatinan yang melibatkan ilmu pengasih, yang juga dikenali sebagai ilmu guna-guna sering dikaitkan dengan amalan sihir. Banyak kaedah yang boleh dilakukan untuk tujuan ini, di antaranya dengan menggunakan minyak, yang dikenali sebagai minyak guna-guna, ataupun dengan pemujaan berserta bahan-bahan tertentu yang melibatkan jin-jin.
Antara tujuan ilmu ini diamalkan ialah untuk membangkitkan keinginan seseorang terhadap pengamal, sama ada untuk tujuan baik, seperti untuk mendapatkan jodoh, ataupun untuk tujuan jahat, seperti untuk membalas dendam, untuk memuaskan nafsu ataupun hanya untuk berseronok-seronok di samping untuk mengikis harta kepunyaan mangsa.
Ilmu ini juga diamalkan supaya wajah kelihatan berseri, seperti yang dilakukan oleh mak andam terhadap pengantin perempuan yang diandam, untuk satu tarikh tertentu sahaja iaitu ketika bersanding, ataupun untuk jangka masa yang lebih panjang, biarpun usia telah meningkat.
Ilmu pengasih juga diamalkan untuk menundukkan orang lain menyebabkan orang yang bertemu dengan pengamal dengan tidak semena-mena jatuh kasih atau lemah hati. Ilmu pengasih jenis ini diamalkan mungkin untuk menguasai seseorang, untuk memenangi undi dan sebagainya. Pada kebiasaannya setiap perkataan yang lahir daripada mulut pengamal akan menimbulkan rasa kasihan, kagum dan hormat di kalangan pendengarnya. Termasuk dalam kategori ilmu pengasih ialah amalan yang dilakukan oleh isteri terhadap suami, agar tunduk kasih kepadanya. Amalan ini selalunya dilakukan oleh isteri ke atas suami yang dianggap tidak adil, kasar dan sering melakukan kezaliman. Akibatnya suami mungkin menjadi takut, tidak berani berhadapan dengan isterinya, menjadi kaku dan terpukau menurut segala apa yang disuruh. Ia juga ada kalanya dilakukan oleh isteri yang jahat yang hendak menundukkan suaminya, menguasai harta dan semua kepunyaan suami.
Sihir yang dikenakan dengan tujuan supaya isteri bertambah kasih kepada suami atau sebaliknya dinamakan at-tiwalah. Menurut Wahid Abdul Salam Bali (1412H:78), amalan ini dilakukan oleh isteri yang cetek pengetahuan agamanya, dan jahil tentang haramnya perbuatan yang dilakukan. Tukang-tukang sihir menyuruh si isteri mengambil apa-apa bahan yang pernah digunakan oleh suami seperti baju, sapu tangan dan sebagainya dengan syarat barang-barang tadi mengandungi bau badan ataupun peluh pemakai.
Tukang sihir akan mengambil beberapa batang jarum lalu menjampinya. Bahan yang telah dijampi itu ditanam pada satu tempat tertentu. Selain itu tukang-tukang sihir ada kalanya menjampi makanan yang dicampur dengan benda-benda kotor yang terdiri daripada najis, kencing ataupun darah haid dan diberi makan pada mangsanya.
Menurut Mohd. Abd. Wahab, tiwalah ialah sesuatu amalan yang dilakukan yang dipercayai boleh menyebabkan isteri mengasihi suami atau sebaliknya.
Dalam masyarakat Malaysia, amalan seperti ini lebih dikenali sebagai ``nasi tangas'' ataupun ``nasi kangkang'', di mana nasi ataupun makanan yang masih panas itu dicampurkan dengan bahan-bahan kotor yang diambil daripada badan manusia (pengamal), seperti daki, kotoran celah-celah kuku dan dikangkangkan sehingga wap daripada kemaluan jatuh dalam makanan tadi. Lebih berkesan lagi sekiranya orang yang melakukannya itu berada dalam keadaan kotor (haid).
Amalan yang dibantu oleh sihir ini menjadikan suami seumpama bodoh, menurut telunjuk kemahuan isteri. Amalan ini adalah terlarang dan pelakunya termasuk dalam golongan mereka yang melakukan amalan syirik. Pada hakikatnya, amalan seperti ini bukan menyebabkan suami bertambah kasih kepada isteri tetapi boleh menyebabkan si suami menjadi bodoh seolah-olah dikuasai oleh satu kuasa asing menyebabkannya takut dan tunduk kepada isteri.
Menurut Wahid Abdul Salah Bali, perbuatan seperti ini ada kalanya menjadikan perkara sebaliknya berlaku, di mana suami membenci isterinya ataupun membenci semua perempuan termasuk isterinya, yang mana akhirnya pasangan ini berpisah juga.
Menurut Abu Ubaidah Mahir (1995:70) sihir jenis ini dikenali sebagai sihru'-mahabbah (sihir kasih). Pengamal sihir ini adalah syirik hukumnya. Ia dilakukan mungkin kerana si isteri tamakkan harta, terutamanya kalau suami kaya. Kerana cemburu terhadap suami yang bersangatan dan isteri takutkan suami berkahwin lagi.
Menurut Abu Ubaidah lagi, isteri yang hendak melakukan sihir akan menemui tukang sihir yang meminta barang-barang tertentu seperti baju, sapu tangan, songkok dan sebagainya dengan syarat barang-barang tadi telah dipakai, kerana ia mengandungi peluh. Beberapa helai benang diambil daripada bahan tadi dijampi kemudian ditiup padanya, disimpulkan dan ditanam di tempat-tempat tertentu, atau dimasukkan dalam makanan atau minuman. Sihir yang paling dahsyat daripada jenis ini dan sangat berbahaya dinamakan as-sihru'i-aswad (sihir hitam) yang diperbuat menggunakan bahan najis, darah haid ataupun nifas.
Kesan sihir jenis ini boleh terjadi sebaliknya menyebabkan suami membenci semua perempuan termasuk isteri, ibu, adik-beradik, bapa saudara dan semua mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan.
Suami kadang-kadang sakit kerana bahan yang dimakan mengandungi bahan-bahan kotor dan najis.
Sahibul Fadilah Asy-Syeikh Asy-Sya'rawi ketika ditanya tentang penglibatan jin-jin untuk memisahkan pasangan suami isteri menyatakan bahawa ia bukan merupakan sesuatu yang mustahil Allah menganugerahkan keistimewaan-keistimewaan tertentu terhadap sesetengah daripada makhluknya. Dan di antara keistimewaan jin-jin ialah keupayaan melakukan sihir. Dengan itu jin-jin berkeupayaan mengubah pandangan seseorang yang melihat perempuan cantik itu menjadi hodoh, menyebabkan timbul rasa benci melihatnya seperti melihat kera di hadapannya. Begitulah sebaliknya menyebabkan perempuan yang tidak cantik atau mempunyai wajah biasa dilihat seumpama permaisuri yang jelita.
Hal demikian boleh berlaku pada pasangan suami isteri di mana jin-jin boleh menyihir seorang isteri yang menyebabkan timbul rasa dingin suami bahkan jin juga boleh menyebabkan si suami berasa seolah-olah adanya sepotong daging menyekat faraj isteri (Muhammad Ar-Razi, 1985:240-241).
Menurut seorang bomoh yang tinggal di Batu Pahat, nasi tangas disediakan oleh isteri yang ingin menundukkan suaminya, dengan mengangkangkan nasi yang sedang panas berwap dalam keadaan duduk mencangkung, merapatkan punggung pada nasi untuk selama lebih kurang sepuluh hingga lima belas minit. Kain yang dipakai menyelubungi bahan tadi dibuka buat seketika sekiranya dirasa terlalu panas berbahang, kemudian ditutup rapat semula.
Selain daripada nasi, ia juga boleh dibuat pada air, yang dicampur dalam makanan atau terus dibuat minum.
Selain untuk tujuan di atas, ilmu pengasih atau ilmu guna-guna diamalkan semata-mata untuk menundukkan seseorang terutamanya kaum wanita untuk tujuan seks, merampas isteri orang untuk membalas dendam, yang dilakukan mungkin kerana pinangan ditolak, perempuan memungkiri janji untuk berkahwin, pihak perempuan menghina atau memandang rendah kepada lelaki tertentu menyebabkan rasa marah lalu membalas dendam dengan mengenakan sihir.
Mangsa ilmu guna-guna akan memperlihatkan kelakuan yang aneh dan sering melakukan tindak-tanduk di luar kebiasaan. Orang yang pada asalnya membenci seseorang boleh bertukar menjadi rindu tanpa mempedulikan rintangan, sentiasa terbayang wajah orang yang menyihirnya.
Sekiranya individu yang terlibat telah berumah tangga, suami akan lupakan isteri dan anak-anak, lupa tanggungjawab yang perlu dilakukan, juga tidak mendengar nasihat sesiapa pun termasuk ibu dan bapa. Dalam keadaan tertentu ia akan kembali normal menyedari siapakah dirinya yang sebenar, mengingati keluarga, tetapi ia merasai seolah-olah ada satu kekuatan luar menguasainya menyebabkannya berada dalam keadaan khayal dan terpukau.
Seorang responden berumur lebih kurang 65 tahun yang tinggal di Perlis, menjelaskan bahawa ubat guna-guna atau ilmu pengasih adalah salah satu daripada amalan ilmu sihir yang menggunakan khidmat jin-jin. Pengamal ilmu sihir guna-guna akan membaca jampi manteranya untuk memanggil jin yang mendampinginya dan mengarahkannya datang dalam mimpi mangsa menjelma menyerupai lelaki yang memujanya dengan rupa yang begitu menarik, menyebabkan seluruh perasaan tertumpu kepada lelaki berkenaan.
Apabila tersedar daripada tidur, ia akan terlihat bayangan jin yang menyerupai lelaki berkenaan menyebabkannya terus-menerus teringatkan lelaki tadi. Si mangsa akan berasa tidak sempurna, resah gelisah dan terus-menerus teringatkan lelaki tadi, tidak kira di mana ia berada, sama ada ketika makan minum, ketika bekerja dan sebagainya.
Selain daripada itu, jin tadi akan merasuk otak mangsa menyebabkan dia tidak berupaya berfikir waras, berubah sikap terhadap anak dan suami andainya si mangsa seorang perempuan yang telah berumah tangga, tidak pedulikan nasihat orang lain andainya dia seorang dara. Setelah dikuasai fikiran dan ingatan si mangsa, jin akan datang menarik jasad orang yang berkenaan membawa pergi menemui orang yang memujanya tadi, seolah-olah ada magnet menariknya untuk berbuat demikian.
Kesan amalan sihir adalah berbeza, bergantung kepada kekuatan roh seseorang dan jenis sihir yang dikenakan. Ada mangsa yang hilang ingatan sama sekali, tidak tahu apa yang telah berlaku pada dirinya apabila ingatannya pulih kembali.
Ada mangsa yang tidak hilang ingatan, tetapi tahap kesedarannya terlalu sedikit, berbanding tahap kesedaran yang telah dikuasai oleh sihir yang dikenakan kepadanya. Kerana itu terdapat mangsa sihir yang menyedari apa yang sedang berlaku ke atasnya terasa seolah-olah dipukau, ditarik-tarik untuk menemui seseorang dan berusaha untuk melawan, tetapi tidak berkeupayaan kerana kekuatannya yang sebenar terlalu lemah.
Berdasarkan keterangan di atas, amalan menundukkan seseorang termasuk menundukkan suami melalui kaedah yang dikenali sebagai ``nasi kangkang'' atau ``nasi tangas'' bukan sesuatu yang mustahil berlaku.
Dipetik dari Bicara Agama, Utusan Malaysia, Bersama Dr. Amran Kasimin