Saturday, August 21, 2010

Ke manakah perginya roh setelah manusia mati?

Abu Bakar r.a telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar r.a : "Roh itu menuju ke tujuh tempat" :-


1. Roh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adnin.
2.Roh para ulama menuju ke syurga Firdaus.
3.Roh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina.
4.Roh para syuhadaa berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6.Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari kiamat.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa : "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah" :-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2.Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan.
3.Orang yang puasa hari Arafah

Monday, July 19, 2010

Amalan Menurun

SOALAN:

Biarpun Islam telah begitu lama dianuti oleh orang Melayu di Nusantara, tetapi amalan bidaah dan khurafat yang boleh menyebabkan berlakunya penyelewengan akidah masih berlaku hingga sekarang ini. Ramai orang Islam yang melakukan amalan menurun ketika berubat dengan pawang, bomoh dan dukun.
Ketika melakukan persembahan teater tradisional, seperti olek mayang, berbagih, wayang kulit, kuda kepang, tarian bubu dan sebagainya, malah ia dipertunjukkan anjuran Kementerian Kebudayaan.
Saya berkeyakinan hanya dengan pemahaman jelas tentang apa itu sebenarnya menurun sahajalah maka orang ramai, khususnya orang Islam menghentikan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam ini. - Husni


JAWAPAN:

Menurun adalah satu keadaan di mana seseorang itu dikuasai oleh jin atau jin-jin yang meresap dalam jasad, menyebabkan individu berkenaan tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri. Upacara-upacara dan tindak-tanduk yang dilakukan setelah itu bergantung kepada tujuan menurun itu dilakukan.
Sebelum berlakunya resapan jin-jin ia akan didahului oleh tanda-tanda kedatangan makhluk yang dipanggil, diseru atau dipuja. Terdengar seperti suara loceng, deruan ribut, desiran angin, terhidu bau harum bunga, bau kemenyan dan sebagainya. Semakin hampir makhluk yang dipanggil itu datang, tanda-tanda tadi akan semakin jelas.

Ketika makhluk ini meresap, rasa sejuk atau seram terasa mengalir atau meresap masuk pada bahagian anggota berkenaan, sama ada di jari-jari tangan, kaki ataupun terasa terserap sekali gus seluruh badan.
Kadang-kadang terdapat getaran pada anggota tersebut. Kedua-dua belah telinga terasa kebas dan membesar, kepala terasa sebak seumpama sedang diisi angin. Bulu roma terasa meremang. Sebelum berada dalam keadaan menurun atau tidak sedarkan diri, dunia terasa gelap-gelita, terdengar desiran ombak berbalam-balam beberapa kali, lalu akhirnya orang yang berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, yang diistilahkan sebagai ``menurun'' atau ``lupa''. Keadaan yang dijelaskan ini, tidak semestinya dialami oleh setiap orang yang berada dalam proses menurun secara menyeluruh, mungkin hanya sebahagian daripada tanda-tanda ini yang dialami ketika menurun.

 
Menurut seorang informan, seorang bomoh yang mengaku bersahabat dengan jin, pada tujuh tahun pertama mengamalkan ilmu yang diajar oleh sahabatnya, ia mendapat tanda kilat yang memancar sebanyak tiga kali pada matanya apabila sahabatnya yang dipanggil itu datang.
Ketika itu ia masih dalam keadaan sedar dan dapat melihat keadaan sekeliling. Selepas itu ia terdengar seperti suara angin berdesir. Rumahnya seperti digegar dengan kuat, yang dapat dirasai oleh mereka yang berada dalam rumah. Kadang-kadang terdengar seperti rumahnya dilontar dengan batu dan kayu.
Setelah tujuh tahun berlalu, tanda kilat memancar tadi mula berkurangan, hanya sesekali sahaja berlaku. Rumahnya juga jarang digegar, hanya kedengaran suara seperti dilontar pasir. Kadang-kadang terdengar bunyi seperti orang mengetuk dinding.

 
Pada permulaan tujuh tahun pertama ia berasa badannya panas, telinganya bergerak-gerak, badannya berpeluh-peluh dan bunyi seperti angin berdesir, kedengaran semakin kuat, lalu akhirnya ia tidak menyedari apa yang berlaku. Ia hanya dapat mendengar suara sahabat yang datang tadi. Ia merasakan seolah-olah dipaksa bercakap, manakala tangannya bergerak dengan sendiri tanpa dapat dikawal.
Selepas tujuh tahun berlalu, ia menyedari setiap kali sahabatnya datang biarpun tidak meresap dalam tubuh. Sahabatnya hanya duduk di sebelahnya dan menjawab apa yang disoal olehnya. Segala keperluan pesakit seperti alat yang perlu digunakan untuk pengubatan akan diberitahu oleh sahabatnya, ia bertindak sebagai orang pengantaraan iaitu antara pesakit dan sahabatnya iaitu jin.

 
Pada awal pembelajarannya, ia merasakan amat letih setelah tubuhnya diresapi oleh sahabatnya. Badannya berpeluh-peluh, telinganya terasa panas dan membesar. Rasa letih akan hilang setelah dua hingga tiga hari kerana badan sahabatnya yang besar dipaksa meresap dalam badannya yang kecil, tetapi selepas tujuh tahun ia tidak merasa letih kerana sahabatnya tidak lagi memasuki tubuhnya. Sahabatnya hanya datang dan duduk di sebelahnya. Nama-nama sahabatnya, seperti yang diberitahu oleh informan ialah Datuk Silang Janggut, Datuk Serban Putih, Datuk Laut Jambang Balai Besar Tiang Songsang dan Haji Raja Sulong.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri inilah tujuan menurun itu dilakukan. Andainya menurun itu dilakukan untuk rawatan, individu yang terlibat mungkin akan membakar kemenyan, memegang keris dengan tangan kanan dan memotong limau yang ada di tangan kiri atau menabur bertih ke hadapan, kanan dan kiri.
Segala pergerakan yang berlaku bukan atas kehendak sebenar atau ikhtiar diri orang yang berkenaan. Ia berlaku seolah-olah adanya satu badan atau kuasa lain dalam diri yang melakukan tindak-tanduk tersebut, termasuk kata-kata yang dituturkan. Suara yang keluar dari mulut juga bukan kehendak diri. Dalam keadaan tertentu, suara itu mungkin berubah sama sekali, lain daripada suara diri individu yang asal, malah boleh mengeluarkan suara dengan bahasa yang tidak diketahui oleh individu berkenaan ketika ia berada dalam keadaan normal.

 
Keadaan ``tidak sedarkan diri'' (unconsciousness), yang berlaku bergantung pada roh individu yang terlibat, juga jin atau jin-jin yang meresap pada diri. Kebanyakan mereka yang berada dalam keadaan menurun, yang memanggil jin-jin dan rela diresapi akan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sama sekali, ataupun masa dalam keadaan sedarkan diri, tetapi tahap kesedarannya begitu minimum, menyebabkan seseorang itu tidak berupaya menguasai diri, pada tingkah-laku, tutur kata dan sebagainya. Ketika itu segala gerak-geri yang terjadi adalah di luar ikhtiar atau kawalan.

 
Tubuh ketika itu hanya merupakan sarung bagi makhluk yang meresap tadi bertindak. Kerana itulah orang yang berada dalam keadaan seperti ini boleh bertutur menggunakan bahasa yang tidak boleh dituturkan ketika dalam keadaan normal, boleh bertutur dalam bahasa Arab, pada hal ia tidak tahu bahasa Arab, menggunakan dialek tanah seberang, padahal ia penduduk tempatan, boleh bersilat atau mengurut padahal dalam keadaan normal ia tidak tahu bersilat, malah tidak pernah mempelajarinya, juga tidak tahu mengurut. Tubuh menjadi kuat dan berupaya mencabut atau memanjat pokok atau melompat parit besar pada hal ia tidak mempunyai keupayaan berbuat demikian ketika dalam keadaan normal.

 
Sesetengah masyarakat Melayu lebih berkecenderungan merujuk bahawa menurun yang dilakukan untuk tujuan rawatan adalah hasil resapan roh-roh, wali-wali rijalul ghaib, embah (datuk) dan sebagainya, di mana nama-nama itu ketika hidup dikatakan terdiri daripada orang-orang alim, mempunyai sifat warak dan mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi, hampir kepada Allah dan mempunyai sifat keramat.

Mereka tetap berupaya menolong manusia biarpun telah meninggal dunia dengan cara meresap dalam diri orang-orang tertentu, yang dikatakan mempunyai ilmu kebatinan tinggi untuk membantu orang yang masih hidup.
Bagi mereka yang terlibat dalam ilmu kebatinan mempertahankan diri, makhluk yang meresap dalam diri, yang menyebabkan seseorang itu boleh bersilat, biarpun tidak pernah mempelajarinya dikatakan akibat resapan roh panglima-panglima, seperti Panglima Hitam, Hang Tuah, Hang Jebat juga nama-nama panglima ternama lain seperti Wali Songo, Mat Kilau dan sebagainya.

 
Hal demikian telah melahirkan kecelaruan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila jampi, mantera atau serapah yang dituturkan itu diselit-selitkan dengan unsur-unsur Islam, dimulakan dengan bacaan ``bi `s-mi `llah `r-rahmani `r-rahim, kalimah ``salam'' dan diakhiri dengan kalimah: ``berkat doa: La ilaha illa `llah.''
Keadaan seumpama ini menjadi lebih bercelaru apabila sesuatu upacara itu didahului dengan kenduri, bacaan doa selamat, doa arwah dan sebagainya, padahal kalimah-kalimah yang diselitkan di celah-celah jampi mantera, atau di awal dan di akhirnya dan amalan-amalan kenduri juga doa selamat yang diamalkan itu hanya merupakan di antara pengaruh Islam yang datang menguasai kepercayaan orang Melayu setelah kedatangan pengaruh animisme dan Hindu-Buddha sebelum itu.

 
Amalan menurun bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja, tetapi ia dilakukan oleh seluruh masyarakat di dunia, di kalangan mereka yang terpengaruh oleh kepercayaan animisme, yang melibatkan jin-jin secara disedari atau tidak. Di Malaysia, selain dilakukan oleh orang Melayu, juga termasuk peribumi Sabah dan Sarawak, menurun juga dilakukan oleh orang India dan Cina.
Kejahilan tentang hakikat menurun adalah punca utama menyebabkan seseorang itu terlibat dengannya. Sekiranya seseorang itu menyedari bahawa makhluk yang meresap dalam tubuh manusia, menyebabkan seseorang itu dikuasai oleh jin-jin, saya berkeyakinan tidak ada orang yang sanggup untuk melakukannya, apatah lagi sekiranya seseorang itu memahami bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan penyelewengan iktikad.

 
Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya syaitan itu adalah musuh, dalam keadaan apa sekalipun ia hendaklah dianggap sebagai musuh. Tidak kira sama ada makhluk tersebut dianggap boleh menolong untuk mengubati seseorang, untuk mendapat kekayaan, kekuatan tubuh badan atau kebolehan luar biasa, Allah menyuruh agar makhluk ini dijauhi kerana ia adalah musuh.

 
Pada hakikatnya orang yang berada dalam keadaan menurun itu ialah orang yang ditumpangi jasadnya oleh makhluk halus, terdiri daripada jin-jin, yang dipanggil dengan cara-cara tertentu, yang menganggap pada makhluk ini ada keupayaan (kuasa atau kudrah) membantu manusia melakukan sesuatu.
Padahal hakikatnya zat yang berkuasa itu ialah Allah. Apabila seseorang itu beranggapan seumpama ini, ia sebenarnya telah menyamakan kudrah yang wujud pada zat Allah itu dengan sesuatu yang baru, iaitu jin-jin tadi.

 
Perbuatan seumpama ini diistilahkan sebagai ``syirik''. Orang yang berbuat demikian sekiranya seorang, dinamakan ``musyrik'', sekiranya banyak dinamakan ``musyirikin'' atau ``musyrikun''. Syirik ialah dosa yang tidak diampuni oleh Allah.

 
Oleh Dr. Amran Kasimin

Wednesday, June 16, 2010

Syirik Jika Menyamakan Kuasa Makhluk dgn Allah

SOALAN:
Saya tinggal di sebuah pulau peranginan. Sebahagian daripada penduduk di sini bekerja di laut menangkap ikan, bekerja dengan tauke Cina. Lebih kurang lima tahun lepas, satu upacara tradisi diadakan. Tauke Cina telah mengeluarkan wang untuk membeli seekor lembu, dibuat kenduri beramai-ramai. Sebahagian daripadanya dihanyutkan ke laut.
Baru-baru ini diadakan satu upacara di mana satu replika bot kecil, yang diisi dengan kuih-muih Melayu, buah-buahan, dan seekor ayam panggang, ayam hitam dimuatkan dalam bot tadi dan dihanyutkan ke laut.
Saya ingin kepastian, setakat mana amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam, atau semata-mata adat atau upacara warisan datuk nenek kita, yang tidak ada kaitan dengan agama.

 
JAWAPAN:
Upacara seperti yang saudara tanyakan, biarpun semakin kurang dilakukan di Malaysia, termasuk di Malaysia Timur, ia masih dilakukan sehingga sekarang ini. Ia dilakukan biasanya kerana adanya pesakit di sesuatu tempat, yang dipercayai akibat daripada gangguan iblis dan syaitan. Kerana itu, makhluk ini perlu diberi makan, atau lebih dikenali sebagai `sajian', untuk memujuknya, jangan mengganggu pesakit itu lagi. Dengan berbuat demikian, pesakit akan sembuh.
Selain berpunca daripada penyakit, ia juga berpunca daripada kepercayaan tentang kemalangan, kecelakaan yang menimpa sesebuah masyarakat, seperti sakit berjangkit, kemalangan yang berlaku berturut-turut, dan sebagainya termasuk ketika mengadakan persembahan teater tradisional seperti persembahan wayang kulit, persembahan kuda kepang dan sebagainya.
Bahan yang disediakan untuk memberi makan jin-jin itu dimasukkan dalam satu bekas dinamakan `ancak', atau `sajian untuk jin-jin'. Ia ada kalanya dikenali sebagai `membuang ancak', `membela kampung', `semah kampung', atau `semah rumah' sekiranya apa yang dilakukan itu melibatkan rumah. Apabila ia melibatkan upacara yang dilakukan di laut, ia dikenali sebagai `semah pantai', `semah laut', atau `puja pantai'. Biar apa nama yang diberi, bergantung kepada ungkapan yang diberikan oleh penduduk tempatan, atau oleh mereka yang mengepalai sesuatu upacara, upacara tersebut bertujuan memberi makan hantu-hantu. Ungkapan `memberi makan hantu' lebih popular daripada `memberi makan jin'.
Upacara seperti ini dilakukan sejak zaman jahiliah, sebelum kelahiran Islam. Begitu juga di Malaysia, ia dilakukan sebelum kedatangan Islam ke kawasan ini. Mereka yang bergantung kepada laut mempercayai bahawa hasil tangkapan dan keselamatan mereka bergantung kepada semangat laut, yang biasanya dinamakan penunggu laut atau hantu laut.
Atas alasan ini, semangat laut atau semangat pantai perlu dihubungi, dihormati dengan cara memberi makan, disertai dengan tabu, terutamanya apabila mereka berada di laut, bagi mengelakkan kemarahan penunggu-penunggu untuk menyenangkannya, menjadikan penunggu itu sebagai kawan. Dari sinilah timbulnya golongan manusia yang membela, bersahabat atau bersaudara dengan hantu laut.
Pegawai kanan perikanan dari Jabatan Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Pertempatan Melayu Persekutuan yang menyaksikan pesta ini di Pulau Ketam pada 14 Januari 1936, menjelaskan bagaimana seekor kambing jantan menjadi bahan utama dalam persembahan. Persembahan untuk pesta puja pantai ini termasuklah upacara menepung tawar, bertih, beras kunyit, kemenyan dan sebotol arak.
Kambing dihias cantik, kemudian pawang merenjiskan kepala kambing dengan bertih, beras kunyit dan beras basuh. Selepas itu pawang menyapukan beberapa titik arak di kepala kambing. Sebelum menyapukannya, pawang membaca `Bismillah' dan ayat-ayat lain yang tidak begitu jelas kedengaran.
Kambing itu kemudian disembelih setelah direnjiskan dengan air tepung tawar. Darah kambing ditadah ke dalam cawan. Pelbagai jenis makanan diletakkan dalam dua buah bakul rotan berbentuk empat persegi, termasuk empat kaki kambing, kulit, perut dan secawan darah sebagai bahan persembahan kepada semangat laut.
Bakul serta isinya dipersembahkan kepada semangat dinamakan ancak. Kepala kambing digantung dalam ancak untuk persembahan kepada laut manakala keempat-empat kaki tadi adalah untuk penunggu pantai. Persembahan kepada laut diletakkan di atas sampan yang disebut `nadai'. Pawang dan pembantu-pembantunya menghantar nadai itu ke kuala sungai. Ancak juga digantung di atas sebatang tripod yang diperbuat daripada kayu bakau.
Di Bachok, Kelantan pesta puja pantai pernah berlangsung selama empat hari. Pesta yang diadakan di tepi pantai ini dilakukan sekali dalam setiap empat atau tujuh tahun. Seekor kerbau balar berusia lebih kurang tiga tahun dikorbankan. Pada hari pertama diadakan upacara mengasap kemenyan dan alat-alat magik yang akan digunakan. Pada masa itu pawang membaca jampi mantera dan perkataan `Allah' sering disebut.
Ini diikuti oleh upacara melumur kerbau itu dengan air laut. Upacara diadakan pada hari kedua. Kerbau disembelih pada waktu maghrib hari ketiga. Dagingnya digunakan untuk persembahan dan kulitnya disumbat dengan sabut kelapa untuk memberi daya apung semasa dalam perjalanan sebaik sahaja ia dijahit. Beberapa jenis teater, termasuk manora, makyung dan wayang kulit, masing-masing diiringi dengan kumpulan muzik dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pesta puja pantai ini.
Pawang dan pembantu-pembantunya mempersembahkan sampan yang diperbuat daripada tepung beras, daun nipah dan bangkai kerbau tadi kepada penunggu laut. Mereka meluncurkan sampan tadi ke laut lepas. Kemudian mereka kembali ke pantai dan ikut serta dalam majlis kenduri.
Pesta yang sama pernah diamalkan oleh nelayan Mukim Beserah, lima batu dari timur laut Kuantan. Di sini kerbau balar dianggap bahan persembahan yang terpenting. Pesta ini tidak diadakan selagi pawang atau orang kampung tidak bermimpi semangat laut yang mereka namakan jembalang laut meminta agar diadakan pesta ini.
Jembalang laut

Bahagian daging yang diberikan kepada jembalang laut diletakkan dalam model sampan menangkap ikan yang lengkap yang akan diluncurkan ke laut. Kepala kerbau itu digantungkan pada pokok ketapang di pantai.

 
Di Kijal, pesta seperti ini diadakan di pantai Kemaman, tetapi hanya berlangsung selama tiga hari apabila nelayan mengalami masalah memperoleh pendapatan. Pesta terakhir yang diadakan di Dungun dan Kuala Merchang ialah pada tahun 1976, berlangsung selama tiga hari. Dalam masa 15 tahun, pesta puja pantai hanya diadakan dua kali di Dungun untuk tujuan ini. Pesta pertama diadakan pada tahun 1975.
Umumnya pesta seperti ini, yang dilakukan secara besar-besaran sudah tidak diadakan lagi buat masa sekarang ini. Punca utamanya ialah kerana kematian orang yang arif, yang mengepalai atau mengendalikan pesta tersebut. Kematian orang yang arif mengenainya tidak diwarisi oleh generasi berikutnya, menyebabkan upacara itu berkubur sedikit demi sedikit. Buat masa sekarang, hanya upacara kecil-kecilan yang masih dilakukan, itu pun dilakukan dengan secara `rahsia' dan `sembunyi'.
Biar dalam keadaan apa sekalipun, tujuan dilakukan pesta seperti ini, seperti yang dilakukan di tempat saudara tinggal ialah untuk tujuan rawatan penyakit, yang dipercayai berpunca daripada iblis dan syaitan. Apabila ia melibatkan upacara di laut, ia dilakukan selalunya kerana berlakunya kemalangan yang berturut-turut di laut, atau di pantai, kematian, kemalangan, tangkapan yang kurang, penyakit berjangkit dan sebagainya.
Upacara atau pesta seperti ini bukan dilakukan setiap tahun, tetapi dilakukan apabila berlakunya sesuatu masalah seperti yang dijelaskan, ataupun apabila pawang atau bomoh mendapat mimpi yang penunggu, hantu laut dan sebagainya meminta supaya diadakan pesta memberi jamuan tadi, ataupun melalui mimpi.
Upacara ini dilakukan ialah kerana kepercayaan tentang adanya kuasa atau keupayaan penunggu atau jin-jin yang menghuni sesuatu tempat itu menguasai kehidupan manusia, boleh mendatangkan penyakit, mendatangkan kecelakaan, ribut taufan, menghalau ikan jauh daripada rezeki nelayan, boleh dipujuk dengan memberi makan dan sebagainya. Kerana itulah maka sajian itu perlu diberi. Apabila seseorang itu, tidak kira siapa menganggap adanya kuasa pada sesuatu yang baru, iaitu makhluk, orang yang berkenaan telah menyamakan kuasa (kudrah) yang ada pada Allah itu dengan kuasa yang ada pada makhluk, iaitu jin-jin, padahal yang mempunyai kudrah itu hanya Allah. Penyamaan ini diistilahkan sebagai `syirik', syirik menurut sebutan orang Melayu.
Syirik bererti menyekutukan Allah dengan sesuatu yang baru. Perbuatan itu adalah terkeluar daripada Islam. Salah satu daripada dosa besar, iaitu dosa besar yang terbesar, nombor satu. Allah tidak mengampunkan dosa mereka yang syirik.
Allah menyuruh setiap orang yang beriman itu agar menjauhkan diri daripada iblis dan syaitan, termasuk lain-lain makhluk jin. Tetapi dalam upacara ini, manusia telah memuja, memujuk agar makhluk ini datang untuk diberi makan, dibela, atau dibuat sahabat untuk membantu manusia. Allah menjelaskan bahawa syaitan itu akan hanya lebih menyesatkan manusia lebih jauh. Allah juga menjelaskan bahawa iblis dan syaitan itu tidak berupaya untuk menyesatkan manusia kecuali di kalangan mereka yang mengikut langkah-langkah iblis dan syaitan.
Menyembelih binatang mesti kerana Allah. Dalam kes yang berkaitan, kerbau balar, ayam hitam atau lembu yang disembelih ialah kerana memberi makan hantu-hantu. Allah melaknat mereka yang menyembelih binatang bukan kerana-Nya. Apabila ini terjadi, sembelihan itu tidak sah. Binatang yang disembelih dianggap sebagai bangkai. Biarpun dalam upacara yang dilakukan seseorang disertakan dengan upacara keagamaan.
Rencana oleh:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

Thursday, May 27, 2010

SIMPTOM-SIMPTOM PETANDA GANGGUAN JIN

[Dipertik dari blog AKRINEPUTERI BERA ]

SIMPTOM-SIMPTOM PETANDA GANGGUAN JIN
1. Sakit tulang belakang tanpa sebab.
2. Sakit kepala yang luar biasa dan berterusan tanpa sebab klinikal.
3. Sakit dibahagian tulang rusuk kiri @ kanan.
4. Sakit dibahagian tulang punggung tanpa sebab.
5. Sakit dibahagian perut tanpa sebab.
6. Istihadah ( darah yang keluar melebihi 15 hari ).
7. Terasa ada sesuatu yang mengekori anda.
8. Terasa ada sesuatu yang melintas di belakang anda.
9. Sering sesak nafas terutama menjelang waktu maghrib dan tengah malam.
10. Timbul rasa takut tanpa sebab.
11. Nampak bayangan yang menakutkan.
12. Nampak suatu makhluk yang aneh dan menyeramkan.
13. Terasa seperti ada sesuatu yang menolak ketika berada dalam tandas.
14. Sukar untuk lelapkan mata.
15. Seringkali mimpi yang menakutkan.
16. Seringkali mimpi binatang seperti ular, kala jengking dan lain-lain.
17. Dihimpit sesuatu ketika tidur.
18. Mimpi bayi@kanak-kanak.
19. Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.
20. Mimpi ketempat kotor,sunyi dan menakutkan.
21. Terdengar suara yang datang menyergah ketika tidur.
22. Terasa ada sesuatu yang menyentap kaki ketika tidur.
23. Seringkali pengsan tanpa sebab.
24. Takut untuk menziarahi jenazah.
25. Adanya bisikan yang meminta mangsa melakukan sesuatu yang dilarang Allah.
26. Ragu – ragu tentang keimanan.
27. Rasa seperti hampir menemui ajal.


Kesan-kesannya...

1. Boleh membawa maut jika sampai ajal.
2. Gila, bingung, kelakuan seperti orang bodoh.
3. Perpecahan hubungan kekeluargaan.
4. Sakit yang berpanjangan dan para pakar perubatan moden tidak dapat mengenalpasti penyakit berkenaan.
5. Andartu bagi gadis.
6. Hilang pangkat, harta benda dan kerjaya

Wednesday, May 26, 2010

Jin Sihir Merangkap Jin Asyik (Part 2)

Pada hari selasa minggu berikutnya saya dan sahabat diminta lagi untuk merawat pesakit tersebut. Masih terdapat banyak lagi jin di dalam tubuh pesakit tetapi tidak dapat dikeluarkan memandangkan kekangan masa pada kali pertama merawat.

Sebelum mula meruqyah, pesakit telah pun kerasukan. Saya terus berdialog dengan jin tersebut manakala sahabat menyediakan air ruqyah untuk diberi minum kepada pesakit. Jin ini agak sombong dengan memperlekehkan saya kerana sebelum ni telah banyak perawat cuba mengeluarkannya tapi gagal. Saya cakap kepada jin tu "belum try belum tau..". Akhirnya setelah menggunakan kaedah rotan jin tersebut bersetuju untuk keluar. Saya memintanya untuk bersumpah dengan nama Allah supaya tidak masuk dan mengganggu mana2 manusia lagi. Pada mulanya jin tersebut tidak mahu bersumpah tetapi setelah di dakwah jin tersebut bersetuju untuk keluar dan saya menghantarnya ke Serambi Madinah.

Setelah menarik keluar, pesakit masih kerasukan tetapi dengan perwatakan lain pula. Ada jin lain pula yang merasuk. Seperti biasa saya dan sahabat akan mendakwah jin tersebut dan dengan izin Allah pada hari itu 5 ekor jin yang telah lama menetap ditubuh pesakit setuju untuk keluar. Rawatan diakhiri dengan menyediakan air ruqyah untuk minum dan mandian.

Thursday, May 6, 2010

Rawat Diri (DIY)

Setelah melakukan scanning dan mengesyaki terdapatnya jin di dalam tubuh, pesakit bolehlah melakukan sendiri bacaan ruqyah atau mendengar bacaan ruqyah dari CD dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sebelum membaca atau mendengar bacaan ruqyah tersebut, pesakit boleh melafazkan ikrar pemutus dengan jelas dan terang. Ianya ialah doa pesakit yang memohon kesembuhan kepada Allah. Di bawah ini saya sertakan ikrar pemutus seperti yang saya perolehi dari nota kursus. Cuma saya ada tambah sedikit berdasarkan apa yang dilakukan oleh guru saya Ustaz Abdul Majid Hassan seperti yang tertulis di dalam blog beliau. Ikrar pemutusnya begini:-

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah, sesungguhnya saya dan mewakili ahli keluarga saya dengan penuh sedar dan insaf mengisytiharkan:
1. memutuskan segala perjanjian atau ikatan yang kami atau orang sebelum kami pernah lakukan secara sedar ataupun tidak dengan golongan jin sekiranya ada;

2. mengharamkan tubuh kami dari dimasuki atau dijadikan sebagai tempat tinggal bagi apa jua jenis jin,

3. mengharamkan semua makanan kami dari dimakan oleh mana-mana jin di dalam tubuh kami. Sekiranya makanan kami tetap juga dimakan oleh mereka, maka Engkau jadikanlah makanan itu sebagai racun bagi mereka, dan

4. kami menegaskan bahawa kami hanya bergantung sepenuhnya hanya kepada Engkau ya Allah, tuhan sekalian alam. AMIN YA RABBAL ALAMIN...
 
Ketika mambaca ayat ruqyah, bolehlah letakkan air mineral @ air bertapis untuk minum dan mandi.

Saturday, May 1, 2010

Jin Sihir Merangkap Jin Asyik

Pada hari selasa yang lalu saya mendapat permintaan daripada pesakit yang juga merupakan seorang rakan sekerja untuk merawatnya. Sebelum ini rakan saya tersebut telah menemui ramai perawat tetapi masalahnya masih belum berakhir. Jadi pada hari selasa tersebut saya dan seorang sahabat dari Darrusyifa bertolak ke rumah pesakit tersebut selepas Isyak. Setibanya dirumah, terdapat 4 wanita menunggu termasuk pesakit sementara 3 yang lain adalah ibu, adik dan kawan pesakit.

Rawatan dimulakan dengan semburan air ruqyah & bacaan ikrar pemutus. Ketika bacaan ayat-ayat ruqyah dibuat, pesakit telah kerasukan sambil kepalanya terangguk-angguk. Kemudian saya memulakan dialog dengan jin tersebut. Berikut adalah antara dialog dengan jin tersebut:-

Saya: Jadi ini la jin yang selalu ganggu pesakit ini? Engkau agama apa?
Jin: Agama aku sama la macam kau.
Saya: Jadi engkau Islam lah ye. Engkau ni bertuan ke?
Jin: Ehh..mesti la aku bertuan.
Saya: Siapa tuan kau?
Jin: Aku tak boleh cakap la sebab engkau berdua (sambil tunjuk pada saya & sahabat) kenal dia.
Saya: Habis siapa pulak pengupahnya?
Jin: Tak ada siapa upah, tuan aku yang hantar sendiri. Ko bukan tak tau, ramai orang tak suka kat dia ni bla bla bla...
Saya: Sudah aku tak nak dengar apa-apa lagi. Sekarang aku nak engkau keluar dari tubuh pesakit ini.
Jin: Aku tak nak keluar. Aku suka duduk dalam badan dia ni sebab dia suka baca Al-Quran. Anak-anak aku semua tak tau baca Al-Quran. Lagipun dia ni suka kat aku.
Saya: Oh maknanya engkau ni kuat agama jugak la ye. Yang kau duduk kat dalam tubuh dia ni apa pasal? Kau tahu tak kau dah menyakitkan dia. Tak takut kat Allah ke?
Jin: Aku takut...aku takut... tapi dia ni suka kat aku.
Saya: Kalau takut Allah kau keluar la dari tubuh pesakit ni. Mana ada dia suka kat kau. Pesakit ni panggil aku datang sini untuk buang kau. Maknanya dia tak suka kau la. Kau tu perasan je betul tak?
Jin: (tersenyum-senyum malu...)
Saya: Kalau kau tak nak keluar, aku akan azab kau dengan izin Allah.

Saya pun mula menekan beberapa tempat dan membaca ayat-ayat ruqyah. Namun tiada respon dari jin tersebut. Setelah beberapa ketika, sahabat saya mencadangkan suupaya jin tersebut dihantar ke Serambi Madinah. Nasib baik sahabat saya tu teringat tentang Serambi Madinah.

Sahabat: Kalau kau suka sangat dengar bacaan Al-Quran, apa kata kau pergi Serambi Madinah. Kat sana    ada guru agama yang boleh ajar kau mengaji. Tempat tinggal dan makan minum pun ada disediakan. Nak pergi sana tak?
Jin: Bagus jugak tu. Boleh la aku bertaubat ye. Aku nak pergi la.
Saya: Em bagus la kalau kau nak pergi sana. Kau boleh la bawa anak cucu kau sekali.
Jin: Anak cucu aku ikut sekali ye? betul jugak takkan aku nak berjauhan dengan anak cucu aku.
Saya: Ok kalau macam tu kau masuk dulu dalam botol ni nanti aku hantar kau pergi sana. Masukkan tangan kau dalam botol ni.
Jin: (memasukkan jari tangan kanan pesakit ke dalam botol)
Saya: (Melakukan kaedah tarik bagi membantu jin-jin tersebut masuk ke dalam botol)

Setelah menarik jin-jin masuk ke dalam botol, pesakit tersebut terus rebah dan sedar. Adik pesakit yang saya syak mempunyai saka kerana dia ada ilmu mengubat walaupun tidak pernah belajar mengatakan dia nampak ada seakan-akan asap masuk ke dalam botol,Wallahuaa'lam...

Rawatan diakhiri dengan sahabat saya tadi membuatkan air ruqyah untuk minum dan mandi.