Thursday, May 17, 2012

Orang sihir pasangan supaya tida peroleh zuriat perlu bertaubat

ANAK adalah pengikat kasih sayang suami isteri. Namun, tidak semua pasangan yang berkahwin dikurniakan zuriat kerana anak termasuk dalam kumpulan rezeki dan Allah SWT yang Maha Berkuasa memberikan rezeki kepada hamba-Nya.

Pelbagai sebab kenapa pasangan suami isteri susah mendapat rezeki, antaranya faktor kesihatan disebabkan penyakit dihidapi baik oleh isteri mahupun suami. Justeru, mereka perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan selain mencuba pelbagai kaedah sains yang memungkinkan pasangan menimang cahaya mata.

Ada juga kesukaran pasangan mendapat anak berpunca daripada gangguan makhluk halus atau perbuatan sihir oleh pihak tertentu atas alasan hanya mereka yang tahu. Berdasarkan pengalaman, jumlah pasangan yang berdepan masalah ini semakin meningkat.

Sebab lain, belum ada rezeki lagi dan ini ujian Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh itu, bagaimana kita melihat dugaan ini perlu dinilai juga kerana setiap ujian Allah SWT ada hikmahnya, dan ia juga menguji sejauh mana keyakinan kita kepada qada dan qadar Allah SWT.

Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-`Aas, katanya: “Aku ada mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar takdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)

Bagi kes suami isteri berdepan gangguan makhluk halus atau perbuatan sihir, mereka boleh mendapatkan bantuan pengamal perubatan untuk mengatasi masalah itu dan insya-Allah dengan izin Allah SWT, keadaan akan berubah. Selepas dirawat, ada pasangan menerima khabar gembira apabila isteri disahkan hamil.

Bagaimanapun, tidak dinafikan sepanjang tempoh berdepan keadaan tidak menyenangkan itu, pasangan boleh jadi menghadapi masalah lain membabitkan kerukunan rumah tangga. Ada juga yang sampai berpisah walaupun bukan atas kehendak mereka.

Malah, ada pasangan tidak dapat melayari kehidupan rumah tangga yang bahagia apabila suami atau isteri yang mengalami gangguan tidak memenuhi tanggungjawab termasuk menjadi dingin untuk melakukan hubungan kelamin.

Jika pasangan tabah berdepan konflik ini, timbul pula masalah lain iaitu tekanan daripada orang di sekeliling, ibu bapa dan saudara yang terlalu mendesak hingga mengganggu kerukunan serta keamanan rumah tangga.

Sebab itu walau apa juga sebab musababnya, Islam melarang kita melakukan perkara menyalahi syariat. Apatah lagi menghukum pasangan suami isteri yang tidak bersalah dengan masalah gangguan hingga menyebabkan kekacauan dalam rumah tangga mereka.

Bukankah sepatutnya kita mendoakan kebahagiaan pasangan yang berkahwin supaya berjaya melayari bahtera rumah tangga dengan rukun damai dan dikurniakan zuriat yang ramai sebagai penyeri.

Oleh itu, mereka yang menyebabkan pasangan tidak dikurniakan zuriat dengan menggunakan sihir atau gangguan, fikirkanlah kerosakan diakibatkan mereka. Bersegeralah bertaubatlah kepada Allah SWT.

Sebenarnya, sekuat mana juga keinginan pasangan suami isteri untuk memiliki zuriat, mereka harus akur wujudnya faktor penyebab kepada kegagalan menimang cahaya mata. Dalam mencari penyelesaian, sabar dan tawakal menjadi kata kunci yang perlu dipegang kuat.

Memang mudah berkata, tetapi hanya mereka yang berdepan dugaan ini merasakan bebanan dipikul. Ketabahan, kecekalan dan kekuatan semangat dapat membantu mereka berdepan situasi ini, semoga mereka terus berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT.

Mari bersama kita renungi hadis diriwayatkan Abu Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Akan masuk ke syurga orang yang hati mereka seperti hati burung (yakni benar-benar berserah dan percaya kepada jaminan Allah pada dirinya).” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang hatinya seperti burung yakni benar-benar berserah dan percaya jaminan Allah kepada dirinya akan dimasukkan ke syurga. Sifat yakin dan tawakal amat dituntut dalam Islam.

p/s: Ayat untuk mendapatkan zuriat, surah Maryam (ayat 31-48) dan surah an-Nahl (ayat 81-89)

Sumber: Berita Harian.

No comments:

Post a Comment