Friday, May 11, 2012

Sihir dalam perkahwinan


SOALAN:
Suami saya beristeri tiga. Saya adalah isterinya yang pertama. Pada musim haji yang lalu, beliau pergi menunaikan haji bersama isteri ketiganya. Malangnya sejak tarikh tersebut dia tidak menjenguk saya dan anak-anak hingga sekarang. Dia tidak mempunyai anak daripada isteri ketiga. Semua barang yang dibeli di Mekah diberikan pada isteri yang lain dan anak tirinya.

Isteri ketiga berumur 45 tahun, lebih tua dari pada saya dan isteri kedua. Perkahwinannya dengan suami saya adalah perkahwinan yang ketiga. Saya rasa saya tidak ada masalah dengannya kerana saya masih muda dan lebih cantik daripadanya. Adakah suami saya kena ilmu sihir? - TIPAH, Negeri Sembilan.

JAWAPAN:
Lumrahnya orang lelaki yang berkahwin lagi akan berkahwin dengan perempuan yang lebih muda daripada isteri-isteri yang ada, dan lebih cantik lagi bergaya. Kelaziman manusia ialah mereka lebih berminat kepada yang cantik dan muda. Kahwin dengan orang yang lebih tua daripada isteri-isteri yang ada bukan tidak boleh dan tidak semestinya tidak bahagia, tetapi kena lebih banyak berkorban, kerana orang tua selalunya lebih banyak penyakit, bererti lebih banyak beban yang perlu ditanggung dan pengorbanan yang perlu digalas.


Dalam kes yang diajukan, suami puan mengahwini isterinya yang ketiga yang lebih tua daripada puan, juga lebih tua daripada isteri keduanya. Ini adalah sesuatu yang agak berbeza biarpun umur 45 tahun itu tidak terlalu tua. Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang sebaik-baik amalan. Baginda menyatakan bahawa sebaik-baik amalan itu ialah beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Kemudian baginda ditanya lagi, apa amalan yang terbaik selepas itu. Baginda menjawab: jihad di jalan Allah. Ketika ditanya buat kali ketiga, baginda menyatakan: Haji yang mabrur. Yang dimaksudkan dengan haji mabrur di sini ialah haji yang tidak dinodai dosa. Di antara ciri-ciri haji mabrur bahawa seseorang itu apabila balik daripada menunaikan haji menjadi manusia yang lebih baik, lebih bertakwa dan mencintai akhirat berbanding dunia.

Dalam sebuah hadis yang diterima daripada Aisyah radiallahuanhu dinyatakan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa jihad yang lebih utama ialah haji mabrur. Rasulullah s.a.w. juga ada menjelaskan bahawa barang siapa mengerjakan haji tanpa mencampur-adukkannya dengan amalan yang terlarang, tidak melakukan maksiat, dia akan kembali seumpama baru dilahirkan dari perut ibunya. Dalam sebuah hadis lain, riwayat oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Ibadah umrah kepada umrah yang lain menghapuskan dosa-dosa yang terdapat di antara kedua-duanya, sedangkan haji mabrur tidak ada ganjarannya selain syurga. Orang yang bakal menerima ganjaran syurga ialah orang yang baik. Walaupun demikian, apa yang berlaku kepada suami puan adalah sebaliknya. Sebelum dia pergi menunaikan haji dengan isterinya yang ketiga dia ada memberi nafkah dan mengunjungi puan biarpun tidak menurut giliran yang sewajarnya. Tetapi sejak dia balik daripada menunaikan haji dia langsung tidak menjenguk puan dan anak-anak hingga sekarang. Tidak mungkin haji yang dilakukan itu menyebabkan dia lupa langsung kepada anak-anak dan puan.

Selain itu, sikapnya yang membeli hadiah ketika di Mekah yang kesemua diberi kepada anak-anak tirinya juga menimbulkan persoalan. Anak-anak puan, yang merupakan darah dagingnya sepatutnya lebih diutamakan berbanding dengan anak-anak tiri isteri ketiga, atau setidak-tidaknya hadiah yang diberi itu dibahagi sama rata. Satu amalan yang agak ganjil biarpun bukan mustahil boleh berlaku. Namun, adalah tidak mudah untuk menuduhnya, atau mempunyai prasangka buruk apa yang dilakukan olehnya adalah akibat angkara isteri ketiga yang mengenakan sihir ke atasnya. Sihir adalah rahsia tersembunyi dan tidak mudah dimaklumi awam, termasuk oleh mereka yang mengamalkan atau melibatkan diri. Menuduh atau menaruh prasangka seseorang itu mengenakan sihir terhadap orang lain bererti bahawa puan telah menuduh atau menaruh prasangka bahawa seseorang itu telah melakukan satu perbuatan jahat dengan perantaraan jin, yang biasanya terdiri daripada iblis dan syaitan. Sesungguhnya tuduhan atau prasangka seperti ini adalah berat implikasinya. Dalam konteks ini, kalau puan mempunyai prasangka atau tuduhan tersebut, bererti puan mempunyai prasangka buruk, bahawa tingkah laku suami puan yang langsung tidak menjenguk puan dan anak-anak sejak menunaikan haji hingga sekarang ini adalah akibat sihir yang dilakukan oleh madu puan yang ketiga.

Amalan sihir, sama ada dilakukan sendiri ataupun dengan perantaraan orang-orang tertentu, adalah dosa besar. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa rasulullah s.a.w. telah bersabda: Hendaklah kamu jauhi tujuh perkara yang boleh membinasakan iman. Para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara yang dimaksudkan itu. Jawab Rasulullah s.a.w.: Menyekutukan Allah, melakukan sihir, membunuh diri dan manusia lain kecuali dengan cara hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri ketika menghadapi peperangan di jalan Allah, menuduh wanita-wanita muslimah solehah melakukan zina (tanpa bukti yang jelas). Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Memang sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa amalan sihir memang wujud dalam masyarakat Melayu, juga lain-lain masyarakat. Baginda Rasulullah pernah terkena sihir iaitu oleh Labid bin Al-A'sam. Begitu juga dengan nabi di zaman sebelumnya iaitu di zaman Nabi Musa, seperti yang dijelaskan dalam al-Quran. Amalan yang melibatkan iblis dan syaitan adalah berat kerana dosa sihir itu adalah dosa besar seperti yang dijelaskan dalam hadis tadi.

Walaupun demikian, prasangka puan terhadapnya juga mempunyai asas. Bagaimana seorang suami boleh berubah tabiat sama sekali terhadap anak dan isteri. Sepatutnya dia semakin menyayangi isteri-isteri dan juga anak-anak, lebih-lebih lagi sekembalinya dari Mekah. Puan pula cantik, lebih cantik daripada isterinya yang ketiga yang baru dikahwini. Naluri manusia lumrahnya lebih meminati dan menyayangi yang cantik. Walaupun begitu tidak mustahil pula suami puan tidak berupaya menilai sesuatu yang sedia dimiliki, biarpun ia baik dan cantik, sebaliknya dia lebih menghayati sesuatu yang baru, termasuk isteri baru, tidak ubah seumpama tabiat manusia yang tidak berupaya menghargai nikmat mata anugerah Allah, ataupun anggota lain yang membolehkan seseorang itu hidup normal. Anugerah Allah ini hanya disedari dan dinilai oleh mereka yang rabun ataupun buta, lebih-lebih lagi mereka yang asalnya cantik.

Dalam menghadapi masalah ini, puan pada hakikatnya tidak mempunyai banyak ruang untuk memaksanya agar berlaku adil. Tidak ada undang-undang yang boleh memaksanya keluar dari rumah isteri ketiga, kerana dia sudah cukup dewasa dan atas kerelaannya sendiri. Enakmen pentadbiran Islam juga tidak memperuntukkan fasal-fasal khusus agar seorang itu mesti memberi giliran yang adil kepada isteri-isteri yang dikahwini secara terperinci dan dikenakan hukuman andainya ingkar. Masalah keadilan suami yang mesti memberi giliran dengan saksama lebih banyak ditulis dalam kitab-kitab fikah yang sewajarnya dipelajari dan dihayati oleh semua orang Islam, lebih-lebih lagi oleh mereka yang mempunyai banyak isteri, termasuk suami puan. Namun, untuk melaksanakannya ia bukan sesuatu yang mudah, kecuali oleh mereka yang bertakwa, yang takut kepada balasan Allah subhanahu wa taala natijah daripada ilmu agama yang dimiliki dan dipraktikkan, bergantung kepada iman yang diyakini. Tanpa pemahaman seperti ini, sifat takut kepada Allah, pemahaman balasan perbuatan baik dan jahat di akhirat kelak hanya menjadi satu asas agama yang dianuti semata-mata tetapi tidak diamalkan, menyebabkan ajaran agama termasuk keharusan berpoligami itu dijadikan alasan untuk menyusun bilangan isteri semata-mata.

Biarpun masalah yang puan hadapi agak lama, dan puan masih tetap mengharapkan dia kembali ke pangkuan keluarga, puan boleh merujuk buku yang saya tulis berjudul Tanda Sihir & Kekuatan Roh Untuk Mengatasinya, 2002, Kuala Lumpur percetakan Watan, ms. 136-158. Dalam buku itu dijelaskan bagaimana perlunya puan bermunajat kepada Allah dengan cara-cara tertentu agar orang yang dikasihi itu kembali ke pangkuan puan. Untuk bermunajat, puan perlu memilih waktu mustajab, iaitu waktu di mana Allah akan memperkenankan doa seorang hamba andainya dia memohon. Ketika itu Allah akan mengampunkannya apabila dia memohon keampunan.Dalam amalan ini seseorang itu perlu bertaubat terlebih dahulu, kemudian melakukan sembahyang tasbih, sembahyang tahajud, sembahyang witir, berzikir, berdoa dengan al-Asmaul-Husna, berselawat ke atas Nabi s.a.w. dan akhir sekali baru memohon hajat kepada Allah seperti yang diperlukan.

Dalam sebuah hadis daripada Umru bin Abasah, dia ada mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Allah lebih hampir kepada hamba-Nya pada malam yang terakhir, iaitu satu pertiga akhir. Andainya engkau berupaya bersama mereka yang mengingati Allah pada ketika itu, maka lakukan. - Hadis riwayat at-Tarmizi.

Sumber: Mingguan Malaysia 22/9/02 (Dr Amran Kasimin)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment