Wednesday, January 20, 2010

Pukau - Amalan Sihir

AMINAH (bukan nama sebenar) ketika pulang ke pejabat selepas membeli makanan di gerai berdekatan telah ditegur oleh seorang wanita, bertanyakan waktu sambil tangannya menyentuh bahu Aminah. Selang beberapa minit, Aminah dalam keadaan terpinga-pinga menyedari barang kemas, wang tunai serta makanan yang baru dibeli tadi hilang bersama-sama wanita itu. Akui Aminah, dia tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu menyerahkan semua barangan berharga itu atas permintaan wanita tersebut.
Lina (bukan nama sebenar) sudah lebih tiga tahun bekerja sebagai juruwang di sebuah pusat membeli-belah. Petang itu, dia didatangi seorang lelaki yang mahu menukar wang kertas berjumlah RM50. Tanpa ragu-ragu, Lina mengambil wang tersebut dan terus membuka mesin wang. Apabila beliau sedar, kesemua wang yang terdapat di dalam mesin tersebut sudah kosong dan dia sendiri tidak perasan mengeluarkannya.

Mak Timah (bukan nama sebenar) terjaga daripada tidur lalu mendapati pintu belakang rumahnya terbuka besar tanpa berfikir panjang, beliau menutupnya dengan anggapan suami atau anak-anaknya terlupa menutupnya malam tadi. Tiba-tiba Mak Timah perasan banyak kelengkapan rumah seperti, radio, kamera, tas tangan dan komputer riba milik anaknya hilang. Apabila diselidik, sah rumahnya dimasuki pencuri malah yang lebih menggemparkan pencuri tersebut menggunakan ilmu pukau.

Kisah-kisah di atas adalah antara kejadian yang berkait rapat dengan amalan pukau yang semakin menjadi-jadi di dalam masyarakat Melayu hari ini.Hakikatnya, kecanggihan sains dan teknologi masa kini sedikitpun tidak melunturkan minat segelintir pihak yang mahu senang dalam masa singkat, iaitu menggunakan ilmu pukau. Pekerjaan yang tidak bermaruah ini jelas diharamkan oleh agama Islam, pun begitu ia langsung tidak dipedulikan.
Ruangan Agama berpeluang mewawancara, Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Maahad Tahfiz Anak yatim Darul Fuqaha, yang juga tutor di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.Beliau yang berpengalaman luas sebagai pengamal perubatan Islam serta pernah berguru dengan tokoh-tokoh agama, sama ada dari luar dan dalam negara akan mengupas tajuk berkaitan pukau agar masyarakat dapat melihatnya dari sudut pandangan Islam, sekali gus menyedarkan sejauhmana kesesatan amalan tersebut.
Soalan: Boleh Ustaz jelaskan lebih terperinci tentang amalan pukau?
Jawapan: Pukau atau dalam bahasa Arabnya, as-sihru atau sihir, bermaksud sesuatu benda yang mampu memukau orang. Dalam al-Quran disebut `saharu a' yunan nas', bermaksud mereka mensihir pandangan mata manusia. Sebab itulah, pukau yang menjadi amalan masyarakat Melayu, adalah salah satu bentuk sihir.
Ia berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk, bergantung pada amalan seseorang pelaku itu, seperti sentuhan, asap rokok dan banyak lagi. Contohnya, seseorang membaca mentera-mentera tertentu kemudian ditiupkan ke muka orang di hadapannya. Orang yang terkena tiupan itu akan terpukau hingga berada di bawah sedar atau seolah-olah berada di dalam bentuk khayalan ataupun separuh sedar, iaitu antara sedar dengan tidak sedar.Ia menggunakan perantara, iaitu jin. Sama ada orang yang mengamalkan itu sedar ataupun tidak, hakikatnya ia sudah terikat dengan jin menerusi mentera-mentera yang dibaca.Maka mentera-mentera ini akan `menjadi' selepas ditiup ayat tertentu atau disentuh kepada seseorang. Ia akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan separuh sedar dan mengikut segala kehendaknya. Malah kerosakan yang dibawa oleh si tukang pukau ini ada ketikanya sehingga di luar batas kemanusiaan.
Seorang teman saya bercerita pengalamannya berada di sebuah negeri yang terletak di bahagian Malaysia Timur, beliau sanggup memberikan sejumlah wang hanya kerana rasa kasihan, pada hal yang sebenarnya inilah pukau. Begitu juga seorang pemandu teksi yang telah dipukau sehingga menyerahkan keseluruhan hasil pendapatannya pada hari itu kepada si pemukau tersebut. Ia sama juga dengan sekeluarga di dalam rumah dipukau semasa tidur sehingga licin barangan rumahnya dibawa lari.
Soalan: Atas alasan apakah pukau boleh dikategorikan sebagai sihir dan dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran atau hadis, sekiranya ada?
Jawapan: Ayat paling jelas berkaitan sihir ialah di dalam surah al-Baqarah ayat 102 bermaksud: Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Suaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di Negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang kedua-duanya tidak mengajar (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir.
Maka mereka mempelajari daripada kedua-dua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorangpun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa sesiapa yang menukarnya (kitab Allah) de-ngan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.''
Ayat di atas terang-terangan menjelaskan kepada kita bahawa sihir sebagai satu perbuatan kufur yang diharamkan oleh Allah s.w.t. menerusi dua kisah malaikat di atas.Ayat yang mulia ini juga menunjukkan bahawa mereka yang mempelajari ilmu sihir, sesungguhnya mereka mempelajari hal-hal yang hanya mendatangkan mudarat bagi diri mereka sendiri, dan tidak pula mendatangkan sesuatu kebaikan di sisi Allah s.w.t.. Malah ini merupakan ancaman berat yang menunjukkan betapa besar kerugian yang diderita oleh mereka di dunia ini dan di akhirat kelak.
Mereka sesungguhnya telah memperjualbelikan diri mereka de-ngan harga yang sangat murah, itulah sebabnya Allah berfirman : Dan alangkah buruknya per-buatan mereka menjual dirinya dengan sihir itu, seandainya mereka mengetahui. Sihir ialah perkara luar biasa yang Allah berikan kepada orang-rang Islam yang derhaka (‘asi ) yang tidak memahami akidah, syariat dan ubudiah serta tidak beramal dengannya dan orang-orang yang fasiq. Umumnya, golongan orang Islam yang mendapat perkara luar biasa melalui kaedah ini, selalunya sentiasa bergelumang dengan kejahatan dalam semua hal.
Kebiasaannya sihir ini menggunakan tiupan, malah hal ini disebutkan dalam surah al-Falaq ayat 4 bermaksud: Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada simpulan-simpulan.Jadi, sihir ini bergantung kepada ilmu si pelaku itu. Ada sihir menggunakan tiupan, hembusan dari jauh, sentuhan dan dengan asap rokok. Sebab asas pada sihir atau pukau ini ialah menggunakan perantaraan jin.Sihir apapun, ia mesti menggunakan perantaraan jin. Ini kerana manusia biasa tidak mampu membuat perkara yang pelik-pelik seperti ahli silap mata terkemuka Barat. Perkara atau benda yang pelik ini disebut benda yang luar biasa. Kalau berlaku di kalangan nabi disebut mukjizat, kalau berlaku kepada manusia atau orang yang soleh dan warak, ia dipanggil karamah dan kalau berlaku kepada orang biasa, ia dipanggil maunah. Manakala kalau berlaku kepada seseorang dengan sebab dia belajar atau menuntut dengan perantaraan jin, maka ia disebut sihir.
Jadi, konsep utama sihir ialah menggunakan jin dan orang yang hendak mengadakan ikatan dengan jin ini, mestilah menyebut perkataan-perkataan tertentu yang kebiasaannya menjadikan atau membawa dirinya kepada kekufuran dan syirik kepada Allah s.w.t. Contoh kalimat sihir: Hei tikar kajang, kajang bersirat, sirat batang sanuri ruh kirat-kirat bersama-sama roh dan semangat....(sehingga habis) dan kemudian ditiupkan. Ayat-ayat ini pelik, sukar difahami dan mengelirukan.
Kebiasaannya ada jin di sebaliknya atau mereka mendapatkan pertolongan jin. Kebanyakan orang Melayu, tidak tahu dan tidak sedar bahawa ada di antara amalan yang diambil atau diturunkan oleh seseorang itu, sebenarnya menyeru atau meminta bantuan jin. Jadi secara tidak langsung, ia telah diturunkan dari satu generasi ke satu generasi lain. Sedangkan sebenarnya, melalui bacaannya itu tadi, menyebabkan jin terikat dengan dirinya. Keterikatan inilah yang membawa kepada syirik.
Di antara kemudaratan yang berpunca daripada sihir: Pertama, Sihir menggunakan jin dan secara langsung ia merosakkan akidah seseorang itu dan jelas tidak membawa manfaat kepada diri pengamal itu sendiri. Kedua, apabila seseorang menggunakan sihir, selalu tujuannya mendapatkan manfaat untuk diri sendiri dan bukannya untuk orang lain. Ketiga, sihir ini berlaku kerana sifat hasad dengki terhadap kelebihan dan kesenangan orang lain.Oleh kerana itulah dalam surah al-Falaq, Allah s.w.t. memerintahkan manusia memohon pelindungan Allah daripada segala bentuk kejahatan. Firman Allah bermaksud: Katakanlah : Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh, daripada kejahatan makhluk-Nya. Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita. Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembuskan pada simpulan-simpulan dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki. (al-Falaq: 1-5)
Manakala dalam surah an-Nas ayat 1-6 bermaksud: Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan manusia, Raja manusia, Sembahan manusia, daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia daripada jin dan manusia. Ayat ini membuktikan bahawa Allah s.w.t. memerintahkan kita meminta perlindungan Allah s.w.t. daripada jin dan manusia.Melalui surah al-Falaq, Allah s.w.t. menggabungkan dua kejahatan, iaitu orang yang mensihir dan orang yang berhasad dengki. Ia seolah-olah satu isyarat bahawa ada kaitan antara sihir dengan dengki. Contohnya dalam masyarakat Melayu, melihat perniagaan orang lain agak maju sedikit, wujud perasaan dengki dan secara tidak disedari ataupun disedari, orang yang dengki ini sanggup melakukan sihir kepada teman seperniagaan tersebut.
Manakala menurut Sheikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani dalam kitabnya, Yawaqitu Wal Jawahir, bahawa bersahabat dengan jin itu sangat keji. Katanya lagi, ``Barang siapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin daripada bergaul dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil. Ini kerana kebiasaannya, perbuatan dan perkataan jin berlebih-lebihan dan banyak bohongnya seperti kelakuan manusia yang fasik. Maka orang yang berakal akan menghindarkan pergaulan dengan jin, sebagaimana ia mengelakkan diri daripada bergaul dengan manusia yang fasik.''Tambahnya lagi : `` Tidak sekali-kali aku melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu beroleh kebajikan kerana asal kejadian jin itu adalah daripada api, dan api itu sangat banyak geraknya. Dengan gerak yang banyak akan lahirlah perbuatan dan perkataannya yang berlebih-lebihan.
Ringkasnya kita sebagai seorang Islam ditegah daripada bersahabat dengan jin kerana keburukannya lebih banyak jika dibandingkan dengan kebaikan yang akan kita peroleh. Jin akan sentiasa merasuk dan mendorong manusia supaya melakukan kejahatan dan maksiat tanpa kita sedari.
Bagaimana pula caranya kita dapat melindungi diri daripada gangguan jin, terutamanya dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran yang tertentu?Allah telah mensyariatkan kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka menjauhkan diri daripada kejahatan sihir sebelum terjadi pada diri mereka. Allah juga menjelaskan tentang bagaimana cara pengubatan sihir apabila telah terjadi. Ini merupakan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t..
Sebab itulah, kita perlu mengajar masyarakat amalan yang boleh menjadi benteng atau pendinding kepada diri agar ia dijadikan kebiasaan, sama ada untuk apa tujuan sekalipun, iaitu membaca ayat Kursi sebanyak tujuh kali, surah al-Falaq dan an-Nas (sekurang-kurangnya tujuh kali atau seberapa banyak yang kita mampu).Lebih baik sekiranya selepas kita membaca surah-surah di atas, tiupkan di tangan dan kemudiannya diratakan ke seluruh badan bermula dari kepala, muka hingga kaki. Ini kerana hembusan atau tiupan pada tangan itu tadi, ada aura-auranya dan mudah-mudahan di situlah ada keberkatannya atau `cahaya'nya.Mudah-mudahan dengan pengamalan sebegini, terhindarlah kita daripada niat orang yang hendak melakukan sihir atau pukau kepada kita.
Kelebihan ayat Kursi ini ialah kerana ia termasuk ayat yang paling besar nilainya di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:Barang siapa membaca ayat Kursi pada malam hari, Allah sentiasa menjaganya dan syaitan tidak mendekatinya sampai Subuh.Ayat Kursi terdapat dalam Surah al-Baqarah ayat 255 bermaksud: Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa daripada ilmu Allah melainkan yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi, dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.
Malah Surah al-Falaq dan an-Nas adalah dua surah yang disuruh oleh dua malaikat supaya Rasulullah s.a.w. membacanya sewaktu baginda terkena sihir. Ia merupakan sebab diturunkannya kepada Baginda.Adakah amalan sihir ini hanya berlaku di alam Melayu atau ia perbuatan yang berlaku pada semua bangsa?Sihir berlaku di dalam semua masyarakat dan ia tidak terbatas kepada alam Melayu. Cuma bentuk dan pengamalan sihir ini berbeza-beza mengikut sesuatu bangsa dan negara. Contohnya, orang Melayu popular dengan santau, pukau tetapi bagi masyarakat di Afrika, mereka percaya kepada sihir yang dipanggil voodoo. Begitu juga dengan bangsa Cina, India, Arab, Jepun dan lain-lain.
Soalan: Boleh Ustaz ceritakan serba sedikit tentang sejarah bermulanya sihir di dalam Islam?
Jawapan: Sihir adalah satu jenis ilmu yang sudah lama berlaku. Merujuk ayat-ayat al-Quran didapati bahawa sejarah pertama sihir adalah yang diajar oleh syaitan. Di dalam surah al-Baqarah ayat 102 menceritakan tentang kerajaan Nabi Allah Sulaiman yang Allah berikan mukjizat kepadanya boleh menguasai alam jin.
Selepas kewafatan Nabi Sulaiman, syaitan yang memiliki sifat semulajadinya mahu memesongkan manusia de-ngan pelbagai cara. Apatah lagi ia mempunyai kelebihan iaitu mampu menyamar sebagai manusia. Selain itu, syaitan dan jin ini boleh berhubung dengan manusia menerusi dua cara; berupa manusia dan bisikan. Contohnya, ada kanak-kanak yang boleh mengubat orang. Sebenarnya jin yang menyamar menjadi orang baik, kononnya. Ini adalah salah satu cara jin menurunkan ilmu kepada manusia dan ilmu ini kebiasaannya boleh merosakkan atau memudaratkan manusia dalam jangka masa panjang.
Berbalik kepada kisah Nabi Sulaiman tadi, syaitan memberitahu kepada orang ramai bahawa kebolehan Nabi Sulaiman adalah kerana Baginda memiliki ilmu sihir yang tertanam di bawah kerusinya di istana Nabi Sulaiman. Apabila kerusi itu dibongkar, ditemui sebuah buku tetapi buku itu bukanlah daripada Sulaiman. Sebaliknya ia muslihat atau mainan jin. Maka dari situlah, jin berjaya menyebarkan ilmu sihir yang didakwa datangnya daripada Nabi Sulaiman.Ayat seterusnya, Allah jelaskan bahawa Nabi Sulaiman itu tidak kufur tetapi yang kufur ialah syaitan. Ayat ini sekali gus memberitahu kepada kita bahawa sihir itu kufur. Kemudian dijelaskan lagi bahawa Allah menurunkan dua malaikat yang berupa manusia di muka bumi untuk mengajarkan sihir.
Hakikatnya, kedatangan dua malaikat ini sekadar ujian kepada umat manusia tetapi manusia mengambil ilmu tersebut yang boleh menceraikan suami isteri. Jelas di sini sihir berasal daripada syaitan dan dua malaikat tadi iaitu Harut dan Marut. Berbalik kepada pukau tadi, jelas ia satu bentuk jenayah yang tersembunyi.
Di dalam Islam, ahli sihir hukumannya dibunuh. Ia berdasarkan dua pendapat; sama ada dibunuh sebab murtad atau ia memang patut dibunuh.Ini kerana jenayah yang dilakukan oleh ahli sihir sukar dibuktikan di mahkamah. Kalau saling berbunuhan seperti biasa, ia boleh dibuktikan tetapi sekiranya ia melalui sihir atau santau, tidak boleh dibuktikan. Lantaran itu, untuk menyekat jenayah yang semakin berleluasa di kalangan ahli sihir, apabila jelas kekufurannya itu, maka ia selayaknya dibunuh.
Soalan: Bagaimana pula pandangan Ustaz mengenai petua-petua atau usaha-usaha yang kebiasaannya dilakukan oleh masyrakat Melayu bagi menghindarkan atau mematahkan `kuasa' pukau, seperti memelihara ikan puyu, meletakkan penyapu, meletakkan daun mengkuang dan sebagainya?
Jawapan: Itu harus, sungguhpun tidak diiringi oleh kenyataan hadis dan al-Quran tetapi mungkin ia berdasarkan pengalaman. Berinteraksi dengan alam jin banyak bergantung kepada pe-ngalaman. Al-Quran menggariskan kaedah-kaedah umum, begitu juga di dalam hadis.Contohnya pengalaman pengamal-pengamal dalam masyarakat Melayu, orang yang terkena gangguan jin atau sihir, kebiasaannya mereka diberi minum air yang telah dicampurkan dengan limau nipis, ia akan memberikan kesan kepada jin untuk keluar dari tubuh si mangsa.
Selain itu, kalau kita hendak menghalau jin keluar dari rumah, kita menggunakan lada hitam kerana dikatakan jin takutkan lada hitam.Begitu juga dengan daun mengkuang atau benda yang tajam seperti ekor pari. Jin juga makhluk Allah seperti kita cuma ia tidak berjisim seperti manusia.
Sebagai makhluk Allah, ia juga takut kepada bahan-bahan tertentu. Benda ini dipercayai boleh mencederakan jin. Ini semua hanya pengalaman. Tidak salah diamalkan selagi tidak bertentangan dengan syarak dan kita tidak mempercayai sepenuhnya bahawa amalan-amalan tersebutlah yang membantu kita, kerana semua yang berlaku hanya dengan izin Allah. Kita disuruh berikhtiar. Adakah cara lain untuk menghindari pukau? Hanya orang yang berilmu atau mempunyai ilmu agama yang mendalam dapat mematahkan kuasa pukau. Ini kerana kita tahu pukau menggunakan jin, dan jin sangat takut kepada orang yang berilmu. Malah ada disebutkan bahawa syaitan takut kepada seorang alim yang tidur berbanding seorang manusia yang beribadah. Dengan ilmu inilah syaitan tidak boleh menipu umat manusia. Ayat-ayat al-Quran sahaja yang mampu mengalahkan jin.
Amalan yang disebutkan di atas, iaitu membaca ayat Kursi dan Surah an-Nas dan al-Falaq adalah antara amalan-amalan yang mudah diamalkan. Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat pendinding diri yang lain tetapi ini yang paling mudah dibaca oleh semua orang.Kemujarabannya bergantung kepada kekuatan seseorang. Ilmu dan amalannya sahaja yang mempercepatkan proses mengeluarkan jin tersebut. Ada kisah yang mengatakan seorang budak yang dirasuk jin, Rasulullah s.a.w. sekadar meletakkan kanak-kanak tersebut di atas dada baginda dan memerintahkan jin itu keluar, maka ia pun keluar.
Begitu juga yang dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, apabila dikhabarkan tentang seorang yang telah dirasuk jin, beliau hanya menyuruh si pemberitahu itu tadi mengambil terompahnya dan ditunjukkan kepada jin, maka jin akan lari dan tidak mengganggu mangsa tersebut.Yang penting dan perlu diingat, kita tidak sepatutnya takut kepada makhluk sebegini kerana ia juga makhluk Allah. Jauhi amalan sihir kerana dalam sebuah hadis Rasulullah mengingatkan supaya kita menjauhi tujuh dosa-dosa besar, dan sihir adalah dosa besar yang terletak pada tangga kedua selepas mensyirikkan Allah.
Dipetik dari Bicara Agama, Utusan Malaysia Rencana oleh Zuarida Mohyin

No comments:

Post a Comment