Saturday, March 13, 2010

Nasi Kangkang atau Nasi Tangas - Amalan Syirik

SOALAN:
Saya berumur lebih 40 tahun, telah beristeri dan mempunyai anak-anak yang telah dewasa. Boleh dikatakan kaya dan mempunyai nama. Saya tidak begitu pasti, bagaimana saya boleh jatuh cinta kepada seorang janda, yang tidak begitu cantik, malah isteri saya yang ada lebih cantik, tetapi saya seumpama gila bayang padanya, yang akhirnya saya mengahwininya.
Isteri yang saya sayangi selama ini akhirnya saya ceraikan. Rumah tangga seumpama tidak terurus, malah diri saya sendiri pun tidak terurus. Ketika di rumah saya seumpama takut dengan isteri, tunduk dan tidak begitu normal. Saya begitu gembira ketika bersama teman-teman, tetapi segala-galanya berubah sebaik-baik saya balik ke rumah.

Pernah seorang teman menyuruh saya berubat, kerana katanya saya berkemungkinan kena `nasi kangkang' atau `nasi tangas', menyebabkan saya takut kepada isteri. Apakah benar tentang adanya ilmu-ilmu seperti ini?

- Shuri, Pendang
JAWAPAN:
Saya tidak pasti sama ada saudara kena ilmu penunduk, kena nasi kangkang atau nasi tangas berdasarkan semata-mata kepada latar belakang yang saudara berikan. Walaupun kalau saudara boleh memberi penjelasan lebih lanjut, berkemungkinan persoalan saudara hadapi itu dapat diperjelaskan.
Dalam masyarakat Melayu, ilmu kebatinan yang melibatkan ilmu pengasih, yang juga dikenali sebagai ilmu guna-guna sering dikaitkan dengan amalan sihir. Banyak kaedah yang boleh dilakukan untuk tujuan ini, di antaranya dengan menggunakan minyak, yang dikenali sebagai minyak guna-guna, ataupun dengan pemujaan berserta bahan-bahan tertentu yang melibatkan jin-jin.
Antara tujuan ilmu ini diamalkan ialah untuk membangkitkan keinginan seseorang terhadap pengamal, sama ada untuk tujuan baik, seperti untuk mendapatkan jodoh, ataupun untuk tujuan jahat, seperti untuk membalas dendam, untuk memuaskan nafsu ataupun hanya untuk berseronok-seronok di samping untuk mengikis harta kepunyaan mangsa.
Ilmu ini juga diamalkan supaya wajah kelihatan berseri, seperti yang dilakukan oleh mak andam terhadap pengantin perempuan yang diandam, untuk satu tarikh tertentu sahaja iaitu ketika bersanding, ataupun untuk jangka masa yang lebih panjang, biarpun usia telah meningkat.
Ilmu pengasih juga diamalkan untuk menundukkan orang lain menyebabkan orang yang bertemu dengan pengamal dengan tidak semena-mena jatuh kasih atau lemah hati. Ilmu pengasih jenis ini diamalkan mungkin untuk menguasai seseorang, untuk memenangi undi dan sebagainya. Pada kebiasaannya setiap perkataan yang lahir daripada mulut pengamal akan menimbulkan rasa kasihan, kagum dan hormat di kalangan pendengarnya. Termasuk dalam kategori ilmu pengasih ialah amalan yang dilakukan oleh isteri terhadap suami, agar tunduk kasih kepadanya. Amalan ini selalunya dilakukan oleh isteri ke atas suami yang dianggap tidak adil, kasar dan sering melakukan kezaliman. Akibatnya suami mungkin menjadi takut, tidak berani berhadapan dengan isterinya, menjadi kaku dan terpukau menurut segala apa yang disuruh. Ia juga ada kalanya dilakukan oleh isteri yang jahat yang hendak menundukkan suaminya, menguasai harta dan semua kepunyaan suami.
Sihir yang dikenakan dengan tujuan supaya isteri bertambah kasih kepada suami atau sebaliknya dinamakan at-tiwalah. Menurut Wahid Abdul Salam Bali (1412H:78), amalan ini dilakukan oleh isteri yang cetek pengetahuan agamanya, dan jahil tentang haramnya perbuatan yang dilakukan. Tukang-tukang sihir menyuruh si isteri mengambil apa-apa bahan yang pernah digunakan oleh suami seperti baju, sapu tangan dan sebagainya dengan syarat barang-barang tadi mengandungi bau badan ataupun peluh pemakai.
Tukang sihir akan mengambil beberapa batang jarum lalu menjampinya. Bahan yang telah dijampi itu ditanam pada satu tempat tertentu. Selain itu tukang-tukang sihir ada kalanya menjampi makanan yang dicampur dengan benda-benda kotor yang terdiri daripada najis, kencing ataupun darah haid dan diberi makan pada mangsanya.
Menurut Mohd. Abd. Wahab, tiwalah ialah sesuatu amalan yang dilakukan yang dipercayai boleh menyebabkan isteri mengasihi suami atau sebaliknya.
Dalam masyarakat Malaysia, amalan seperti ini lebih dikenali sebagai ``nasi tangas'' ataupun ``nasi kangkang'', di mana nasi ataupun makanan yang masih panas itu dicampurkan dengan bahan-bahan kotor yang diambil daripada badan manusia (pengamal), seperti daki, kotoran celah-celah kuku dan dikangkangkan sehingga wap daripada kemaluan jatuh dalam makanan tadi. Lebih berkesan lagi sekiranya orang yang melakukannya itu berada dalam keadaan kotor (haid).
Amalan yang dibantu oleh sihir ini menjadikan suami seumpama bodoh, menurut telunjuk kemahuan isteri. Amalan ini adalah terlarang dan pelakunya termasuk dalam golongan mereka yang melakukan amalan syirik. Pada hakikatnya, amalan seperti ini bukan menyebabkan suami bertambah kasih kepada isteri tetapi boleh menyebabkan si suami menjadi bodoh seolah-olah dikuasai oleh satu kuasa asing menyebabkannya takut dan tunduk kepada isteri.
Menurut Wahid Abdul Salah Bali, perbuatan seperti ini ada kalanya menjadikan perkara sebaliknya berlaku, di mana suami membenci isterinya ataupun membenci semua perempuan termasuk isterinya, yang mana akhirnya pasangan ini berpisah juga.
Menurut Abu Ubaidah Mahir (1995:70) sihir jenis ini dikenali sebagai sihru'-mahabbah (sihir kasih). Pengamal sihir ini adalah syirik hukumnya. Ia dilakukan mungkin kerana si isteri tamakkan harta, terutamanya kalau suami kaya. Kerana cemburu terhadap suami yang bersangatan dan isteri takutkan suami berkahwin lagi.
Menurut Abu Ubaidah lagi, isteri yang hendak melakukan sihir akan menemui tukang sihir yang meminta barang-barang tertentu seperti baju, sapu tangan, songkok dan sebagainya dengan syarat barang-barang tadi telah dipakai, kerana ia mengandungi peluh. Beberapa helai benang diambil daripada bahan tadi dijampi kemudian ditiup padanya, disimpulkan dan ditanam di tempat-tempat tertentu, atau dimasukkan dalam makanan atau minuman. Sihir yang paling dahsyat daripada jenis ini dan sangat berbahaya dinamakan as-sihru'i-aswad (sihir hitam) yang diperbuat menggunakan bahan najis, darah haid ataupun nifas.
Kesan sihir jenis ini boleh terjadi sebaliknya menyebabkan suami membenci semua perempuan termasuk isteri, ibu, adik-beradik, bapa saudara dan semua mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan.
Suami kadang-kadang sakit kerana bahan yang dimakan mengandungi bahan-bahan kotor dan najis.
Sahibul Fadilah Asy-Syeikh Asy-Sya'rawi ketika ditanya tentang penglibatan jin-jin untuk memisahkan pasangan suami isteri menyatakan bahawa ia bukan merupakan sesuatu yang mustahil Allah menganugerahkan keistimewaan-keistimewaan tertentu terhadap sesetengah daripada makhluknya. Dan di antara keistimewaan jin-jin ialah keupayaan melakukan sihir. Dengan itu jin-jin berkeupayaan mengubah pandangan seseorang yang melihat perempuan cantik itu menjadi hodoh, menyebabkan timbul rasa benci melihatnya seperti melihat kera di hadapannya. Begitulah sebaliknya menyebabkan perempuan yang tidak cantik atau mempunyai wajah biasa dilihat seumpama permaisuri yang jelita.
Hal demikian boleh berlaku pada pasangan suami isteri di mana jin-jin boleh menyihir seorang isteri yang menyebabkan timbul rasa dingin suami bahkan jin juga boleh menyebabkan si suami berasa seolah-olah adanya sepotong daging menyekat faraj isteri (Muhammad Ar-Razi, 1985:240-241).
Menurut seorang bomoh yang tinggal di Batu Pahat, nasi tangas disediakan oleh isteri yang ingin menundukkan suaminya, dengan mengangkangkan nasi yang sedang panas berwap dalam keadaan duduk mencangkung, merapatkan punggung pada nasi untuk selama lebih kurang sepuluh hingga lima belas minit. Kain yang dipakai menyelubungi bahan tadi dibuka buat seketika sekiranya dirasa terlalu panas berbahang, kemudian ditutup rapat semula.
Selain daripada nasi, ia juga boleh dibuat pada air, yang dicampur dalam makanan atau terus dibuat minum.
Selain untuk tujuan di atas, ilmu pengasih atau ilmu guna-guna diamalkan semata-mata untuk menundukkan seseorang terutamanya kaum wanita untuk tujuan seks, merampas isteri orang untuk membalas dendam, yang dilakukan mungkin kerana pinangan ditolak, perempuan memungkiri janji untuk berkahwin, pihak perempuan menghina atau memandang rendah kepada lelaki tertentu menyebabkan rasa marah lalu membalas dendam dengan mengenakan sihir.
Mangsa ilmu guna-guna akan memperlihatkan kelakuan yang aneh dan sering melakukan tindak-tanduk di luar kebiasaan. Orang yang pada asalnya membenci seseorang boleh bertukar menjadi rindu tanpa mempedulikan rintangan, sentiasa terbayang wajah orang yang menyihirnya.
Sekiranya individu yang terlibat telah berumah tangga, suami akan lupakan isteri dan anak-anak, lupa tanggungjawab yang perlu dilakukan, juga tidak mendengar nasihat sesiapa pun termasuk ibu dan bapa. Dalam keadaan tertentu ia akan kembali normal menyedari siapakah dirinya yang sebenar, mengingati keluarga, tetapi ia merasai seolah-olah ada satu kekuatan luar menguasainya menyebabkannya berada dalam keadaan khayal dan terpukau.
Seorang responden berumur lebih kurang 65 tahun yang tinggal di Perlis, menjelaskan bahawa ubat guna-guna atau ilmu pengasih adalah salah satu daripada amalan ilmu sihir yang menggunakan khidmat jin-jin. Pengamal ilmu sihir guna-guna akan membaca jampi manteranya untuk memanggil jin yang mendampinginya dan mengarahkannya datang dalam mimpi mangsa menjelma menyerupai lelaki yang memujanya dengan rupa yang begitu menarik, menyebabkan seluruh perasaan tertumpu kepada lelaki berkenaan.
Apabila tersedar daripada tidur, ia akan terlihat bayangan jin yang menyerupai lelaki berkenaan menyebabkannya terus-menerus teringatkan lelaki tadi. Si mangsa akan berasa tidak sempurna, resah gelisah dan terus-menerus teringatkan lelaki tadi, tidak kira di mana ia berada, sama ada ketika makan minum, ketika bekerja dan sebagainya.
Selain daripada itu, jin tadi akan merasuk otak mangsa menyebabkan dia tidak berupaya berfikir waras, berubah sikap terhadap anak dan suami andainya si mangsa seorang perempuan yang telah berumah tangga, tidak pedulikan nasihat orang lain andainya dia seorang dara. Setelah dikuasai fikiran dan ingatan si mangsa, jin akan datang menarik jasad orang yang berkenaan membawa pergi menemui orang yang memujanya tadi, seolah-olah ada magnet menariknya untuk berbuat demikian.
Kesan amalan sihir adalah berbeza, bergantung kepada kekuatan roh seseorang dan jenis sihir yang dikenakan. Ada mangsa yang hilang ingatan sama sekali, tidak tahu apa yang telah berlaku pada dirinya apabila ingatannya pulih kembali.
Ada mangsa yang tidak hilang ingatan, tetapi tahap kesedarannya terlalu sedikit, berbanding tahap kesedaran yang telah dikuasai oleh sihir yang dikenakan kepadanya. Kerana itu terdapat mangsa sihir yang menyedari apa yang sedang berlaku ke atasnya terasa seolah-olah dipukau, ditarik-tarik untuk menemui seseorang dan berusaha untuk melawan, tetapi tidak berkeupayaan kerana kekuatannya yang sebenar terlalu lemah.
Berdasarkan keterangan di atas, amalan menundukkan seseorang termasuk menundukkan suami melalui kaedah yang dikenali sebagai ``nasi kangkang'' atau ``nasi tangas'' bukan sesuatu yang mustahil berlaku.
Dipetik dari Bicara Agama, Utusan Malaysia, Bersama Dr. Amran Kasimin

3 comments:

  1. Salam....sy nk bertanya sedikit..btol je perempuan yg mengamalkan nasi kangkang ni selalunya akan bertelanjang bulat di dalam rumah?maksud sy tidak kira di sudut mana kawasan dalam rumahnya sendiri..sy ingin memberi contoh..sy mempunyai rakan lelaki.dia selalu meluahkan isi hatinya tentang rumahtangga beliau..di mana bila die berada di rumah,beliau tidak mampu utk menasihati isteri beliau.lebih 10 tahun berkahwin tetapi bole dikira dengan jari isterinya melakukan solat.sudah banyak kali menasihati isterinya tetapi seperti itu juga.baru-baru ini dia ada bercerita dengan sy dan seakan-akan rasa pelik.beliau berkata bahawa isterinya sering bertelanjang bulat di dalam rumah tidak kira masa.walaupun bilik air di dalam bilik sendiri sering dia bertelanjang bulat di luar dari bilik kelaminnya.rakan sy sering menasihati tetapi tidak dipedulikan.rakan sy malu pada anak-anak.di depan anak-anak juga isterinya tidak rasa malu dengan memberi alasan panas di dalam rumah..yang sy perhatikan rakan sy ni terlalu takut untuk bersuara apabila isterinya telefon.perkataan yang diucapkan hanya 'Ye'...seperti lembu kena cucuk hidung...sy hanya ingin kepastian samada rakan sy itu terkena penangan nasi kangkang isterinya atau tidak?dengan amalan isterunya bertelanjang bulat di dalam rumah..wassalam...

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam..Tidak dapat dipastikan sama ada kelakuan si isteri itu disebabkan sikapnya yang telah melakukan nasi kangkang kepada suaminya..walaubagaimanapun, sahabat saudari itu di nasihatkan untuk berjumpa perawat Islam yang haq untuk scanning dan sesi rawatan..sesungguhnya setiap penyakit / masalah itu ada penyelesainnya kecuali mati..Wallahua'lam..

    ReplyDelete
  3. assalam.saya juga alami masalah sama. saya terkena sihir pemisah suami isteri. suami saya telah diberi makan benda kotor oleh isteri ke 2 nya hingga suami jadi bodoh & terlampau ikut telunjuk isteri ke 2. suami sangat benci dengan saya. dia juga sangat garang dengan saya. sering menengking & memukul saya. kini telah 3 tahun suami tidak balik ke rumah & abaikan saya & anak2.
    saya sentiasa berdoa suami sedar semula dari lamunan. dibuka semula hijabnya untuk lihat semula saya & anak2 serta dapat lihat semula jalan pulang ke rumah.
    Diharap ada sesiapa dapat bantu saya : hanajun13@outlook.com

    ReplyDelete