Friday, March 5, 2010

Tiada Jin Ditugas Menjadi Guru Kepada Manusia

SOALAN:

Suami saya belajar ilmu tasauf daripada guru alam ghaib, iaitu mempelajari ilmu fikah, tauhid, persilatan dan perubatan. Guru ini berumur lingkungan 568 tahun. Untuk mengajar, dia perlukan sandaran, dan beliau bercadang untuk ke sebuah negara jiran.

Saya sangsi dengan ilmu yang dipelajari, takut kalau dia menjadi sesat. Dia memberitahu, kalau apa yang dipelajari bercanggah dengan ajaran Islam, dia akan segera meninggalkannya.

JAWAPAN:

Ajaran tasauf ialah ajaran berdasarkan al-Quran dan hadis untuk mencapai kesucian rohani dan jasmani dalam usaha menghampirkan diri kepada Allah dengan mengikut jejak langkah nabi.

Seorang sufi dibenarkan mencari kehidupan rohani untuk mengenal bentuk kebenaran atau hidup sebagai seorang soleh dan takwa melalui ibadah.

Ilmu tasauf mengajar manusia mengenal kehidupan batin, yang amalannya melalui hati, menuju falsafah kerohanian untuk mencapai kesucian hati ataupun batin.

Tujuan utama kehidupan sufi ialah mencari nilai-nilai kebenaran yang tinggi, sebagaimana yang diakui oleh falsafah-falsafah sufi tentang tanda-tanda kebenaran adanya Tuhan melalui tanda-tanda, keindahan dan kebenaran iaitu dengan meninggalkan nafsu jahat, menyingkirkan hidup keduniaan dengan dasar mengikut jejak nabi, menyingkirkan sifat-sifat insan yang buruk, menasihati manusia dan sentiasa berada dalam kebaikan.

Usaha menuju kepada kebenaran yang hakiki dalam amalan sufi melalui zikir kepada Allah, mengingati nama Allah sebanyak mungkin dinamakan tarikat. Tarikat dalam bentuknya yang ada sekarang ini muncul pada abad ke-9 Masihi, kemudian mengalami pembaharuan pada abad ke-11 Masihi, yang berlaku dalam dunia Islam secara menyeluruh.

Pemimpin-pemimpin tarikat yang terkenal di antaranya ialah Junaid, Hallaj, Sarraj, Qusyari dan Hujwiri. Kehidupan sebagai seorang sufi (adabu `s-sufiyah) pernah ditetapkan atau ditulis oleh Sulmi, Makki, Ibnu Tahir Maqdisi dan Ghazali.

Zikir-zikir yang diamalkan kebanyakannya berdasarkan ayat-ayat al-Quran dengan disertai tafakur yang kuat, tenang dan diucapkan dalam hati.

Gurunya disebut mursyid, sedangkan ahli yang terlibat disebut ikhwan. Ketekunan dan amalan seorang murid dalam zikir, atau tingkah laku membolehkan mursyid memberi ijazah kepada murid.

Ahli-ahli fikah menetapkan bahawa tarikat yang tidak berlandaskan ajaran al-Quran dan sunah adalah bida'ah, iaitu ibadah baru yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Terdapat pelbagai aliran tarikat, antaranya ialah Tarikat Ahmadiyah (Mesir), Idrusiyah (Yemen), Bakriyah (Mesir), Jazuliyah (Morocco), Junaidiyah (Baghdad), Qadiriyah (Baghdad), Khalwatiyah (Khurasan), Naqsyabandiyah (Turkistan), Ghazaliyah, Syaththariyah dan lain-lain lagi aliran. Kegiatan ahli tarikat memainkan peranan yang besar dalam usaha penyebaran Islam di Nusantara.

Di Malaysia, juga di tempat-tempat lain termasuk di negara jiran, terdapat ajaran tarikat sesat, yang melibatkan amalan bida'ah kepada Allah yang melibatkan amalan syirik, tidak atas dasar sunah nabi, yang dicampuradukkan dengan unsur-unsur tasauf dari luar Islam yang kebanyakan melibatkan jin-jin biarpun nama-nama tarikat tersebut sama dengan nama tarikat asal yang sebenarnya.

Dalam pemahaman umum, terdapat alam zahir di mana terdapat kehidupan manusia dalam dunia, juga alam ghaib, iaitu alam yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera mata, atau dirasa oleh manusia, biasa, lawan bagi alam zahir, seperti alam akhirat yang merangkumi kehidupan di kubur, syurga juga neraka.

Termasuk dalam kategori kehidupan alam ghaib ialah malaikat dan jin-jin. Dalam masyarakat Melayu, apabila disebut sahaja ``alam ghaib'' ia selalunya dirujuk alam jin-jin dan terlalu jarang dirujuk kepada alam malaikat.

Berdasarkan keterangan ini, apabila puan menyebut bahawa suami puan belajar ilmu tasauf daripada guru alam ghaib, ia lebih berkecenderungan bahawa suami puan mempelajari ilmu, yang dianggap sebagai ilmu tasauf daripada guru alam ghaib iaitu terdiri daripada jin-jin, bukan manusia ataupun malaikat.

Khalifah

Sesungguhnya tidak terdapat daripada mana-mana sumber hujah atau alasan membuktikan bahawa Allah menyatakan bahawa adanya jin-jin yang ditugaskan untuk menjadi guru, menjadi ``mursyid'' kepada manusia untuk mempelajari apa-apa ilmu, termasuk ilmu tasauf.

Apa yang berlaku terdapat bukti bahawa terdapat jin-jin yang belajar daripada manusia, malah Allah subhanahu wa taala mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. itu sebagai nabi dan rasul kepada manusia dan jin-jin, mengajar makhluk ini mengesakan Allah, membaca al-Quran dan sebagainya termasuk memberi petunjuk jenis makanan yang dimakan dan sebagainya.

Fenomena ini membuktikan bahawa manusia itu adalah lebih tinggi martabatnya berbanding dengan jin-jin, lebih bertamadun dan berilmu yang sewajarnya menjadi guru, bukan sebaliknya, iaitu manusia berguru kepada jin yang hidup di alam ghaib. Allah menjelaskan bahawa manusia itu adalah khalifah di muka bumi, bukan jin.

Rasulullah pernah bersabda menyatakan bahawa umur umat baginda ialah antara 60 hingga 70 tahun. Hanya sedikit sahaja di kalangan manusia yang menjangkau umur lebih daripada 70 tahun.

Walaupun demikian umur jin adalah lebih panjang daripada manusia. Setelah Allah sempurna menjadikan manusia, Allah memerintahkan agar malaikat sujud menghormati kejadian Adam. Semua malaikat sujud, kecuali iblis. Ia enggan dan berasa takbur, lalu Allah melaknatnya, menghukumkannya kafir dan akan dimasukkan ke dalam neraka.

Iblis pernah bersumpah akan mengganggu, menggoda manusia, menyebabkan manusia itu menganggap perbuatan yang baik, yang disuruh atau diwajibkan oleh Allah itu buruk dan perbuatan buruk itu dianggap baik. Iblis juga bersumpah akan menyesatkan manusia.

Dalam usaha menyesatkan manusia iblis memohon kepada Allah agar dipanjangkan umurnya dan Allah telah memperkenankan. Kerana itulah iblis dan keturunannya mempunyai umur yang panjang.

Berdasarkan keterangan ini, iaitu bukti yang jelas, yang tertulis nyata dalam al-Quran dakwaan bahawa guru tasauf iaitu guru suami puan berumur lebih daripada 500 tahun itu adalah terdiri daripada jin bukan manusia, kerana manusia tidak boleh menjangkau umur yang disebutkan.

Perlu disedari dan dijelaskan bahawa dalam sejarah perkembangan ilmu tasauf di Nusantara, juga di seluruh dunia Islam, tidak terdapat seorang pun guru-guru yang mursyid itu mempunyai umur sehingga lebih 500 tahun.

Guru-guru ini adalah terdiri daripada manusia biasa, yang mempunyai isteri, makan dan minum, tidur serta bermasyarakat. Kerana itu, berdasarkan keterangan yang puan beri, terbukti bahawa pembelajaran ilmu tasauf yang sedang suami puan lalui mengandungi amalan bida'ah yang tidak dilakukan oleh ahli tasauf atau amalan terikat yang sebenar.

Suami puan juga seumpama mencabar orang yang meragui pembelajaran yang sedang dilalui. Sekiranya apa yang dipelajari bercanggah dengan ajaran Islam, dia akan segera meninggalkannya. Apa yang diluahkan seumpama satu cabaran, tetapi kepada siapa diberi cabaran itu. Kepada puan? Amalan tarikat sesat selalunya dilakukan penuh rahsia dan tersembunyi, yang tidak diuar-uarkan atau disebarluaskan, biarpun kepada isteri sendiri.

Ilmu-ilmu seperti ini selalunya membabitkan jin-jin atau amalan kebatinan menyebabkan seseorang yang dianggap sebagai guru itu dapat menguasai dan menundukkan murid-muridnya. Apabila hal demikian berlaku, iaitu apabila seseorang itu terlibat dengan jin-jin, lalu dia melakukan sesuatu dengan penglibatan jin-jin, maka dia sebenarnya telah melakukan perbuatan sihir kerana itulah amalan yang dianggap sebagai amalan sufi atau tarikat, salah itu disertai dengan amalan kebatinan mempertahankan diri.

Dalam amalan kebatinan Melayu, ciri-ciri amalan tasauf sering dimasukkan, yang disertai dengan amalan zikir, tafakur dan sebagainya. Murid-murid diajar amalan kebatinan mempertahankan diri, membolehkan mereka bersilat, biarpun mereka tidak pernah mempelajari ilmu persilatan yang melibatkan pergerakan badan.

Mereka boleh bersilat kerana adanya resapan jin-jin dalam tubuh, yang menggunakan tubuh manusia. Ketika jin tersebut keluar dari tubuh, orang yang berkenaan langsung tidak boleh melakukan silat, seperti sebelumnya, kecuali sekiranya dia mempelajari ilmu persilatan yang melibatkan pergerakan jasmani sebelum itu.

Oleh kerana ilmu yang dipelajari itu dirahsiakan dan penuh dengan amalan yang tersembunyi, bagaimana dia hendak dibuktikan bahawa amalan tersebut bertentangan atau bersesuaian dengan ajaran Islam, apatah lagi apabila cabaran itu diajukan kepada seorang isteri yang mempunyai rasa sangsi semata-mata dengan apa yang sedang dipelajari oleh si suami.

Amalan seperti ini lebih cenderung kepada masalah personal. Andainya seseorang itu terlibat dengannya, ia adalah melibatkan masalah iktikad, melibatkan iman seseorang, sama ada terus menjadi seorang Islam yang sebenar, atau menjadi syirik ataupun murtad. Kepada siapa hendak dipertanggungjawabkan untuk meyakinkan atau membuktikan bahawa amalan yang sedang dipelajari itu salah atau betul.

Adakah ia tanggungjawab seorang isteri, seorang guru agama, pejabat agama ataupun tanggungjawab yang mesti ditanggung oleh diri sendiri semata-mata kerana itu masalah cabaran untuk membuktikan kebenaran atau kepalsuan amalan tersebut tidak perlu, kerana yang menanggung akibat ialah orang yang mengamalkannya.

Walaupun demikian perlu dijelaskan amalan ingat- memperingatkan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman. Jawapan ustaz yang puan tanya mengenai ilmu yang dipelajari oleh suami puan yang tidak meyakinkan bukan bukti bahawa apa yang dipelajari itu betul, tidak salah.

Saya yakin puan tidak kehilangan pedoman untuk meraih kebenaran atau keyakinan terhadap apa yang sedang berlaku. Hanya sedikit usaha dan keyakinan yang diperlukan dalam usaha mencari kebenaran berbanding dengan kesan amalan yang akhirnya menentukan hidup sebenar seseorang di akhirat kelak.

Sesungguhnya terlalu banyak unsur agama, termasuk penggunaan ayat-ayat al-Quran, doa-doa al-mathurat, upacara keagamaan dan sebagainya, termasuk amalan zikir, puasa, nasihat-nasihat agama dan sebagainya dijadikan alat atau wasilah untuk menyesatkan manusia. Apabila ini dilakukan, orang ramai, termasuk mereka yang mempelajarinya berasa sangsi untuk menganalisis atau mengimbangi kebenaran atau kepalsuan amalan yang dilakukan.

Biar dalam keadaan apa sekalipun, Allah menjelaskan bahawa iblis itu tidak mempunyai kekuatan terhadap hamba-hamba-Nya kecuali ke atas mereka yang mengikut langkah-langkah iblis, yang terdiri daripada golongan sesat.

Memang terdapat manusia yang meminta perlindungan daripada jin, maka jin-jin itu akan menambah lagi dosa dan kesalahan mereka (al-Jinn: 6).

Barang siapa menjadikan syaitan itu temannya, maka syaitan itu adalah seburuk-buruk teman (an-Nisa: 38).

Syaitan-syaitan itu tidak akan turun, kecuali kepada setiap pendusta lagi banyak dosa (asy-Syuara: 221-222).

Oleh: Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment