Tuesday, March 2, 2010

Saka dan Keturunan


Soalan:

Bapa saudara saya meninggal lebih kurang dua bulan lepas. Ketika hidupnya, beliau menghadapi masalah yang boleh dikatakan hebat dan menyebabkan kehidupan hariannya tidak begitu tenteram. Menurut seorang ustaz, juga seorang tua yang melibatkan diri dengan perubatan tradisional, bapa saudara saya ini ada saka yang hendak bertuankan dirinya, tetapi kerana amalannya kuat, saka itu tidak berupaya mengganggunya.

Daripada mereka berdua juga, saya mendapat tahu saka ini hendak bertuankan kepada saya. Saya terasa apa yang mereka katakan ada kebenarannya kerana sejak bapa saudara meninggal, kehidupan saya menjadi tidak menentu, cepat marah biarpun kerana sebab yang kecil. Sukar tidur malam, bermimpi didatangi oleh makhluk berjubah hijau pada malam-malam Jumaat beberapa ketika. Ada kalanya saya tidak sedarkan diri apa yang saya lakukan, berjalan seorang diri seolah-olah ada satu kekuatan menarik-narik untuk menapak di belakang rumah waktu maghrib dan banyak lagi perkara yang saya sendiri tidak dapat menghuraikannya.
Apa yang sebenarnya berlaku pada diri saya? Adakah saya di ganggu oleh saka?

JAWAPAN:

Tidak mudah untuk membicarakan masalah yang saudara hadapi, kerana ia adalah di luar pengetahuan manusia secara jelas dan dapat dibuktikan dengan pasti. Persoalan pertama ialah punca masalah yang saudara hadapi yang dikatakan berpunca daripada ``saka''. Tidak mudah untuk menjelaskan masalah yang dihadapi oleh saudara itu berpunca daripada saka, yang melibatkan makhluk ghaib; jin-jin, hantu-hantu dan seumpamanya. Hanya mereka yang mempunyai ilmu yang berkaitan dengan alam ghaib, alam jin-jin sahaja yang boleh menjelaskannya. Itu pun belum pastinya betul.

Berdasarkan alasan ini, orang yang memberi jawapan punca masalah yang sedang saudara hadapi sekarang ini dipercayai mempunyai ilmu yang berkaitan dengan alam ghaib, tidak kira sama ada dia seorang ustaz ataupun orang yang terlibat dengan perubatan tradisional. Tanpa ilmu yang berkaitan dengannya, seseorang itu tidak berupaya memberi penjelasan punca masalah seperti yang saudara hadapi.

Punca penyakit utama boleh dibahagikan kepada tiga, pertama penyakit berpunca daripada kecederaan fizikal seperti luka, serangan kuman, virus, stres, keracunan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pelbagai masalah timbul termasuk kesukaran tidur malam, mimpi yang menakutkan dan sebagainya. Punca kedua adalah gangguan daripada jin-jin yang dikaitkan dengan iblis dan syaitan. Punca kedua ini dinafikan oleh sesetengah orang.

Dalam peristiwa yang berlaku di antara Adam dan iblis, iaitu ketika Allah memerintahkan semua malaikat sujud kepada Adam, semua malaikat sujud, kecuali iblis. Kerananya, Allah menjadi murka lalu melaknat iblis, dihukumkan kafir, akan dimasukkan dalam neraka lalu dihalau dari syurga.

Iblis merasakan bahawa kerana Adamlah maka ia dihukumkan kafir dan dimurkai Allah. Kerana itu dia bersumpah akan menyesatkan manusia, kecuali mereka yang ikhlas di kalangan manusia. Selain menyesatkan, iblis sentiasa menyakiti dan menipu keturunan Adam. Banyak contoh dan bukti betapa iblis cuba mengganggu Adam dan Hawa, mengganggu Nabi Ayub termasuk menipu Qabil dan Habil yang akhirnya mereka berbunuhan. Allah memerintahkan setiap orang agar berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam. Sekiranya gangguan atau ancaman itu tidak wujud, maka apa perlunya seseorang itu berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

Gangguan iblis dan syaitan merangkumi iktikad atau kepercayaan yang boleh menyebabkan seseorang itu sesat; kufur, syirik atau murtad. Selain daripada itu iblis dan syaitan juga mengganggu otak manusia, menyebabkan seseorang mangsa itu berhadapan dengan masalah yang berkaitan dengan otak, pada hati, menyebabkan timbulnya rasa waswas, tidak percaya pada Tuhan, pada agama yang dianuti dan sebagainya. Iblis juga mengganggu jasad manusia menyebabkan seseorang itu berasa sakit pada bahagian jasad yang berkenaan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam menurut perjalanan darah.

Punca ketiga ialah gangguan fizikal yang dituruti dengan gangguan iblis dan syaitan. Orang yang lemah tubuhnya akibat kecederaan fizikal, disertai dengan roh yang lemah lebih mudah diganggu oleh iblis dan syaitan berbanding dengan mereka yang tidak menghadapi masalah fizikal. Orang yang berhadapan dengan masalah stres berpanjangan, lebih mudah diserang histeria berbanding dengan mereka yang hidup tenang, suasana yang menggalakkan dan berupaya meraih ketenangan hidup.

Gangguan iblis dan syaitan ke atas manusia adalah sesuatu yang benar. Ia boleh berlaku yang melibatkan bahagian otak, hati, jasad. Seperti manusia, apabila kehidupan makhluk ghaib itu diganggu oleh manusia, biarpun perbuatan tersebut dilakukan di luar pengetahuan, makhluk ini akan bertindak balas. Gangguan boleh berlaku sama ada ketika berada di hutan, di tempat sunyi jauh daripada manusia, di kubur-kubur dan sebagainya. Tanpa kesalahan atau kesilapan manusia makhluk ini juga sering mengganggu manusia kerana di kalangan makhluk ini memang terkenal dengan kejahatannya. Inilah yang dinamakan ``gangguan''.

Apabila kegiatan manusia itu disokong atau disertai oleh jin-jin, yang terdiri daripada syaitan atau sebagainya, sama ada makhluk tersebut dibela atau dibuat sahabat, maka ketika itu, orang yang berkenaan telah melakukan perbuatan yang dinamakan ``sihir''. Orang yang melakukannya dinamakan ``tukang sihir''. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin seperti yang dijelaskan.

Meresap

Dengan ilmu kebatinan yang dipelajari dengan sengaja atau tidak disengajakan, orang yang seperti ini berupaya menyeru jin atau jin-jin tersebut meresap masuk dalam tubuhnya. Ketika itu jasad manusia berkenaan akan menjadi seumpama sarung semata-mata. Kegiatan berikutnya yang dilakukan oleh makhluk iaitu jin yang meresap dalam tubuh tadi.

Ketika inilah orang yang berkenaan boleh melakukan kegiatan tertentu bergantung kepada keadaan. Ia boleh melakukan rawatan, yang dikenali sebagai ``rawatan tradisional'', di mana kegiatan tersebut ada kalanya melibatkan amalan menurun, menilik, mengurut dan sebagainya. Penglibatan makhluk ini dalam tubuh, membolehkan seseorang itu melakukan pergerakan silat, biarpun dia tidak pernah mempelajari pergerakan fizikal ilmu persilatan sebelum itu, menjadi kebal dan sebagainya.

Selain daripada itu, makhluk ini juga boleh digunakan untuk menyakiti, atau menyihir orang lain. Menyebabkan lahirnya ilmu penunduk, ilmu penggerun, ilmu pemanis muka dan sebagainya. Perlu diperjelaskan bahawa kegiatan yang dijelaskan di atas ini tidak akan berlaku tanpa adanya penglibatan jin atau jin-jin yang meresap dalam tubuh manusia.

Apabila orang yang memiliki ilmu seperti ini meninggal dunia, makhluk yang terlibat dengan kegiatan individu berkenaan perlu berdampingan atau ``dibela'' oleh orang lain, semata-mata untuk menyesatkan manusia yang biasanya terdiri daripada saudara-mara. Dari sinilah lahirnya istilah ``saka'', iaitu makhluk jin yang berdampingan dengan waris terkeatas itu diturunkan atau dipusakai oleh waris terkebawah, di mana penurunan ini selalunya berlaku di kalangan waris yang rapat.

Penurunan saka ini boleh berlaku dalam dua keadaan. Pertama ia berlaku secara terus, di mana orang yang mempunyai saka itu dengan terang-terangan memberitahu yang dia menurunkan ilmunya kepada orang tertentu. Waris yang terlibat kebanyakannya tidak menyedari bahawa apa yang diturunkan atau yang dipusakai itu adalah terdiri daripada jin-jin atau hantu-hantu. Mereka beranggapan bahawa mereka adalah istimewa berbanding dengan waris-waris lain kerana mewarisi ilmu kebatinan. Keduanya, penurunan ini berlaku menurut kehendak jin itu sendiri, lebih-lebih lagi sekiranya pewaris itu telah meninggal dunia.

Saya tidak pasti bahawa apa yang diperkatakan oleh dua individu yang saudara temui itu benar di mana saudara berhadapan dengan masalah saka. Biar dalam keadaan apa sekalipun, masalah yang berkaitan dengan saka seperti yang saya jelaskan adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku.

Saya perjelaskan lagi bahawa saka dalam kehidupan manusia, dalam konteks ini iaitu manusia Melayu adalah sesuatu yang bukan mustahil berlaku. Ia melibatkan jin-jin, membolehkan seseorang itu melakukan sesuatu yang luar biasa seperti yang diterangkan. Dan apabila seseorang itu menerima saka, ia akan mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu seperti yang dilakukan oleh orang yang mempunyai saka yang asal.

Selain daripada jenis saka yang saya jelaskan di atas, satu jenis lain ialah saka yang merupakan penyakit atau gangguan daripada jin-jin tidak melibatkan rawatan. Orang yang terlibat apabila diganggu saka, ada kalanya fungsi otaknya menjadi tidak normal, berjalan di tengah malam tanpa dapat mengawal diri, duduk termenung sendirian, marah tidak menentu, mengamuk dan sebagainya termasuk menghantuk-hantukkan kepala ke dinding.

Apabila orang yang berkenaan meninggal, saka tersebut diwarisi oleh seorang atau beberapa orang waris tertentu. Kesan daripadanya mangsa akan menghadapi masalah yang hampir sama dengan masalah yang ditanggung oleh pewaris asal. Ini adalah di antara simptom utama memperlihatkan bahawa masalah yang dihadapi oleh seseorang itu berpunca daripada saka.

Manusia mudah terdedah kepada masalah termasuk penyakit kerana manusia itu tidak mempunyai ketahanan diri yang ampuh yang dikenali sebagai ``body resistance''. Orang yang seumpama ini mudah dijangkiti kuman batuk, selesema, sakit kulit dan sebagainya berbanding dengan orang yang mempunyai ketahanan diri yang kuat. Begitu juga dengan kekuatan roh, yang berupaya menolak pelbagai masalah kebatinan atau kerohanian termasuk apa yang dikenali sebagai ``saka'' dalam perbincangan ini.

Kerana itu untuk memperlengkapkan diri daripada diganggu oleh saka iaitu jin-jin tadi, saudara perlu mempunyai roh yang kuat. Roh yang kuat perlu pemahaman agama, di mana ia akhirnya diterjemahkan melalui amalan atau ibadah. Hanya dengan ilmu sahaja seseorang itu menaruh keyakinan terhadap Allah dan ada rasa ikhlas ketika melakukan amalan-amalan tersebut. Itulah yang dikenali sebagai amalan bertakarub, iaitu memperhambakan diri kepada Allah lalu akhirnya seseorang itu mendapat kurnia kasih Allah. Apabila ini berlaku, orang yang berkenaan akan memperoleh kekuatan zahir dan batin. Ketika ini apabila dia bermohon, Allah akan memperkenankannya, dan ketika memohon perlindungan, Allah akan melindunginya. Demikianlah janji-janji Allah terhadap hamba kekasih-Nya.Amalan ini melibatkan ibadah pada waktu malam, dimulai dengan sembahyang taubat, kemudian beristighfar, sembahyang tahajud, sembahyang tasbih, berzikir, selawat dan diakhiri dengan sembahyang hajat.

Petikan dari:
Dr. Amran Kasimin
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment