Wednesday, January 19, 2011

Khurafat - Amalan Rosakkan Masyarakat Islam

SIFAT iri hati, hasad dengki, cemburu dan khianat adalah beberapa contoh yang menunjukkan jahatnya hati budi si pelakunya kepada orang yang dimusuhi. Apabila wujudnya sifat sedemikian, kawan bukan lagi dianggap kawan, malah keluarga sendiri pun bertukar menjadi musuh. Apa yang timbul di dalam perasaan si pelakunya ialah untuk memusnahkan musuhnya itu yang dianggap sebagai batu penghalangnya.
Apabila dikatakan `musuh', setiap musuh perlu dimusnahkan dan dihancurkan untuk menunjukkan perasaan dendamnya yang tidak berkesudahan. Jika dilihat kepada hal tersebut, perkembangan Islam di kalangan orang-orang Islam dewasa ini terutamanya di negara ini amat membimbangkan.
Jika ditinjau, rata-ratanya didapati budaya khurafat dan tahyul masih lagi menebal di jiwa segelintir umat Islam, walaupun dalam masa yang sama mereka turut melakukan ibadat serta menyempurnakan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah.

 
Perbuatan ini sering digunakan oleh masyarakat zaman lampau kerana menganggap makhluk ghaib seperti jin dan syaitan dapat menolong mereka dalam pelbagai urusan untuk sesuatu tujuan tertentu. Mereka menggunakan khidmat jin untuk menjadi seorang yang berilmu kebal, digeruni pihak lawan, mendapat kekayaan dan kesenangan dengan cara mudah, menjadi bertambah cantik serta untuk menjadikan orang yang paling dicintai menurut kata-kata dan kehendaknya akibat cinta yang disemai tidak berbalas.
Namun, apakah bezanya antara perbuatan khurafat pada zaman lampau dengan khurafat pada zaman teknologi maklumat hari ini?

 
Jawapannya ialah tidak ada bezanya antara kedua-duanya. Namun sesuatu yang menyedihkan ialah, umat Islam yang hidup pada zaman teknologi maya kini sepatutnya sudah matang berfikir dan bertindak berikutan berlakunya perubahan zaman. Sebaliknya mereka seolah-olah kembali kepada zaman `primitif' iaitu orang makan orang.

Iri hati
Hari ini, perbuatan menyihir atau `santau' terhadap orang lain masih lagi wujud di kalangan umat Islam, umpamanya berebut tanah pusaka, melihat perniagaan pesaingnya yang sentiasa laris berbanding dengan perniagaannya serta iri hati terhadap kesenangan jiran tetangganya.
Mereka sanggup menghabiskan wang ringgit untuk mendapatkan bomoh sihir dan santau supaya orang yang dimusuhi itu berlutut kepadanya, ditimpa musibah dan menemui ajalnya. Walaupun ada di antaranya yang berpendidikan agama dan sememang mengetahui bahawa sihir adalah termasuk dalam golongan dosa-dosa besar, tetapi tidak diperdulikan. Mereka menganggap bahawa masalah musuh adalah persoalan utama dan permasalahan dosa diketepikan sementara, asalkan musuh menerima akibatnya.

 
Jika wujud sikap sedemikian, bagaimanakah umat Islam yang terdiri daripada orang-orang Melayu di negara kita ini akan maju dan dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain? Mereka terus maju dan bertapak kukuh dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan maklumat kerana mereka tidak sayangkan wang ringgit untuk terus menimba ilmu yang paling berguna untuk diri sendiri, keluarga, bangsa, agama dan negara. Bahkan mereka juga tidak cuba mengambil kesempatan untuk menindas orang lain dengan cara yang terkutuk seperti perbuatan santau berkenaan.

 
Sebaliknya, umat Islam menggunakan wang ringgit bahkan turut melaburkan wang yang banyak di tempat-tempat yang membazir dan tidak memberikan sebarang faedah kepada sesiapapun. Akhirnya mereka sendiri yang rugi. Dalam masa yang sama Islam turut ditekan dan ditindas kerana kejahilan, kecuaian dan tamak haloba di kalangan segelintir umat Islam sendiri.


Khidmat jin
Umat Islam perlu memahami bahawa amalan-amalan demikian terutamanya yang menggunakan khidmat jin dan syaitan adalah dilarang di dalam Islam. Apatah lagi Islam juga melarang umatnya menyakiti dan menyusahkan orang lain, sama ada akibat perbuatan hasad dengki, iri hati dan khianat sesama sendiri yang merupakan budaya songsang, sesat dan menyesatkan.

 
Perbuatan berkenaan tidak wajar dijadikan amalan kerana orang-orang Islam sepatutnya bersyukur dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain kerana dalam masa yang sama kita boleh belajar sesuatu yang berguna daripada mereka. Tindakan membalas dendam dengan pelbagai cara, lebih-lebih lagi dengan menggunakan khidmat jin menunjukkan diri si pelakunya adalah hamba kepada jin. Sedangkan manusia dan jin mempunyai kedudukan sama iaitu hamba kepada Allah s.w.t.

 
Kalau kita melihat dalam konteks ilmu, jin dan syaitan itu adalah makhluk yang penakut dan pengecut. Tetapi sebaliknya jin dan syaitan menjadi lebih berani dan berkuasa berpunca daripada kejahilan manusia sendiri yang sanggup menuruti kehendak mahkluk-makhluk tersebut. Malahan jika kita melihat dalam persepsi penciptaan manusia oleh Allah s.w.t, manusia adalah sebaik-baik ciptaan kerana manusia diberikan banyak keistimewaan berbanding makhluk-makhluk lain seperti malaikat, jin, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

 
Seandainya manusia bijak menggunakan nikmat dan kelebihan yang Allah anugerahkan itu, jadilah manusia itu sebaik-baik kejadian. Tetapi jika kita mengabaikannya dan menyalahgunakan segala nikmat itu, maka taraf manusia adalah sama dengan haiwan, malah lebih rendah daripada haiwan-haiwan tersebut.
Sekiranya khurafat dibiarkan berakar umbi dalam masyarakat tanpa sebarang usaha untuk merawatnya, dibimbangi Islam semakin tidak diperdulikan dan masyarakat akan menganggap tindakan songsang yang menyalahi agama bukan menjadi suatu kesalahan lagi dan mereka boleh melakukannya sesuka hati.
Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam khususnya orang-orang Melayu supaya berfikir banyak sebelum bertindak.

 
[Rencana dari Bicara Agama, Utusan Malaysia]

No comments:

Post a Comment