Thursday, February 11, 2010

Rasuk - Permainan Iblis dan Syaitan


Soalan:
ANAK saudara saya, seorang gadis kecil, hitam manis mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain sejak dia didampingi oleh makhluk yang mengawal dirinya di mana dalam masa yang sama, makhluk ini menjadi temannya. Saya pernah membawa anak saudara saya ini ke kaki gunung atas permintaan makhluk tadi.Makhluk ini boleh masuk dalam tubuhnya pada bila-bila masa, sama ada dipanggil atau tidak. Kadang-kadang anak saudara saya ini tidak sedar yang dirinya dimasuki oleh temannya itu. Usaha-usaha untuk memisahkan kedua-duanya tidak begitu berjaya, lagipun menurut bapanya, makhluk ini baik. Apa yang berlaku adalah takdir Tuhan semata-mata.Saya telah menguji apa yang berlaku dan didapati berkesan, termasuklah usaha-usaha untuk melariskan perniagaan, merawat pesakit, menambah seri muka dan lain-lain lagi. Satu syarat yang dikenakan oleh makhluk ini ialah tidak boleh meminta wang upah setiap bantuan yang diberi olehnya. Ia hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana Allah. Difahamkan makhluk ini begitu muda, seorang perempuan berambut panjang, berkulit hitam manis dan mempunyai kuasa atau kekuatan yang luar biasa.Adakah apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam? - Ali, Johor Bahru
Jawapan:
Dalam usaha mencari jalan penyelesaian mengatasi sesuatu masalah, setiap orang yang terlibat perlu menyediakan diri atau pemikiran terbuka, memikiri sesuatu itu berdasarkan kepada fakta, pro dan kontra dan sebagainya. Yang penting, tidak wujud satu keputusan muktamad tersebut dalam pemikiran sebelum perbincangan itu dilakukan. Kembali kepada masalah yang berkaitan dengan alam ghaib, bukti-bukti atau dalil mesti dirujuk kepada keterangan al-Quran dan hadis-hadis. Manusia tidak berupaya menyelidiki alam ghaib secara jelas dan pasti.Saya tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan perkataan `mengawal' seperti yang saudara jelaskan. Adakah makhluk ghaib ini mengawal anak saudara seumpama seorang pengawal yang diberi tugas mengawal tuannya, ketika berada di jalan raya, ketika di kedai, di atas gunung, ketika belajar, tidur atau jaga.Apa perlunya seorang budak perempuan yang baru hendak mengambil peperiksaan SRP itu dikawal? Adakah ia dalam keadaan bahaya, ada orang hendak menculiknya, kemudian dijadikan pengemis atau diculik, kemudian penculik meminta wang tebusan daripada kedua-dua ibu bapanya?Mungkin kerana adanya pengawal, yang dikatakan mengawal kanak-kanak tadi, maka dia dikatakan ``mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki orang lain.'' Kalau demikian keadaannya, menyebabkan dia dikatakan mempunyai kelebihan, bagaimana pula kanak-kanak perempuan lain sesama kelas dengannya, sekampung dengannya yang tidak mempunyai teman terdiri daripada makhluk-makhluk halus, yang tidak mempunyai pengawal? Adakah yang istimewa itu hanya seorang sahaja, manakala orang lain tidak istimewa dan dalam keadaan bahaya kerana tidak mempunyai pengawal?Lumrahnya menurut logik akal, pengawal itu adalah lebih kuat daripada apa yang dikawal. Bermaksud bahawa makhluk ghaib yang mengawal anak perempuan, iaitu anak saudara tadi adalah lebih berkuasa atau lebih kuat daripada budak perempuan tadi.Saudara, termasuk bapa kepada anak perempuan tadi berkemungkinan beranggapan bahawa makhluk ini mempunyai kuasa melindungi. Mengenai persoalan ini, saudara perlu ingat dan faham bahawa zat yang mempunyai kuasa atau kudrah ialah Allah jua. Dan hanya Allah yang berkuasa, mempunyai sifat kudrah terhadap hamba-nya. Dalam konteks ini, saudara boleh ditafsirkan sebagai menyamakan kudrah atau kuasa makhluk iaitu makhluk ghaib tadi dengan kuasa Allah dalam memberi perlindungan atau mengawal diri manusia. Perbuatan - menyamakan kudrah tersebut dinamakan syirik. Dalam bahasa Melayu disebut sebagai syirik. Syirik adalah dosa yang tidak diampuni oleh Allah.Kedudukan atau pemahaman saudara terhadap fenomena yang berlaku lebih terserlah apabila saudara menjelaskan bahawa makhluk ini mempunyai kuasa atau kekuatan yang luar biasa. Dalam masa yang sama, saudara juga mengakui bahawa usaha-usaha untuk memisahkan kedua-duanya tidak begitu berjaya kerana atas sebab yang jelas iaitu makhluk ini mempunyai kuasa atau kekuatan yang luar biasa. Selain daripada itu, dan inilah punca utama menyebabkan usaha pemisahan itu tidak begitu berjaya ialah kerana makhluk ini dianggap sebagai baik.Adalah sesuatu yang malang apabila makhluk yang boleh menyebabkan penyelewengan iktikad, yang boleh membawa kepada syirik itu dianggap sebagai baik. Manusia yang terlibat pula dikatakan sebagai `mempunyai kelebihan' manakala orang lain, yang tidak didampingi olehnya tidak mempunyai kelebihan?SesatSesungguhnya tindak tanduk manusia yang hidup bersandar atau berlindung kepada makhluk halus, jin-jin itu memang berlaku dan mereka ini adalah terdiri daripada orang yang lemah lagi sesat. Allah berfirman (Al-Jinn:6): Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan mereka dosa dan kesalahan.Hasil daripada penglibatan manusia dengan jin, makhluk itu boleh masuk dalam tubuh manusia. Fenomena ini adalah sesuatu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya syaitan boleh berjalan dalam tubuh manusia menurut pembuluh darah.Hasil daripadanya, orang yang terlibat boleh melakukan sesuatu. Dalam konteks perbincangan ini, anak perempuan tadi boleh melakukan rawatan, yang diistilahkan sebagai rawatan tradisional. Boleh melakukan rawatan penyakit, mencari benda hilang, melakukan tilikan dan sebagainya, memberi tangkal pelaris, menambah seri muka dan dalam masa yang sama boleh menyebabkan seseorang itu sakit dan sebagainya.Saudara perlu sedar dan insaf bahawa apabila makhluk jin atau jin-jin yang dibuat sahabat itu, yang mungkin juga dipanggil sebagai hantu jembalang, embah, wali-wali dan sebagainya telah meresap dalam tubuh, maka ketika itu makhluk tadi menguasai jasad manusia.Makhluk ini menggunakan tubuh atau jasad manusia. Ia akan bercakap menggunakan lidah manusia. Memegang menggunakan tangan manusia. Membaca jampi mantera menggunakan lidah manusia. Ketika itu si empunya jasad hanya melihat dan tidak mempunyai keupayaan untuk bertindak. Ikhtiar pada dirinya, yang selama ini dimiliki hanya wujud pada satu kadar yang terlalu kecil peratusannya atau langsung tidak ada. Keadaan seperti ini diistilahkan sebagai `menurun'. Kerana itulah maka mereka yang berada dalam keadaan menurun tidak sedar apa yang sebenarnya terjadi ketika proses menurun berlaku. Malah orang yang berkenaan akan bertanya apa yang berlaku dan apa yang dikehendaki oleh makhluk iaitu jin atau jin-jin atau hantu yang meresap dalam tubuhnya tadi.Allah memberi amaran agar setiap orang Islam itu menjauhkan diri daripada mendampingi iblis dan syaitan yang terdiri daripada golongan jin-jin. Allah memberi amaran bahawa syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata. Anggaplah makhluk ini sebagai musuh dalam apa keadaan sekalipun. Mereka yang ingkar tidak mempedulikan amaran Allah diberi amaran (Taha:124): Dan barang siapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya mereka akan memperoleh kehidupan yang sangat sempit.Saudara menganggap bahawa persahabatan yang berlaku adalah sesuatu yang istimewa malah merupakan satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Sesungguhnya persahabatan ini hakikatnya adalah seburuk-buruk persahabatan seperti yang dijelaskan dalam firman Allah (An-Nisa':38) Barang siapa syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah seburuk-buruk teman.Saudara menjelaskan yang saudara telah menguji anak saudara tadi dan didapati berkesan, menyebabkan perniagaan menjadi laris, boleh digunakan untuk rawatan penyakit, menambah seri muka dan lain-lain lagi, menyebabkan saudara menjadi lebih yakin terhadap kelebihan yang wujud pada diri anak perempuan tadi. Bukan mustahil apa yang berlaku terhadap anak perempuan tadi boleh digunakan untuk seri muka. Amalan seri muka, atau pemanis muka memang benar-benar boleh berlaku, menyebabkan seseorang itu melihat muka orang yang mempunyai ilmu yang dituntut atau dipinta itu menjadi manis, tertarik orang yang memandangnya.Ini berlaku semata-mata kerana jin atau makhluk halus yang berdampingan dengan anak perempuan tadi yang telah menyihir atau memindahkan pandangan orang yang melihat itu kepada sesuatu bukan hakikat, iaitu muka yang tidak menarik menjadi begitu cantik. Malah perkara yang sebaliknya juga boleh berlaku iaitu muka yang cantik dipandang menjadi tidak cantik, hambar lagi menakutkan apabila dilihat kerana adanya ilmu yang diminta daripada orang yang mempunyai ilmu kebatinan hasil daripada berdampingan dengan makhluk-makhluk halus seperti yang berlaku kepada gadis sunti tadi.Muka berkenaan menjadi cantik atau hodoh menurut pandangan manusia kerana adanya penglibatan makhluk halus tadi. Itulah yang dinamakan sihir. Iaitu manusia telah menggunakan jin menyebabkan muka seseorang itu menjadi cantik atau sebaliknya hodoh. Fenomena ini tidak akan berlaku kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang mendampingi anak perempuan tadi, yang saudara anggap sebagai mempunyai kelebihan.Inilah tanggapan yang banyak berlaku dalam masyarakat Melayu Islam, yang terus-menerus wujud dalam masyarakat Melayu sehingga sekarang ini, yang hakikatnya boleh memesongkan iktikad seseorang, yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan amalan sihir. Saudara perlu faham dan menginsafi bahawa sihir adalah termasuk dalam golongan dosa-dosa besar yang boleh membinasakan.Orang yang selalu mengepit pisau untuk berjaga-jaga daripada pelbagai kemungkinan, akan berasa dirinya seumpama terdedah kepada bahaya apabila pisau itu tidak ada di sampingnya. Begitu juga dengan orang yang bersandar kepada tangkal azimat. Hal yang sama akan dirasai oleh mereka yang berasa dirinya dikawal oleh makhluk-makhluk halus.Perlu diinsafi dan disedari bahawa serangan utama makhluk-makhluk halus, yang terdiri daripada iblis dan syaitan itu ialah pada bahagian otak manusia, yang diistilahkan sebagai ``al-mukh''. Apabila ini berlaku, maka ia akan melahirkan gejala-gejala ketidak normalan otak, menyebabkan seseorang itu tidak berupaya mengawal diri; telanjang, memaki hamun tidak menentu, mengamuk dan sebagainya, menyebabkan seseorang itu bersifat binatang.Gangguan kedua ialah pada hati, menyebabkan seseorang itu rasa tidak yakin kepada Allah, pada agama yang dianuti, ibadah yang dilakukan dan sebagainya termasuk rasa putus asa untuk hidup tanpa sebab yang jelas. Gangguan ketiga ialah pada jasad. Ini menyebabkan seseorang itu berjalan, menuju ke tempat yang dia sendiri tidak tahu ke mana, di mana dan untuk apa.Dalam keadaan sekarang, gadis kecil yang dikatakan dikawal oleh temannya itu sering diresapi oleh makhluk halus tadi. Maksudnya makhluk ini masuk dalam tubuh dan menguasai tubuhnya lalu melakukan perubatan tradisional, yang dia sendiri tidak pernah mempelajarinya sebelum itu. Apabila ini berlaku, dia langsung tidak berupaya untuk mengawal diri, untuk menahan atau melakukan sesuatu menurut kehendaknya. Apa yang berlaku ia mudah dikuasai oleh makhluk yang dianggap sebagai kawan, yang mengawalnya.Kalaulah ini boleh berlaku, bukan mustahil pada satu ketika, terutamanya ketika gadis ini berada dalam keadaan stres atau depres, kerana sebab-sebab tertentu, kerana tekanan hidup, dalam keadaan sakit dan dalam keadaan ketahanan roh yang lemah, makhluk yang selama ini dianggap sebagai kawan dan mengawalnya akan menyerang bahagian otak, menyebabkan si gadis ini hilang fungsi akal.Sesungguhnya tipu daya iblis dan syaitan itu lemah. Namun apabila manusia itu beranggapan bahawa makhluk ini lebih berkuasa daripada manusia, maka manusia akan tunduk lemah di bawah pengaruh tipu daya tadi. Sesungguhnya Allah menjadikan manusia itu khalifah di muka bumi ini, dengan syarat manusia itu berilmu, beramal dengannya dan sentiasa berlindung kepada Allah yang bersifat kudrah.
Petikan daripada:Dr. Amran Kasimin Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment